UMPSA raikan 3,345 graduan mulai Sabtu Ini
PEKAN, 30 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal meraikan seramai 3,345 graduan bersempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-21 yang berlangsung selama empat hari bermula 31 Oktober (Sabtu) hingga 3 November 2026.
Buat pertama kalinya, majlis konvokesyen tahun ini bakal berlangsung di Dewan Tuanku Canselor (DTC), UMPSA Pekan.
Dewan ini telah dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Tuanku Canselor UMPSA pada 21 Oktober 2026.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, daripada jumlah tersebut, seramai 91 graduan menerima ijazah doktor falsafah (PhD), 282 graduan sarjana, 2,243 graduan sarjana muda, 79 graduan Ijazah Dual dan 729 graduan diploma.
Turut diraikan ialah 261 graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMPSA Advanced.

Pada majlis konvokesyen kali ini turut menyaksikan seramai 150 penerima anugerah dan hadiah kecemerlangan akademik sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kepimpinan, inovasi dan pembangunan profesional.
“Pengiktirafan ini merangkumi pelbagai kategori termasuk Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang), Anugerah Canselor, Anugerah Pro-Canselor, Anugerah Naib Canselor, Anugerah Emas Universiti serta anugerah dan hadiah kecemerlangan sumbangan rakan industri dan organisasi strategik universiti,” katanya yang hadir mempengerusikan Sidang Media bagi memperkenalkan graduan cemerlang di DTC, Pekan.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Timbalan Naib Canselor (PenyelidikN dan Inovasi), Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim dan Pendaftar UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.

UMPSA terus memperkukuh pendekatan pendidikan bertaraf antarabangsa menerusi kerjasama program ijazah dual dengan institusi pengajian tinggi luar negara, termasuk Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA), Technische Hochschule Mannheim (THM), Beijing Jiaotong University (BJTU), Tianjin University, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU) dan Hanyang University ERICA Campus, Korea Selatan.
Ujar Profesor Ts. Dr. Yatimah, kerjasama akademik ini merangkumi 14 program ijazah dual yang memberikan peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran antarabangsa, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan memenuhi keperluan industri global.
Kejayaan inisiatif ini turut dizahirkan apabila seramai sepuluh graduan perintis program Ijazah Dual UMPSA-Ningxia University (NXU) berjaya menamatkan pengajian masing-masing.
Sepanjang berlangsungnya Majlis Konvokesyen Ke-21, UMPSA turut menganjurkan beberapa program sampingan termasuk Hooding Ceremony for Ph.D. Graduands 2026 dan UMPSA NEXUS Night: Celebrating Dual Degree Partnership 2026 pada 30 Oktober 2026.
Program berkenaan menjadi platform meraikan kejayaan graduan doktor falsafah, penyelia serta rakan kolaborasi ijazah dual universiti.
Turut dijadualkan ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UMPSA dengan Chongqing University, China dan Eastern Steel (M) Sdn. Bhd.
Selain itu, UMPSA-BJTU Alumni Gathering Coordination Meeting 2/2026 akan berlangsung pada 31 Oktober 2026 bagi meraikan jaringan alumni program Ijazah Dual UMPSA dan BJTU.
Majlis Konvokesyen turut disemarakkan dengan penganjuran Ekspo Konvokesyen UMPSA, Hari Terbuka Mahasiswa, Karnival Mahabbah dan Karnival Kerjaya Pahang 1st dengan kerjasama Pertubuhan Majlis Tindakan Sosial Pahang, HRD Corp dan Giat MARA.
Dalam pada itu, UMPSA terus mencatat pencapaian di peringkat global apabila berada pada kedudukan ke-588 dalam QS World University Rankings 2027, meningkat daripada tangga ke-609 pada tahun sebelumnya.
Dalam bidang kelestarian, UMPSA menduduki tangga ke-53 dunia dalam UI GreenMetric Sustainable University Rankings 2026, selain berada di tempat pertama dalam kalangan universiti di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan ketiga dalam kalangan institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
UMPSA turut mencatat pencapaian membanggakan apabila seramai 27 penyelidiknya tersenarai dalam kelompok World’s Top 2% Scientists 2026, berdasarkan data Elsevier BV dan Stanford University.
Pencapaian universiti ini membuktikan bahawa kecemerlangan institusi perlu bergerak seiring dengan kejayaan graduannya dalam melahirkan bakat yang mampu mencipta nilai, memimpin perubahan serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
DTC berkapasiti sehingga 3,500 orang itu menampilkan reka bentuk berinspirasikan Wau Pungguk yang menggabungkan identiti dan warisan tempatan dalam seni bina moden, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan prasarana universiti menjelang Sambutan Jubli Perak Ke-25 UMPSA pada 16 Februari 2027.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 15 views
Reports by: