UMPSA lahirkan Usahawan Teknologi, 6 finalis AKKPT 2025
KUALA LUMPUR, 15 Mei 2026 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias hadir meraikan pencapaian pelajar dalam bidang keusahawanan di Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (AKKPT) 2025 yang berlangsung di Hotel Hilton Kuala Lumpur.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.
Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed dan Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK), Dr. Nurul Ashykin Abd Aziz.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, pihaknya mengucapkan tahniah atas kejayaan warga UMPSA yang berjaya terpilih sebagai finalis bagi enam kategori dalam AKKPT 2025.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya keusahawanan, pembangunan bakat pelajar dan penguasaan kemahiran digital selaras dengan Agenda Pendidikan Tinggi Negara dan seiring Pelan Strategik UMPSA 2026-2030,” ujarnya.
Pihaknya turut menghargai peranan Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK) dalam usaha membangunkan ekosistem keusahawanan universiti melalui pelbagai program pembangunan perniagaan, latihan keusahawanan, inkubator usahawan serta kolaborasi bersama industri dan agensi luar.
Ujar beliau, PUPUK turut memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar untuk meneroka bidang perniagaan dan inovasi.
“Tahniah atas kejayaan pusat ini yang terpilih sebagai finalis.
“Penyertaan UMPSA dalam AKKPT 2025 jelas memperlihatkan usaha berterusan universiti dalam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan celik teknologi,” katanya.
Sementara itu, bagi kategori Mentor Keusahawanan Terbaik, Pengurus di Pusat Sains Matematik (PSM), Halizan Mohmood telah menunjukkan komitmen tinggi dalam membimbing dan memperkasa mahasiswa dalam bidang keusahawanan di kampus.
Dedikasi beliau dalam memberi tunjuk ajar dan membina keyakinan pelajar berjaya melahirkan pelajar yang lebih kreatif, kompetitif dan berdaya saing.
Bagi kategori Syarikat Pemula Pelajar Terbaik (Keusahawanan Digital), pelajar Fakulti Komputeran (FK), Kamaleshwaran Naidu telah mewakili UMPSA menerusi syarikatnya, Cybersphere Solution.
Syarikat ini memfokuskan kepada pembangunan penyelesaian teknologi digital dan sistem pintar bagi membantu organisasi serta komuniti dalam transformasi digital.
Penyertaan ini turut memperlihatkan kemampuan pelajar UMPSA dalam menguasai kemahiran digital dan teknologi semasa.
Dalam pada itu, bagi kategori Perusahaan Pelajar Terbaik pula, pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Sudhish Rao a/l Narasinga Rao mewakili UMPSA menerusi syarikatnya, Vortex Resources.
Syarikat tersebut mengetengahkan inovasi teknologi dan penyelesaian kreatif berasaskan teknikal serta kejuruteraan bagi memenuhi keperluan industri semasa.
Produk yang dibangunkan mencerminkan kebolehan mahasiswa dalam mengaplikasikan ilmu teknikal dan kemahiran digital dalam menghasilkan penyelesaian yang inovatif.
Selain itu, alumni FK, Mohamad Mohsin Ismail, turut terpilih sebagai finalis bagi kategori Perusahaan Graduan Terbaik dan Syarikat Pemula Graduan Terbaik (Keusahawanan Digital).
Kejayaan para finalis ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus berani mencipta inovasi, memperkukuh kemahiran digital dan meneroka peluang keusahawanan pada masa hadapan.
Disediakan Oleh: Dr. Nurul Ashyikin Abd. Aziz, Pengarah Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK)
- 66 views
Reports by: