UMPSA raikan 580 graduan FTKEE dan FPI, kecemerlangan pelajar menyerlah di persada antarabangsa
PEKAN, 2 November 2026 – Seramai 580 graduan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) serta Fakulti Pengurusan Industri (FPI) diraikan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Ke-21 Sidang Keempat yang turut menyaksikan pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik, kepimpinan dan pencapaian pelajar.
Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abi Musa Asaari bin Mohamed Nor berkata, kejayaan sesebuah negara dalam mendepani kemajuan teknologi bukan sahaja bergantung kepada penguasaan ilmu dan kepakaran, malah memerlukan keupayaan menterjemahkan pengetahuan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut beliau, graduan dalam bidang kejuruteraan elektrik, elektronik dan automasi perlu menggabungkan kepakaran teknikal dengan pengetahuan pengurusan industri, analitik perniagaan serta pengurusan projek bagi memastikan inovasi dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Idea yang hebat membuka ruang kepada kemajuan. Namun, pelaksanaan yang berkesanlah yang menentukan sama ada kemajuan itu benar-benar dapat dicapai,” katanya.
Beliau turut mengingatkan graduan agar menjadikan integriti sebagai asas dalam setiap tindakan dan keputusan, khususnya ketika berhadapan tuntutan industri yang semakin kompleks.
“Kecekapan tidak seharusnya dicapai dengan mengabaikan keselamatan, kualiti atau amanah yang telah diberikan. Dalam apa jua keadaan, kejayaan yang dibina atas kompromi terhadap prinsip bukanlah kejayaan yang wajar dibanggakan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, kejayaan universiti dalam melahirkan graduan berkualiti turut didorong oleh komitmen warga universiti dalam membangunkan ekosistem pendidikan tinggi yang dinamik, berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian penyelidik dan pelajar yang telah mengharumkan nama universiti menerusi pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam ucapannya, beliau berkongsi pencapaian membanggakan pelajar FTKEE ialah kejayaan Mohamad Daniesh Iman bin Zainal yang meraih tempat naib johan bagi kategori Tilawah Al-Quran dalam pertandingan MSU Quranic League 6.0 International Final 2026.
Seorang lagi pelajar, Afeef Hamizan Mohd Huzaizi pula mencipta pencapaian tersendiri apabila menjadi satu-satunya wakil Malaysia ke peringkat akhir pertandingan The 25th Chinese Bridge – Chinese Proficiency Competition for Foreign College Students 2026 yang berlangsung di Beijing dan Fujian, China dari 4 hingga 24 Ogos 2026. Beliau turut meraih tempat ketiga dalam pertandingan tersebut.
Dalam bidang keusahawanan dan inovasi, syarikat pelajar FTKEE, Vortex Resources, turut mencatat kejayaan apabila memenangi empat anugerah utama dalam pertandingan iMINe 2.0 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Syarikat tersebut turut dianggotai graduan, Sudhish Rao A/L Narasinga Rao dan Sri Prashad A/L Palani.
Kecemerlangan turut ditampilkan oleh Aniq Zamzany Sibron, graduan program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Elektrik) dengan Kepujian yang menerima Anugerah Kecemerlangan Telekom Malaysia Berhad.
Beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Kelab EEES sesi 2023/2024 dan Timbalan Presiden 1 Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2024/2025, selain mewakili UMPSA dalam program International Summer School di Manchester Metropolitan University, United Kingdom.
FPI turut mencatat pelbagai pencapaian menerusi penawaran program akademik, pengiktirafan profesional serta kejayaan pelajar dalam pertandingan inovasi dan keusahawanan.
Antara perkembangan penting fakulti ialah penawaran program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Pengurusan Projek (MPM) secara Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL). Program MBA merupakan program rintis ODL pertama di UMPSA yang memperoleh akreditasi sementara pada Mei 2026 sebelum mendapat kelulusan pada Julai 2026.
Dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, FPI turut memperoleh pengiktirafan sebagai penyedia latihan Lean Six Sigma Yellow Belt daripada Council for Six Sigma Certification (CSSC) pada Januari 2026. Pengiktirafan ini menyokong pelaksanaan latihan dan pensijilan Yellow Belt serta White Belt di bawah program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri.
Penyertaan pelajar FPI dalam program mobiliti dan pendedahan antarabangsa turut memperlihatkan komitmen fakulti dalam melahirkan graduan berwawasan global. Seramai 11 pelajar menyertai program GLOW 2026 di Universitas Telkom dan Summer Course di Halal Research Institute, Universitas Diponegoro, manakala 30 pelajar menyertai program IMPRESS Cross-Border Community Engagement di Hat Yai, Thailand.
Kejayaan pelajar turut terserlah dalam bidang kewangan dan keusahawanan apabila pasukan FinTech muncul johan dalam pertandingan Financial Run & TradingView Analytics Challenge anjuran UMT-CGS East Coast Trading Centre.
Selain itu, pelajar program FinTech dan MPM turut meraih gelaran johan serta tempat ketiga dalam ASEAN University Cashflow Challenge peringkat Zon Pantai Timur. Pelajar FinTech turut mendapat tempat ketiga bagi pertandingan pitching dalam AKPK Leadership Camp 2.0.
FPI juga mencatat sejarah apabila graduan Sarjana Pengurusan Projek, Ezuan bin Suhaili menjadi pelajar pertama UMPSA yang berjaya menamatkan pengajian melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Credit Award (APEL.C).
Pada majlis tersebut, seramai 26 penerima turut menerima anugerah dan hadiah kecemerlangan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, kepimpinan dan kokurikulum.
UMPSA meraikan seramai 3,345 graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-21, termasuk 121 graduan antarabangsa dari 17 negara. Sehingga Oktober 2026, universiti telah melahirkan seramai 55,977 alumni, termasuk 1,278 alumni antarabangsa.
Mengakhiri ucapannya, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias mengingatkan para graduan agar terus menghargai jasa ibu bapa, keluarga dan pensyarah yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kejayaan mereka, selain mengekalkan hubungan dengan universiti serta menyumbang kepada masyarakat.
Oleh: NAQIAH PUAAD, PUSAT KOMUNIKASI KORPORAT
- 6 views
Reports by: