Skip to main content
Usia bukan penghalang, Ezuan genggam sarjana berbekalkan pengalaman lebih sedekad

Usia bukan penghalang, Ezuan genggam sarjana berbekalkan pengalaman lebih sedekad

PEKAN, 31 Oktober 2026 – Pengalaman lebih sepuluh tahun dalam industri pembinaan dan pembangunan hartanah menjadi asas kepada kejayaan Ezuan Suhaili, 38, dari Wilayah Persekutuan Labuan apabila beliau terpilih sebagai antara dua calon perintis bagi pelaksanaan Accreditation of Prior Experiential Learning for Credit Award (APEL.C) di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Ezuan Suhaili yang merupakan graduan Sarjana Pengurusan Projek (Master of Project Management) daripada Fakulti Pengurusan Industri (FIM) melalui Graduate Engineering & Technological Business School (GETBS) membuktikan bahawa pengalaman profesional yang dibina selama bertahun-tahun turut mempunyai nilai akademik apabila dinilai berdasarkan hasil pembelajaran yang ditetapkan.

Kini berkhidmat sebagai Pengurus Projek di Jaya-Bina Properties Sdn. Bhd., Kuantan, Ezuan memulakan perjalanan akademiknya dengan Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Kota Kinabalu sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Menurutnya, keputusan menyambung pengajian ke peringkat sarjana bukan sekadar untuk memperoleh kelayakan akademik yang lebih tinggi, sebaliknya menjadi usaha memperkukuh pengetahuan dan kompetensi profesional agar pengalaman industri dapat digabungkan dengan asas ilmu akademik yang lebih menyeluruh.

“Bagi saya, APEL.C bukan jalan pintas untuk mendapatkan kelayakan akademik. 

“Sebaliknya, ia merupakan satu mekanisme penilaian yang membolehkan pengalaman pembelajaran terdahulu dibuktikan dan dinilai berdasarkan hasil pembelajaran kursus yang ditetapkan.

“Pengalaman yang diperoleh sepanjang kerjaya bukan sekadar menggambarkan tempoh seseorang bekerja, tetapi turut mencerminkan pengetahuan, kompetensi dan keupayaan yang dibangunkan melalui pembelajaran serta amalan sebenar di industri,” ujarnya. 

Penglibatan aktif Ezuan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) menjadi asas utama permohonannya bagi mendapatkan pengiktirafan kredit akademik melalui APEL.C untuk kursus berkaitan bidang tersebut.

Beliau pernah memiliki kompetensi sebagai Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Safety and Health Officer – SHO) bagi tempoh 2020 hingga 2023, selain berpengalaman mengetuai pelaksanaan sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan di peringkat organisasi.

Antara tanggungjawab yang dilaksanakan termasuk pengurusan risiko di tapak pembinaan, pengenalpastian hazard, pemantauan pematuhan prosedur keselamatan serta pelaksanaan program induksi keselamatan kepada pekerja bagi memastikan amalan kerja selamat sentiasa menjadi keutamaan.

Pengalaman tersebut kemudiannya didokumentasikan melalui penyediaan portfolio APEL.C yang merangkumi bukti kompetensi, penglibatan profesional dan pencapaian hasil pembelajaran kursus (Course Learning Outcomes – CLO).

Jelasnya, proses penilaian yang dilalui bukan sekadar menilai tempoh pengalaman bekerja atau jumlah sijil kompetensi yang dimiliki, tetapi menuntut calon membuktikan pengetahuan dan kemahiran yang benar-benar diperoleh melalui pengalaman profesional.

“Proses ini mengajar saya untuk melihat semula pengalaman kerja secara lebih kritis dan reflektif. 

“Saya bukan sahaja menilai apa yang pernah dilakukan, tetapi juga mengapa sesuatu keputusan dibuat, apakah pengetahuan yang digunakan dan bagaimana pengalaman tersebut boleh ditambah baik,” katanya.

Dalam kesibukan menggalas tanggungjawab sebagai Pengurus Projek, Ezuan turut berdepan cabaran membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan komitmen akademik.

Sebagai suami dan bapa kepada dua orang cahaya mata lelaki, beliau perlu bijak mengatur masa bagi memastikan tanggungjawab terhadap keluarga tidak terabai, di samping memenuhi tuntutan kerja dan keperluan penyediaan portfolio APEL.C.

Bagaimanapun, sokongan isteri, keluarga, majikan dan pensyarah menjadi sumber kekuatan untuk beliau meneruskan perjalanan tersebut sehingga berjaya memperoleh pengiktirafan kredit akademik yang dipohon.

Lebih membanggakan, perjalanan pengajian sarjana beliau turut diwarnai kejayaan menerima MPM CEO AWARD bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21, sekali gus melengkapkan pencapaian akademik dan profesional yang dibina sepanjang perjalanan kerjayanya.

Mengulas peluang menjadi antara calon perintis APEL.C di UMPSA, Ezuan menyifatkan pengiktirafan tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi, malah satu amanah untuk membuktikan bahawa pengalaman industri mempunyai nilai yang signifikan dalam pembangunan ilmu dan kompetensi akademik.

Beliau berharap pelaksanaan APEL.C dapat diperluas bagi membuka lebih banyak peluang kepada golongan profesional dan individu berpengalaman untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap pembelajaran yang diperoleh sepanjang kerjaya.

Mengakhiri perkongsian, beliau menitipkan pesanan kepada golongan bekerja yang masih menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian agar tidak menjadikan usia, kesibukan kerjaya atau tanggungjawab keluarga sebagai penghalang untuk terus menimba ilmu.

Ujarnya, pendidikan tidak mempunyai tarikh luput dan kejayaan tidak semestinya perlu dicapai mengikut garis masa yang sama bagi setiap individu.

“Jangan tunggu sehingga semua keadaan menjadi sempurna untuk menyambung pengajian, kerana kadangkala langkah pertama itulah yang akan membuka jalan kepada peluang yang tidak pernah kita bayangkan,” katanya.

Bagi Ezuan, pengalaman dan pendidikan bukanlah dua laluan yang terpisah, sebaliknya saling melengkapi dalam membentuk individu yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran dunia profesional.

“Setinggi mana pun kita melangkah, jangan sesekali berhenti belajar dan jangan pernah melupakan insan yang pernah mengajar kita,” katanya.

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Pusat Komunikasi Korporat

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri