Skip to main content

Adab Membina Universiti

Universiti sering diukur melalui kedudukan dalam penarafan global, jumlah penerbitan penyelidikan atau keupayaan menghasilkan inovasi teknologi. Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, ukuran-ukuran ini menjadi indikator penting kepada prestasi institusi.

Namun, dalam realiti pengurusan universiti, kekuatan sebenar sesebuah institusi jarang bergantung kepada teknologi, bangunan atau sistem pentadbiran semata-mata. Kekuatan itu sebenarnya terletak pada sesuatu yang lebih asas iaitu nilai yang membentuk cara manusia berfikir, bertindak dan memimpin dalam institusi tersebut.

Ada universiti yang memiliki kemudahan paling moden tetapi masih bergelut membina budaya organisasi yang kukuh. Sebaliknya, ada universiti yang mungkin tidak memiliki sumber paling besar, namun mampu mengekalkan reputasi serta kepercayaan masyarakat dalam jangka masa panjang. Perbezaannya jarang terletak pada strategi.

Perbezaannya terletak pada budaya dan nilai yang menghidupkan universiti tersebut. Universiti tidak kehilangan arah kerana kekurangan strategi.  Universiti kehilangan arah apabila nilai tidak lagi menjadi kompas yang membimbing warganya.

Dalam landskap pendidikan tinggi hari ini, universiti berdepan pelbagai tekanan iaitu daripada persaingan global dan tuntutan inovasi teknologi hinggalah kepada keperluan melahirkan graduan yang mampu berfungsi dalam dunia yang semakin kompleks.

Sehubungan itu, dasar pendidikan tinggi negara seperti Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 turut menekankan pembangunan insan holistik serta kepimpinan berasaskan nilai sebagai asas kepada transformasi universiti masa depan (Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, 2026).

Namun di sebalik segala agenda transformasi ini, satu persoalan mendasar perlu direnungi; Apakah yang sebenarnya membina kekuatan sesebuah universiti?

Jawapannya bukan sekadar strategi atau teknologi. Jawapannya ialah adab.

Universiti sebagai Komuniti Ilmu dan Pembinaan Insan
Dalam tradisi keilmuan Islam, pendidikan tidak pernah difahami sekadar sebagai proses pemindahan ilmu. Tokoh pemikir Malaysia, Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa tujuan sebenar pendidikan ialah penanaman adab dalam diri manusia (Al-Attas, 1980).

Adab merujuk kepada kefahaman tentang kedudukan sesuatu secara tepat dalam susunan nilai dan tanggungjawab. Ia bukan sekadar kesantunan tingkah laku, tetapi kesedaran moral dan intelektual yang membimbing seseorang menggunakan ilmu secara benar.

Ilmu tanpa adab melahirkan kecerdikan yang berisiko. Adab tanpa ilmu pula melahirkan niat baik yang tidak berkesan. Universiti memerlukan kedua-duanya. Apabila manusia memahami kedudukan dirinya terhadap ilmu, masyarakat dan Tuhan, maka tindakannya akan selari dengan tanggungjawab tersebut. Sebaliknya, apabila ilmu berkembang tanpa adab, ia boleh menghasilkan kecerdikan yang tidak disertai kebijaksanaan.

Dalam era pendidikan tinggi yang sangat kompetitif, universiti sering menumpukan perhatian kepada ranking, penerbitan penyelidikan dan inovasi teknologi. Namun, pencapaian tersebut hanya bermakna apabila disertai pembinaan karakter insan. Universiti bukan sekadar pusat penghasilan ilmu. Universiti ialah komuniti yang membentuk manusia.

Dalam konteks ini, universiti tidak boleh hanya berperanan sebagai ruang penyampaian pengetahuan, tetapi perlu menjadi medan pembinaan keperibadian dan kesedaran intelektual. Ilmu yang diperoleh bukan sekadar memperkukuh kepakaran profesional, malah perlu membentuk kesedaran tentang tanggungjawab manusia terhadap masyarakat dan masa depan peradaban. Justeru, universiti yang benar-benar berfungsi sebagai komuniti ilmu ialah universiti yang menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan pembinaan adab, kerana hanya melalui keseimbangan tersebut ilmu dapat dimanfaatkan secara bermakna untuk kemajuan masyarakat.

Tanpa adab, universiti mungkin mampu melahirkan graduan yang cerdas. Namun, hanya dengan adab, universiti mampu melahirkan manusia yang bijaksana.

Nilai Teras sebagai Asas Budaya Universiti
Dalam konteks Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), pembangunan universiti berasaskan nilai diterjemahkan melalui lima nilai teras utama iaitu hubungan yang utuh dengan Yang Maha Pencipta; keteguhan mempertahankan prinsip yang disepakati; kreativiti dalam membuat keputusan yang bijaksana; kecekalan menghadapi cabaran dan sikap proaktif dalam tindakan

Nilai-nilai ini membentuk asas budaya organisasi universiti dan menjadi panduan dalam membina identiti institusi (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, 2023). Sebagai sebuah universiti teknologi yang sentiasa bergerak dalam ekosistem inovasi, UMPSA berdepan perubahan yang pantas iaitu daripada pengukuhan penyelidikan kepada kerjasama industri dan pendigitalan pentadbiran.

