16 September 1963: Tahun yang Mengubah Peta Asia Tenggara

Tanggal 16 September setiap tahun, rakyat Malaysia akan menyambut Hari Malaysia sebagai mengingati sejarah terbentuknya sebuah negara Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Di sebalik kemeriahan sambutan Malaysia, sebenarnya tersimpan sebuah sejarah yang jauh lebih kompleks lebih daripada sekadar pengisytiharan sebuah negara baharu. Adakah anda tahu sejarah di sebalik penubuhan Malaysia 1963?
Tahukah anda, 16 September 1963 merupakan titik penting yang mengubah landskap politik Asia Tenggara. Pada tarikh tersebut, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung membentuk sebuah Persekutuan baharu yang dikenali sebagai Malaysia. Pembentukan ini bukanlah idea spontan Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, sebaliknya melalui rundingan yang panjang, perdebatan politik, penelitian terhadap kehendak penduduk, perubahan kepentingan geopolitik, kuasa dan keselamatan serantau. Malaysia yang lahir pada hari ini terdiri dari Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Singapura hanya berada dalam Persekutuan selama kira-kira dua tahun sebelum berpisah pada 1965.
Sebelum tertubuhnya Malaysia, ia bermula dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Kemerdekaan tersebut menandakan berakhirnya pemerintahan British di Persekutuan Tanah Melayu dan membuka ruang kepada kepimpinan tempatan untuk menentukan masa depan politik negara. Siapa sangka, dengan pembebasan daripada cengkaman penjajahan, Tanah Melayu telah mengorak ke hadapan apabila menjadi asas kepada perubahan politik dan peta Asia Tenggara. Ini dapat dilihat pada ketika itu, Sabah dan Sarawak masih berada di bawah pentadbiran British, manakala Singapura merupakan sebuah wilayah yang yang masih mempunyai hubungan perlembagaan dengan British. Oleh itu, Asia Tenggara pada penghujung 1950-an merupakan sebuah rantau yang sedang melalui proses dekolonisasi dan pembentukan negara bangsa. Pada ketika inilah, pemimpin Tanah Melayu mula memikirkan mengenai masa depan wilayah-wilayah British di Asia Tenggara tersebut. Adakah mereka akan kekal berada di bawah pentadbiran asing? Bagaimanakah Sabah, Sarawak dan Singapura akan berkembang? Adakah wilayah-wilayah tersebut akan berdiri sebagai negara berasingan atau membentuk satu gabungan politik yang lebih besar? Pada masa yang sama, isu pembangunan ekonomi dan keselamatan antarabangsa menjadi penanda aras kepada kemajuan negara Asia Tenggara. Persoalan inilah yang kemudiannya membawa kepada gagasan Malaysia.
Segalanya bermula pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dalam satu ucapan di Singapura mengemukakan idea untuk mewujudkan sebuah bentuk kerjasama politik yang lebih rapat antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak. Bagi Persekutuan Tanah Melayu, pembentukan sebuah persekutuan yang lebih besar dilihat mempunyai pertimbangan politik, ekonomi dan keselamatan. Faktor keselamatan serantau sememangnya tidak boleh diketepikan. Perkembangan politik kiri dan gerakan Komunis di beberapa bahagian Asia Tenggara menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan rantau tersebut. Bagi Singapura pula, hubungan dengan pasaran Tanah Melayu mempunyai kepentingan ekonomi yang besar. Oleh itu, terdapat pertembungan kepentingan antara pihak terlibat seperti kepentingan tempatan, serantau dan antarabangsa.
Pada tahun 1962, Suruhanjaya Cobbold menjalankan tinjauan untuk mengetahui pandangan penduduk di Borneo Utara dan Sarawak berhubung cadangan pembentukan Malaysia. Proses ini penting kerana usaha penyatuan wilayah-wilayah tersebut tidak boleh hanya melibatkan persetujuan antara pemimpin semata-mata malahan perlu mengambil kira pendapat masyarakat tempatan. Pada masa yang sama, Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter-Governmental Committee atau IGC) dibentuk bagi membincangkan perincian perlembagaan, pentadbiran dan perlindungan kepentingan Sabah dan Sarawak. Perbincangan ini menghasilkan pelbagai bentuk perlindungan dan pengaturan khas yang berkaitan dengan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan baharu seperti agama, bahasa, kewangan, kehakiman dan imigresen. Hal ini menjelaskan Sabah dan Sarawak bukan sekadar ‘menyertai’ sebuah negara yang telah sedia wujud tetapi merupakan komponen penting dalam proses pembentukan sebuah Persekutuan baharu di Asia Tenggara.
Brunei turut menjadi sebahagian daripada perbincangan mengenai pembentukan Malaysia. Namun, perkembangan politik di Brunei, termasuk pemberontakan pada tahun 1962 dan perbezaan pandangan mengenai syarat penyertaan, menyebabkan Brunei akhirnya tidak menyertai Malaysia.

Pada 16 September 1963, Malaysia secara rasmi ditubuhkan. Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung dalam sebuah persekutuan baharu. Pembentukan tersebut mengubah peta politik Asia Tenggara. Malaysia kini mempunyai wilayah yang jauh lebih luas, dengan kedudukan strategik yang merangkumi Semenanjung Tanah Melayu serta sebahagian besar Borneo. British menyerahkan kuasa berhubung wilayah-wilayah tersebut kepada persekutuan yang baharu dibentuk. Pembentukan Malaysia merupakan salah satu titik penting dalam sejarah pascaperang Asia Tenggara dan menandakan berakhirnya pemerintahan kolonial British di beberapa wilayah tersebut. Namun, pembentukan Malaysia tidak bermakna semua masalah telah selesai. Sebaliknya, negara baharu itu terus berhadapan dengan cabaran keselamatan dan politik. Isu pembentukan Malaysia ketika itu menjadi sebahagian daripada perdebatan antarabangsa yang melibatkan Indonesia, Filipina, British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Perubahan penting penubuhan Persekutuan Malaysia adalah perubahan nama Persekutuan Tanah Melayu kepada Persekutuan Negara Malaysia yang lebih besar. Nama Malaysia tidak akan wujud tanpa penubuhan Persekutuan Malaysia. Inilah perkara yang patut dihargai oleh generasi muda pada hari ini kerana negara mereka terbentuk atas dasar persepakatan dan persekutuan negara kecil membentuk negara yang lebih besar. Ini juga telah merubah peta Asia Tenggara hasil penggabungan beberapa buah negara yang akhirnya membentuk MALAYSIA.

Proses penubuhan Persekutuan Malaysia tidak berjalan dengan mudah. Indonesia di bawah Presiden Sukarno menentang pembentukan Malaysia dan melihatnya sebagai bentuk neokolonialisme British. Indonesia kemudiannya melancarkan dasar yang dikenali sebagai Konfrontasi. Slogan ‘Ganyang Malaysia’ menjadi terkenal. Konfrontasi bukanlah perang konvensional berskala besar, tetapi melibatkan tekanan politik, ekonomi dan ketenteraan. Terdapat juga penyusupan dan serangan di beberapa kawasan di Malaysia. Situasi ini menjadikan tahun 1963–1966 sebagai antara tempoh paling tegang dalam hubungan Malaysia-Indonesia.
Indonesia bukan satu-satunya negara yang mempunyai kebimbangan terhadap pembentukan Malaysia. Filipina turut membantah, khususnya berkaitan tuntutan terhadap Sabah. Kerajaan Filipina mempunyai tuntutan sejarah terhadap wilayah tersebut yang dikaitkan dengan Kesultanan Sulu. Perselisihan ini menyebabkan proses pembentukan Malaysia menjadi semakin kompleks.
Tahun 1964 menyaksikan Malaysia berhadapan dengan cabaran politik yang semakin kompleks, khususnya hubungan antara kerajaan pusat dengan kepimpinan politik Singapura. Singapura yang dipimpin oleh Lee Kuan Yew mempunyai pendekatan politik yang semakin berbeza daripada kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman. Perbezaan pandangan mengenai politik, ekonomi dan hubungan antara kaum semakin ketara. Dalam pilihan raya umum Malaysia pada 1964, Parti Tindakan Rakyat (PAP) turut bertanding di beberapa kawasan di Semenanjung. Perkembangan ini meningkatkan ketegangan politik antara kepimpinan Persekutuan dengan Singapura. Pada 9 Ogos 1965, Singapura berpisah daripada Malaysia dan menjadi sebuah negara berdaulat. Selepas pemisahan Singapura, Malaysia meneruskan perjalanan sebagai sebuah persekutuan yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Dalam tempoh hanya lapan tahun, dari 1957 hingga 1965, peta politik Asia Tenggara berubah dengan ketara. Persekutuan Tanah Melayu menjadi Malaysia. Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada sebuah Persekutuan baharu. Singapura menyertai Malaysia pada 1963 sebelum berpisah pada 1965. Pada masa yang sama, rantau ini menyaksikan berakhirnya sebahagian besar pengaruh kolonial British dan munculnya negara-negara baharu yang bebas merdeka.

Bagi generasi hari ini, selain daripada memperingati ulang tahun penubuhan Malaysia, mereka juga bertanggungjawab memastikan Malaysia terus merdeka dan berdaulat serta menjadi sebuah negara yang bersatu, adil dan disegani oleh kawan dan lawan. Malaysia bukan sekadar sebuah negara yang lahir pada 16 September 1963. Malaysia ialah sebuah perjalanan yang akan kekal sampai bila-bila.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
- 15 views
Reports by: