Syarikat pemula pelajar UMPSA, Pastry Palace Story timba ilmu keusahawanan
KUALA LUMPUR, 28 Julai 2025 - Syarikat pemula pelajar UMPSA, Pastry Palace Story berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti keusahawanan melalui penyertaan jualan produk bakeri yang dihasilkan sepenuhnya oleh Inkubator Keusahawanan GiGET Bakery UMPSA.
Penyertaan ini berlangsung sempena Majlis Perasmian Program RakyatPreneur dan Bank Rakyat UniPreneur 2025 bertempat di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.
Program ini merupakan satu inisiatif strategik hasil kerjasama antara Bank Rakyat dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperkasakan ekosistem keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti.
Ia menjadi platform penting untuk syarikat pemula pelajar mempamerkan hasil inovasi, kreativiti, dan keupayaan dalam menguruskan perniagaan secara praktikal, di samping mempromosikan produk bakeri yang dihasilkan menerusi resipi inovatif dan menepati cita rasa serta kehendak pasaran semasa.
Hadir dalam program, Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK), Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz.
Menurutnya, penyertaan Pastry Palace Story bukan sahaja memberi pendedahan kepada dunia sebenar keusahawanan, malah turut membuka ruang untuk membina jaringan strategik bersama pihak industri dan pelanggan yang berpotensi.
“Produk-produk bakeri yang dipamerkan mencerminkan usaha gigih pelajar dalam menghasilkan kualiti produk yang setanding pasaran komersial,” katanya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick.

Beliau turut meluangkan masa melawat reruai para peserta, termasuk reruai Pastry Palace Story dan beramah mesra serta mendengar penjelasan ringkas daripada para pelajar berkaitan syarikat, perjalanan penubuhan, dan keunikan produk yang dihasilkan.
Penyertaan aktif pelajar UMPSA dalam program seperti ini membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang diterapkan melalui inkubator keusahawanan universiti.
Malah, ia turut menyokong agenda nasional dalam melahirkan graduan holistik, bercirikan keusahawanan dan berdaya saing tinggi.
Disediakan Oleh: Saharol Nizim Salimin, Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK)
- 59 views
Reports by: