Skip to main content

Ujian Bukan Alasan, Pavithra Buktikan Tiada Yang Mustahil Dengan Semangat Dan Usaha

GAMBANG, 9 November 2025 – “Setiap ujian yang datang bukan untuk melemahkan, tetapi untuk menguatkan diri dan hati”.

Itulah pegangan hidup Pavithra Maniam,24, graduan Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST) yang menempuh jalan penuh liku sebelum akhirnya berjaya menggenggam ijazah pada Majlis Konvokesyen UMPSA ke-20.

Berasal daripada keluarga yang sederhana, bapanya, Maniam Kerisnan, 46, merupakan seorang pemandu lori dan ibunya, Geetha Visvanathan, 44, seorang suri rumah.

Pavithra merupakan anak pertama dalam keluarga yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

Ujarnya,kejayaan ini bukan sekadar miliknya, tetapi juga hadiah buat kedua-dua ibu bapa yang sentiasa menjadi pendorong utama di setiap langkah perjuangannya,”ujarnya.

“Namun, perjalanan menuju pentas konvokesyen tidak mudah.

“Dalam tahun-tahun akhir pengajian, saya diserang penyakit kronik iaitu Severe Endocarditis yang menyebabkan saya kehilangan keupayaan untuk bergerak.

“Kesakitan yang ditanggung begitu perit hingga pernah terdetik untuk berhenti belajar,” katanya.

Pernah terdetik mahu menyerah, tetapi semangat nak capai impian dan buktikan kemampuan diri membuatkan beliau terus kuat,.

Ujian Bukan Alasan, Pavithra Buktikan Tiada Yang Mustahil Dengan Semangat Dan Usaha

“Melihat wajah ibu bapa sudah cukup untuk mengingatkan saya bahawa menyerah bukan pilihan.

“Mereka terlalu banyak berkorban untuk saya,” katanya dengan nada sebak.

Dengan semangat yang tidak pernah luntur, Pavithra meneruskan pengajian walaupun terpaksa menempuh rawatan intensif dan menjalani pembedahan besar

Tambahnya, ketika pelajar lain berada di makmal dan kuliah, beliau mengikuti pembelajaran secara dalam talian dari katil hospital dan menyiapkan tugasan sedikit demi sedikit dengan bantuan pensyarah dan rakan sekuliah.

Meskipun keadaan kesihatan yang masih belum pulih, berbekalkan semangat juang yang tinggi, Pavithra kembali ke kampus setelah lebih tiga bulan menerima rawatan bagi menyelesaiakn projek tahun akhir.

Kerja keras dan keazaman yang tinggi akhirnya membuahkan hasil.

Beliau bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, malah kini bekerja dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di sebuah syarikat multinasional, meneruskan minatnya dalam dunia sains dan inovasi.

Tambah beliau lagi, penyakit mungkin melemahkan tubuhnya, tapi ia tidak akan melemahkan semangatnya.

“Selagi kita berpegang pada harapan dan usaha, tiada yang mustahil,” katanya sambil mengukirkan senyuman.

Pavithra berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa tiada ujian yang mampu menghalang seseorang untuk mencapai kejayaan, selagi ada semangat untuk terus berjuang dan tidak berputus asa.

Ujian Bukan Alasan, Pavithra Buktikan Tiada Yang Mustahil Dengan Semangat Dan Usaha

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim