Skip to main content

Adab Dahulu, Baharu Ilmu

Adab Dahulu, Baharu Ilmu

Jika universiti hanya diukur melalui ranking, penerbitan dan kebolehpasaran graduan, maka kita mungkin sedang menilai kecemerlangan pada permukaan bukan pada asasnya. Hakikat yang lebih tidak selesa ialah kita mungkin sedang melahirkan graduan yang cemerlang, tetapi tidak semestinya jelas arah dan nilai.

Dalam era baharu pendidikan tinggi, khususnya dengan kemunculan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, negara menegaskan keperluan melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja kompeten, tetapi beretika, berintegriti dan berdaya tahan. Namun persoalan yang lebih kritikal ialah bolehkah matlamat ini dicapai jika asas pembinaan manusia itu sendiri tidak diperbetulkan?

Kita bercakap tentang transformasi digital, akademik, global. Tetapi jarang sekali kita bercakap tentang satu perkara yang lebih mendasar iaitu transformasi manusia. Di sinilah prinsip ‘Adab Dahulu, Baharu Ilmu’ menjadi bukan sekadar wacana klasik, tetapi keperluan strategik. 

Ia menuntut kita mengakui satu kebenaran yang sering dielakkan iaitu bahawa krisis sebenar dalam pendidikan tinggi bukan kekurangan ilmu, tetapi kekeliruan tentang bagaimana ilmu itu sepatutnya digunakan. Jika ilmu berkembang tanpa adab, kita tidak kekurangan kepakaran sebaliknya kita kekurangan arah. Dan apabila arah hilang, kecemerlangan menjadi kosong.

Krisis Kepimpinan sebagai Krisis Adab

Wacana kepimpinan moden terlalu lama terperangkap dalam bahasa kemahiran seperti komunikasi, strategi, kecekapan operasi. Kita melatih mahasiswa untuk bercakap, membentang, memimpin mesyuarat dan mengurus program. Tetapi kita jarang bertanya: apa yang memandu keputusan mereka apabila tiada siapa melihat?.

Di sinilah krisis sebenar bermula. Dalam realiti kampus hari ini, kita melihat fenomena yang semakin membimbangkan. Antaranya kepimpinan tanpa prinsip, aktivisme tanpa tanggungjawab dan kecemerlangan tanpa integriti. Mahasiswa boleh memimpin organisasi, tetapi gagal mengurus ego.

Mereka boleh berhujah dengan baik, tetapi tidak mampu menerima perbezaan.

Mereka boleh mencapai keputusan akademik yang tinggi, tetapi longgar dalam nilai. Ini bukan kegagalan individu semata-mata. Ini kegagalan pendekatan pembangunan yang terlalu menekankan kompetensi tanpa karakter.

RPTM 2026–2035: Aspirasi Besar, Cabaran Lebih Besar

RPTM 2026–2035 dengan jelas mengangkat agenda pembangunan insan holistik sebagai teras masa depan pendidikan tinggi negara. Graduan masa hadapan bukan sahaja perlu menguasai ilmu dan teknologi, tetapi juga mempunyai ketahanan diri, kejelasan nilai dan tanggungjawab sosial.

Namun, di sinilah cabaran sebenar muncul. Pelan strategik boleh dirangka dengan teliti. Sistem boleh dibangunkan dengan canggih. Program boleh dilaksanakan dengan meluas.

Tetapi jika pembinaan dalaman manusia tidak diberi keutamaan, semua ini hanya menghasilkan perubahan pada struktur dan bukan pada jiwa. RPTM menuntut lebih daripada transformasi sistem. Ia menuntut transformasi manusia.

Mahasiswa dan Ilusi Agen Perubahan

Mahasiswa sering dilihat sebagai agen perubahan. Namun, label ini semakin kehilangan makna apabila tidak disokong oleh pembinaan nilai. Sejarah, termasuk naratif dalam Surah al-Kahf, menunjukkan bahawa perubahan besar sering digerakkan oleh kelompok kecil anak muda yang mempunyai kejelasan prinsip. 

Realiti kampus menunjukkan ramai yang aktif, tetapi tidak reflektif. Malahan ramai yang memimpin, tetapi tidak memahami amanah juga ramai yang bersuara, tetapi tidak konsisten dalam tindakan. Potensi memang wujud. Tetapi potensi tanpa pembentukan hanyalah ilusi.

Sejarah membuktikan perubahan besar digerakkan oleh kelompok kecil yang jelas prinsipnya bukan yang paling ramai, tetapi yang paling teguh. 

Maka persoalannya bukan lagi berapa ramai mahasiswa terlibat?. Tetapi, berapa ramai yang benar-benar terbina?.
Universiti sebagai Ruang Pembinaan Nilai

Universiti memainkan peranan yang lebih besar daripada sekadar penyampaian ilmu. Ia merupakan ruang pembentukan identiti dan pemikiran generasi muda. Universiti hari ini berdepan tekanan untuk menghasilkan output yang boleh diukur seperti graduan, penerbitan, inovasi, ranking. Tidak salah. Tetapi apabila ukuran ini menjadi dominan, sesuatu yang lebih penting mula terpinggir iaitu pembinaan manusia.

Dalam konteks Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), aspirasi sebagai universiti teknologi terunggul menuntut keseimbangan antara kecemerlangan teknikal dan pembinaan nilai. Universiti teknologi bukan sekadar melahirkan jurutera atau teknologis. Ia membentuk individu yang akan mempengaruhi sistem, industri dan masyarakat.

Jika universiti hanya melahirkan individu yang cekap tetapi tidak berprinsip, maka universiti itu sedang menghasilkan masalah yang lebih besar untuk masa hadapan.

Pemerkasaan Mahasiswa: Dari Retorik ke Realiti

Di sinilah agenda pemerkasaan mahasiswa perlu dilihat semula secara jujur. Selama ini, pembangunan mahasiswa sering dibingkaikan melalui program, aktiviti dan penglibatan. Namun, persoalan yang lebih mendasar jarang disentuh adakah semua ini benar-benar membentuk mahasiswa, atau sekadar memenuhi kalendar universiti?.

Satu perkara perlu ditegaskan: nilai tidak terbina melalui slogan. Jika adab hanya disebut dalam ucapan, ia tidak mengubah apa-apa. Tetapi apabila adab diterjemahkan dalam bentuk sistem dan pengalaman yang konsisten, di situlah budaya mula terbentuk.

Pemerkasaan mahasiswa tidak boleh lagi bersifat serpihan atau bersandar kepada aktiviti jangka pendek. Ia memerlukan satu kerangka yang jelas, berstruktur dan berterusan. Yang membina mahasiswa dari dalam, bukan sekadar mengisi mereka dari luar.

Dalam konteks ini, pembangunan mahasiswa perlu digerakkan melalui empat dimensi utama yang saling melengkapi dan bukan sebagai slogan, tetapi sebagai asas pembinaan jati diri yang benar-benar berfungsi dalam realiti kehidupan. Ia digarap melalui perkataan A.D.A.B iaitu Aspire. Dynamic. Agile. Balanced.

Aspire’ bukan sekadar membina cita-cita, tetapi membentuk kejelasan tujuan hidup yang berteraskan nilai. Mahasiswa yang mempunyai aspirasi beradab tidak melihat kejayaan sebagai pencapaian peribadi semata-mata, tetapi sebagai amanah untuk memberi manfaat. Aspirasi tanpa nilai melahirkan ambisi; aspirasi yang berakar pada adab melahirkan arah.

Dynamic’ pula bukan sekadar aktif, tetapi memiliki keupayaan bertindak dengan kesedaran dan ketahanan. Dalam dunia yang sarat tekanan dan ketidakpastian, mahasiswa perlu dibentuk untuk tidak mudah goyah bukan hanya dari segi emosi, tetapi juga dari segi prinsip. Dinamik yang sebenar bukan pada banyaknya gerak, tetapi pada kekuatan untuk kekal teguh dalam tekanan.

Manakala ‘Agile’ bukan sekadar fleksibel, tetapi anjal dalam berfikir tanpa cair dalam prinsip. Mahasiswa perlu mampu menyesuaikan diri dengan perubahan yang pantas, tanpa menggadaikan nilai yang menjadi pegangan. Keanjalan tanpa prinsip melahirkan oportunis; keanjalan yang beradab melahirkan pemimpin yang matang.

Akhirnya ‘Balanced’ bukan sekadar mengurus masa, tetapi mencapai keseimbangan antara pencapaian, kesejahteraan dan tanggungjawab moral. Mahasiswa yang seimbang tidak mengorbankan nilai demi kejayaan, dan tidak mengabaikan kesejahteraan diri demi pencapaian. Keseimbangan ini memastikan kecemerlangan yang dicapai tidak merosakkan diri atau orang lain.

Keempat-empat dimensi ini bukan sekadar kerangka pembangunan, tetapi struktur dalaman yang menentukan bagaimana seorang mahasiswa berfikir, membuat keputusan dan memimpin dirinya sendiri.

Ini bukan soal menambah lebih banyak program. Ini soal menyusun semula cara kita membangunkan manusia. Selagi pemerkasaan mahasiswa dilihat sebagai aktiviti, kesannya akan sementara. Tetapi apabila ia dibina sebagai sistem yang berteraskan nilai, kesannya akan membentuk generasi.

Kerangka Pembangunan Mahasiswa Berlapis

Pembangunan mahasiswa tidak boleh lagi bersifat rawak atau bergantung kepada himpunan aktiviti yang bersifat sementara. Ia perlu distrukturkan dalam satu kerangka berlapis yang jelas, yang membina manusia secara bertahap iaitu bermula dari dalam, sebelum diterjemahkan ke luar.

Pada lapisan paling asas ialah adab, yang menjadi titik mula kepada seluruh proses pembinaan diri. Di sinilah mahasiswa dibentuk untuk memahami amanah dalam setiap tanggungjawab yang digalas, membina keupayaan bermuhasabah sebelum menilai orang lain, mempraktikkan integriti dalam tindakan walaupun tanpa pengawasan, serta mengurus manusia dengan rahmah dan hormat. Adab bukan sekadar nilai tambahan, tetapi disiplin dalaman yang menentukan arah kepada setiap keputusan. Tanpa asas ini, kemahiran dan kelebihan yang dimiliki tidak lagi menjadi kekuatan, sebaliknya boleh bertukar menjadi alat yang disalahgunakan.

Atas asas tersebut, baharulah terbina lapisan kedua iaitu ilmu, yang berfungsi sebagai teras kepada keupayaan berfikir dan bertindak. Mahasiswa perlu dilengkapi dengan kefahaman strategik agar mampu melihat sesuatu isu secara menyeluruh, literasi digital dan sosial bagi berfungsi dalam dunia yang semakin kompleks, serta keupayaan berfikir secara kritikal dalam membuat pertimbangan. Namun, ilmu tidak pernah neutral. Tanpa panduan adab, ilmu boleh dimanfaatkan untuk kepentingan sempit atau keputusan yang tidak beretika. Sebaliknya, apabila ilmu dipandu oleh adab, ia menjadi instrumen yang membina dan memberi makna kepada tindakan.

Lapisan seterusnya ialah pengalaman, iaitu ruang di mana segala yang difahami diuji dalam realiti. Kepimpinan tidak terbina melalui teori semata-mata, tetapi berkembang melalui penglibatan dalam organisasi, interaksi dengan komuniti dan keupayaan mengurus situasi yang kompleks termasuk konflik dan tekanan. Dalam pengalaman inilah nilai tidak lagi sekadar difahami secara konseptual, tetapi diuji secara praktikal. Mahasiswa belajar bahawa membuat keputusan bukan sekadar soal betul atau salah, tetapi soal tanggungjawab dan implikasi terhadap manusia lain.

Kerangka berlapis ini menegaskan bahawa pembinaan mahasiswa bukan proses segera, tetapi proses yang berperingkat dan berakar. Adab membentuk arah, ilmu membina keupayaan, dan pengalaman menguji kesahihan kedua-duanya. Tanpa susunan ini, pembangunan mahasiswa akan kekal bersifat permukaan iaitu aktif, tetapi tidak semestinya terbina. Justeru, kerangka ini bukan sekadar pendekatan pembangunan, tetapi satu bentuk pembetulan terhadap arah pendidikan itu sendiri yang menuntut universiti beralih daripada budaya ‘mengisi’ mahasiswa kepada usaha membina struktur dalaman mereka secara sedar dan konsisten. Hanya melalui pendekatan yang berlapis dan berakar ini, mahasiswa tidak sekadar menjadi individu yang berkemahiran, tetapi insan yang jelas nilai, teguh prinsip dan mampu memimpin dalam realiti yang semakin kompleks dan mencabar.

Cabaran: Antara Ideal dan Realiti

Pendekatan berasaskan adab sering dianggap idealistik iaitu terlalu normatif, sukar diukur dan tidak selari dengan tuntutan prestasi yang pantas. Namun, realiti di lapangan menunjukkan bahawa kebanyakan kegagalan organisasi bukan berpunca daripada kelemahan strategi, tetapi daripada keruntuhan nilai yang tidak ditangani dari awal.
Kita tidak kekurangan modul. Kita tidak kekurangan latihan. Kita juga tidak kekurangan pelan strategik yang tersusun. Apa yang kita kekurangan ialah kesungguhan untuk membina manusia secara serius dan konsisten. Dalam banyak keadaan, pembangunan mahasiswa lebih tertumpu kepada apa yang mudah dilaksanakan dan diukur, berbanding apa yang benar-benar membentuk karakter.

Maka persoalannya bukan lagi sama ada pendekatan ini praktikal atau tidak. Persoalan sebenar ialah: adakah kita benar-benar bersedia mengubah cara kita membangunkan mahasiswa iaitu daripada pendekatan berasaskan aktiviti kepada pendekatan berasaskan pembinaan nilai yang mendalam, walaupun ia lebih sukar, lebih perlahan, tetapi jauh lebih bermakna dan berkekalan?

Kesimpulan: Mengembalikan Arah Pendidikan

Pada akhirnya, persoalan tentang pendidikan tinggi bukan sekadar bagaimana kita mengajar, tetapi apa yang kita hasilkan sebagai manusia. Kita boleh membina universiti yang canggih. Kita boleh menghasilkan graduan yang pintar. Kita boleh mencapai penarafan yang membanggakan. Tetapi jika kita gagal membina manusia yang beradab, semua itu hanya kejayaan yang rapuh.

RPTM 2026–2035 telah menggariskan hala tuju yang jelas iaitu pembangunan insan holistik sebagai teras masa depan pendidikan tinggi negara. Namun, pelan strategik tidak akan bermakna jika ia tidak diterjemahkan dalam bentuk pembinaan karakter yang sebenar.

Dalam konteks UMPSA, aspirasi sebagai universiti teknologi terunggul tidak boleh berhenti pada kecemerlangan sistem dan teknologi. Ia mesti diterjemahkan kepada pembinaan mahasiswa yang berprinsip, berintegriti dan berjiwa besar. Di sinilah Akademi A.D.A.B bukan sekadar pelengkap tetapi penentu arah.

‘Adab Dahulu, Baharu Ilmu’ bukan slogan. Ia adalah garis pemisah antara kepimpinan yang memimpin, dan kepimpinan yang memanipulasi, ilmu yang membina, dan ilmu yang merosakkan serta kejayaan yang sementara dan kecemerlangan yang berakar  

Kita tidak kekurangan sistem. Kita tidak kekurangan strategi. Apa yang kita kekurangan ialah keberanian untuk bermula dari asas iaitu membina manusia sebelum membina struktur.

Kerana pada akhirnya, ilmu menentukan apa yang mampu kita lakukan tetapi adab menentukan siapa kita, dan ke mana kita akan pergi.

Rujukan 
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. (2015). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025. Putrajaya: KPT.

Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. (2026). Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035. Putrajaya: KPT.

Mohd Taib, M. (2021). Pembangunan mahasiswa dan kepimpinan berasaskan nilai dalam pendidikan tinggi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Institut Integriti Malaysia. (2020). Laporan Integriti Nasional. Kuala Lumpur: IIM.

Syed Muhammad Naquib al-Attas. (1980). The Concept of Education in Islam. Kuala Lumpur: ABIM.

mohd raizalhilmy

Oleh: MOHD RAIZALHILMY MOHD RAIS
E-mel: hilmy@umpsa.edu.my

Penulis ialah Pengurus Akademi A.D.A.B, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).   

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim