Skip to main content
Titik peluh ayah, kasih didikan ibu terbalas dengan kejayaan Lee Yee Xynn raih Anugerah Emas UMPSA

Titik peluh ayah, kasih didikan ibu terbalas dengan kejayaan Lee Yee Xynn raih Anugerah Emas UMPSA

PEKAN, 2 November 2026 – Setiap titisan peluh seorang bapa membaiki kenderaan di bengkel serta ketulusan ibu mendidik anak bangsa di bilik darjah menjadi azimat keramat buat Lee Yee Xynn, 24, sehingga berjaya melakar detik terindah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Universiti bersempena dengan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-21. 

Anak bongsu daripada empat beradik kelahiran Machang, Kelantan ini membuktikan bahawa status sebagai anak terakhir bukanlah alasan untuk berpeluk tubuh, sebaliknya menjadi pemangkin iltizam untuk menghadiahkan pencapaian paling bernilai buat kedua-dua orang tuanya. 

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian itu berjaya menamatkan pengajian dengan penarafan Kelas Pertama dan mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.94, sekali gus mengekalkan rekod cemerlang menerima Anugerah Dekan bagi setiap semester sejak di peringkat diploma lagi. 

Mengimbas detik dimaklumkan mengenai anugerah berprestij berkenaan, Yee Xynn tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dan sebak mengenangkan pengorbanan keluarganya. 

"Kejayaan ini hakikatnya bukan milik saya seorang. 

“Tulang belakang utama saya adalah ibu bapa, Lee Chai Huat, 55, yang bekerja sebagai mekanik dan ibu, Tan Kim Chin, 55, seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. 

“Mereka tidak pernah merungut menyediakan kelengkapan dan perbelanjaan pengajian saya,” ujarnya.

Katanya, mengorbankan masa rehat dan bersengkang mata menelaah pelajaran di perpustakaan terasa sangat kerdil jika dibandingkan dengan penat lelah mereka membimbing dirinya dari kecil.

Kecintaan terhadap ilmu bukan sahaja mendorong Yee Xynn mencipta kecemerlangan di UMPSA, malah turut membuka laluan untuknya mengembangkan potensi di peringkat global apabila terpilih menyertai Kem Musim Panas Antarabangsa 2026 di Universiti Chongqing, China.

Pengalaman berharga tersebut bukan sahaja memberikannya peluang julung kali menaiki kapal terbang, malah membuka ruang untuk meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Akademik Model Jambatan serta mendalami kejuruteraan angin dan dinamik struktur bertaraf dunia. 

Kini, langkah anak muda berjiwa besar ini tidak terhenti di situ. 

Beliau telah melangkah ke fasa seterusnya apabila menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) secara laluan pantas (fast-track) dalam bidang Kejuruteraan Awam di UMPSA bermula bulan September 2026. 

Berpegang teguh pada prinsip untuk tidak mudah berputus asa dan sentiasa bersyukur, Yee Xynn turut menitipkan pesanan bermakna buat generasi muda. 

Ujarnya, di sebalik kejayaan yang diraikan, kita harus tabah mendepani ribuan ralat dan kegagalan. 

“Berehatlah sebentar apabila lelah, namun jangan sesekali menyerah kalah. 

“Teruslah berusaha kerana setiap titik peluh yang disulami doa ibu bapa pasti akan menemui ganjaran yang manis," katanya sambil mengukirkan senyuman. 

Oleh: ROSIDAH HASSAN, FAKULTI TEKNOLOGI KEJURUTERAAN KIMIA DAN PROSES (FTKKP)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri