Yakin dengan kemampuan diri, Yasmin Suraya terima Hadiah Kecemerlangan Kepimpinan Kesukarelawan dan Tanggungjawab Sosial UMPSA
GAMBANG, 27 Oktober 2024 – Berpegang teguh kepada prinsip hidupnya, ketekunan dan keyakinan terhadap kemampuan diri sendiri dalam mencapai sesuatu impian menjadi penguat semangat buat Yasmin Suraya Mamat, 24 untuk terus berusaha dalam apa jua yang dilakukannya hingga berjaya.
Yasmin, anak jati Kuala Terengganu itu memperoleh Hadiah Kecemerlangan Kepimpinan Kesukarelawan dan Tanggungjawab Sosial UMPSA dalam Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Merupakan pelajar cemerlang, Yasmin telah melanjutkan pengajiannya di Kolej Matrikulasi Pahang dalam jurusan Sains Tulen sejurus tamat pengajian di Sekolah Menengah Agama Khairiah.
Kemudian beliau mengorak langkah ke menara gading sebagai mahasiswa di UMPSA dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri dengan Kepujian pada tahun 2020.
Menyahut cabaran untuk keluar dari zon selesanya, Yasmin bersyukur kerana UMPSA membuka ruang dan peluang yang lebih luas kepadanya untuk terlibat aktif dalam setiap program yang dianjurkan universiti.
Katanya, sewaktu di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah, beliau tidak banyak melibatkan diri dengan kegiatan aktiviti kokurikulum dan berpersatuan namun apabila menjejakkan kaki di UMPSA, beliau nekad untuk keluar dari zon selesa ini dengan menyertai pelbagai aktiviti’
“UMPSA menawarkan pelbagai pilihan program untuk menggalakkan pelajar dalam penyertaan kelab atau persatuan dan aktiviti kesukanan.
“Saya dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan pengalaman yang baharu, meningkatkan kemahiran dalam berinteraksi serta berkomunikasi dengan orang ramai.
“Malah ia juga secara tidak langsung, membantu saya untuk meningkatkan keyakinan diri dalam melakukan sesuatu perkara,” tambahnya.
Yasmin telah menyandang beberapa jawatan penting sepanjang pengajiannya antaranya sebagai Ketua Zon Timur Kelab Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan sesi 2022/2023, Timbalan Presiden Kelab Pembimbing Rakan Siswa UMPSA sesi 2022/2023, Exco Multimedia dan Publisiti dan Setiausaha Agung Perwakilan Mahasiswa Kolej kediaman 3 (PEKA 3) sesi 2021/2022 dan sesi 2022/2023, Exco Tugas-tugas Khas dan Bendahari Sekretariat Mahasiswa Anak Terengganu UMPSA (PERMATA) sesi 2021/2022 dan sesi 2022/2023 serta Exco Aktiviti Kelab Badminton sesi 2022/2023.
Ujarnya lagi, beliau terpilih menjadi wakil pelajar yang mengetuai kumpulan UMPSA dalam program peringkat antarabangsa ‘Asean Peers Convention 2022’ sebagai pembentang isu-isu dan langkah-langkah mengatasi kegiatan tersebut daripada berlaku dalam kalangan pelajar IPT.
“Program tersebut melibatkan 20 Universiti Awam Malaysia dan beberapa buah universiti daripada Singapura, Brunei dan Indonesia,” katanya.
Beliau juga diberi banyak peluang menyertai pelbagai program Kursus Kemahiran anjuran Fakulti Pengurusan Industri (FPI), UMPSA untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Profesional dalam bidang yang diceburinya.
Kini, beliau telah mempunyai Sijil Kemahiran dalam Kursus Lean Six Sigma Yellow and White Belt dan Kursus TRIZ tahap pertama.
Oleh itu katanya, dengan program Kursus Kemahiran sebegini sudah pasti dapat meningkatkan lagi daya saing pelajar untuk lebih bersedia dalam menempuh alam pekerjaan dalam pelbagai industri di Malaysia.
“Saya juga amat meminati aktiviti kesukarelawan dan merupakan setiausaha bagi program Mobiliti Kembara UMPSA 21 di Ho Chi Minh, Vietnam.
“Sepanjang program itu, kami memberikan khidmat komuniti dalam pendidikan kepada penduduk di sana dan turut menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan di Vietnam,” tambahnya.
Beliau yang juga merupakan Sukarelawan Kilau UMPSA dan terlibat dalam aktiviti khidmat komuniti kepada mangsa banjir di Batu Pahat, Johor selain turut menjalankan tugasnya sebagai fasilitator bagi program Minggu Induksi Siswa (MINDS).
Meraih keputusan yang cemerlang dan mendapat Anugerah Dekan sebanyak tujuh kali sepanjang pengajiannya, Yasmin berkata, UMPSA telah memberikannya sebuah pengalaman belajar yang kondusif dan strategik dari segi kemudahan tempat untuk belajar seperti dewan kuliah, bilik tutorial dan makmal yang selesa serta lengkap dengan peralatan yang membantu sesi pembelajaran pelajar dengan baik.
“Selain itu, UMPSA juga turut menawarkan tenaga pengajar yang terlatih dan profesional dalam memberi dorongan dan bantuan kepada pelajar semasa sesi pembelajaran berlangsung serta sentiasa bersedia untuk membantu pelajar mengenai pembelajaran didalam mahupun luar kuliah.
“Kemudahan yang disediakan oleh UMPSA secara tidak langsung membantu saya untuk sentiasa terlibat aktif dalam setiap program yang dianjurkan di universiti,” ujarnya.
Berkongsi perasaannya apabila dinobatkan sebagai penerima Hadiah Kecemerlangan Kepimpinan Kesukarelawan dan Tanggungjawab Sosial UMPSA ini, Yasmin akui sangat teruja dan berbesar hati dengan pengiktirafan yang diberikan.
“Saya rasa bersyukur kerana segala penat lelah saya dalam mengekalkan kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum membuahkan hasil yang baik.
“Penyumbang terbesar kejayaan saya adalah kedua ibu bapa saya kerana mereka berdua adalah tunggak utama dan penyebab saya untuk terus bercita-cita bagi mencapai segulung ijazah di UMPSA ini.
“Kejayaan yang saya peroleh pada ketika ini, saya hadiahkan sepenuhnya kepada mereka berdua, kerana tanpa ibu dan ayah siapalah saya untuk berdiri di hari konvokesyen pada hari ini,” tambahnya.
Yasmin turut berharap agar semua graduan UMPSA akan menjadi graduan yang holistik dan mempunyai daya saing yang tinggi dalam pelbagai bidang dan industri di dalam negara mahupun luar negara serta memberikan sumbangan yang besar terhadap perkembangan dan kemajuan negara dan masyarakat.
Beliau kini sudah mula bertugas sebagai Eksekutif Perhubungan Pelanggan di Indah Sari Otomobil Sdn. Bhd. di Kuala Terengganu.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 82 views