Namun, kemajuan teknologi sahaja tidak menjamin kelestarian institusi. Tanpa nilai sebagai asas, perubahan boleh berlaku tanpa arah yang jelas. Strategi membina struktur universiti. Nilai membina jiwa universiti.

Lebih daripada sekadar pernyataan rasmi institusi, nilai sebenarnya perlu diterjemahkan dalam cara universiti membuat keputusan, cara pemimpin memimpin dan cara warga kampus berinteraksi antara satu sama lain. Apabila nilai benar-benar hidup dalam budaya organisasi, ia akan membentuk persekitaran yang menumbuhkan integriti akademik, kepercayaan institusi dan rasa tanggungjawab bersama terhadap masa depan universiti. Inilah yang membezakan universiti yang sekadar berkembang dari segi struktur dengan universiti yang benar-benar matang sebagai institusi ilmu.

Pada akhirnya, universiti yang kukuh tidak dibina oleh strategi semata-mata. Ia dibina oleh nilai yang dihayati secara konsisten oleh seluruh warganya. Strategi mungkin berubah mengikut tuntutan zaman, tetapi nilai yang teguh akan sentiasa menjadi kompas yang mengekalkan arah, maruah dan makna kewujudan sesebuah universiti. Universiti yang benar-benar besar bukan sekadar memiliki teknologi yang canggih atau strategi yang hebat, tetapi memiliki nilai yang mampu membentuk watak manusia dan arah peradaban. 

Mahasiswa sebagai Titik Mula Transformasi Universiti
Transformasi universiti sering dibincangkan melalui pelan strategik atau agenda inovasi. Walau bagaimanapun, perubahan sebenar dalam universiti sering bermula daripada pengalaman harian mahasiswa.

Kajian mengenai pengalaman pelajar dalam pendidikan tinggi menunjukkan bahawa kesejahteraan emosi dan pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah memberi kesan langsung kepada pembangunan kepimpinan mahasiswa (Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, 2021).

Mahasiswa belajar bukan sahaja melalui kuliah, tetapi juga melalui budaya kampus yang mereka alami setiap hari. Pengalaman tersebut merangkumi interaksi dengan pensyarah, penglibatan dalam organisasi pelajar serta pengalaman memimpin dan bekerja dalam pasukan.

Mahasiswa tidak hanya belajar daripada kurikulum universiti. Mereka belajar daripada budaya universiti. Apabila pengalaman ini dipandu oleh nilai dan adab, universiti sebenarnya sedang membina generasi pemimpin masa depan.

Lebih daripada sekadar proses pembelajaran akademik, pengalaman kampus membentuk cara mahasiswa melihat peranan mereka dalam masyarakat. Interaksi yang bermakna dengan pensyarah, penglibatan aktif dalam organisasi pelajar serta pengalaman memimpin dan berkhidmat kepada komuniti membina keyakinan diri, kepekaan sosial dan keupayaan membuat keputusan yang bertanggungjawab. Dalam ruang inilah, universiti memainkan peranan sebagai medan pembentukan kepimpinan muda yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berintegriti.

Pada akhirnya, masa depan universiti tidak hanya ditentukan oleh dasar atau pelan strategiknya, tetapi oleh manusia yang dibentuk melalui pengalaman di dalamnya. Universiti yang memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada mahasiswa sebenarnya sedang membina asas kepada kepimpinan masyarakat pada masa hadapan kerana di dalam universiti hari ini, sedang dibentuk pemimpin yang akan menentukan arah masyarakat esok.

Kepimpinan dan Tadbir Urus Berasaskan Nilai
Budaya universiti sentiasa mencerminkan gaya kepimpinan. Kajian dalam kepimpinan pendidikan tinggi menunjukkan bahawa pemimpin yang reflektif dan berorientasikan nilai lebih berupaya membina budaya organisasi yang mampan (Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, 2020).

Dalam perspektif Islam, dimensi dalaman kepimpinan diterjemahkan melalui konsep seperti muhasabah, amanah, rahmah dan keadilan. Kepimpinan yang berasaskan nilai tidak sekadar mengurus organisasi. Ia membina makna dan kepercayaan dalam kalangan warga universiti. Apa yang pemimpin toleransi akhirnya akan menjadi budaya organisasi.

Selain kepimpinan, universiti juga memerlukan sistem tadbir urus yang telus dan berintegriti. Prinsip tadbir urus seperti akauntabiliti, ketelusan dan keseimbangan kuasa turut ditekankan dalam kerangka tadbir urus korporat di Malaysia (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, 2017).

Dalam persekitaran universiti yang semakin kompleks, gabungan antara kepimpinan beretika dan tadbir urus yang kukuh menjadi asas kepada kestabilan serta kematangan institusi. Universiti yang dipimpin dengan nilai akan lebih berupaya membina budaya kerja yang berintegriti, mengurus konflik secara matang serta mengekalkan kepercayaan warga akademik dan masyarakat. Kerana pada akhirnya, budaya universiti bukan dibentuk oleh dasar semata-mata, tetapi oleh nilai yang dihayati oleh mereka yang memimpinnya.

ADAB sebagai Kerangka Pembangunan Mahasiswa
Pendekatan pembangunan mahasiswa melalui Akademi A.D.A.B menekankan pembentukan jati diri mahasiswa secara menyeluruh melalui empat dimensi utama iaitu Aspire, Dynamic, Agile, Balanced.

Aspire menekankan pembinaan aspirasi dan tujuan hidup mahasiswa. Dynamic memberi ruang kepada pembangunan kepimpinan melalui penglibatan dalam organisasi pelajar dan aktiviti komuniti. Agile membentuk keanjalan pemikiran agar mahasiswa mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan ekonomi global. Balanced memastikan keseimbangan antara pembangunan intelektual, emosi dan spiritual.

Pendekatan ini memberi perhatian khusus kepada mahasiswa pada tahun-tahun awal pengajian kerana tempoh tersebut merupakan fasa penting pembentukan identiti dan nilai. Kerangka ini bertujuan menyusun pengalaman kampus sebagai proses pembinaan insan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik tetapi juga matang dari segi kepimpinan dan nilai (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, 2024).

Melalui pendekatan ini, universiti berperanan sebagai ruang pembentukan generasi pemimpin masa hadapan yang memahami bahawa ilmu bukan sekadar alat untuk mencapai kejayaan peribadi, tetapi amanah yang perlu dimanfaatkan untuk kebaikan masyarakat. Apabila ilmu dipandu oleh adab, universiti bukan sahaja melahirkan graduan yang berjaya, tetapi membentuk manusia yang mampu memimpin masa depan dengan kebijaksanaan dan tanggungjawab.

Universiti Teknologi dan Tanggungjawab Peradaban
Universiti teknologi sering dikaitkan dengan kemajuan sains, inovasi industri dan pembangunan ekonomi. Peranan ini sangat penting dalam membina daya saing negara, khususnya dalam era Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi digital.

Namun, di sebalik peranan tersebut, universiti teknologi sebenarnya memikul tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar menghasilkan teknologi atau tenaga kerja mahir. Ia memikul tanggungjawab peradaban.

Sejarah tamadun menunjukkan bahawa kemajuan teknologi tanpa panduan nilai boleh membawa kesan yang tidak dijangka. Teknologi boleh mempercepatkan pembangunan, tetapi juga boleh mempercepatkan kerosakan jika tidak dipandu oleh kebijaksanaan moral.

Dalam konteks ini, universiti teknologi tidak boleh sekadar menjadi pusat penghasilan kepakaran teknikal. Ia perlu menjadi ruang yang menghubungkan ilmu, nilai dan tanggungjawab sosial. Seorang jurutera tidak hanya membina struktur fizikal.
Seorang saintis tidak hanya menghasilkan penemuan baharu. Seorang teknologis tidak hanya membangunkan sistem.

Mereka semua berperanan membentuk masa depan masyarakat. Oleh itu, universiti teknologi perlu memastikan bahawa pembangunan ilmu dan teknologi sentiasa disertai pembinaan nilai dan adab.

Teknologi membentuk dunia yang kita bina. Adab menentukan dunia yang kita wariskan. Di sinilah universiti memainkan peranan sebagai institusi peradaban iaitu tempat di mana kemajuan ilmu diselaraskan dengan tanggungjawab moral terhadap manusia dan masyarakat.

Apabila universiti teknologi berjaya mengimbangi antara kecemerlangan akademik, pembangunan teknologi dan pembinaan nilai, ia bukan sahaja menyumbang kepada kemajuan ekonomi, tetapi juga kepada pembinaan masyarakat yang lebih seimbang dan beretika.

Universiti yang Dibina dengan Adab
Transformasi universiti merupakan suatu perjalanan yang berterusan. Struktur organisasi boleh disusun semula, sistem pentadbiran boleh dinaik taraf dan teknologi boleh diperbaharui dalam tempoh yang relatif singkat. Namun, membina budaya institusi memerlukan masa yang jauh lebih panjang. Universiti mungkin mampu membina bangunan baharu dalam beberapa tahun, tetapi membina budaya memerlukan generasi.

Dalam tradisi keilmuan yang berakar pada nilai, adab sentiasa mendahului ilmu kerana adab menentukan arah penggunaan ilmu tersebut. Tanpa adab, kecemerlangan akademik boleh menjadi rapuh dan kehilangan makna. Dengan adab, kecemerlangan bukan sahaja dipertahankan, malah dimanfaatkan untuk kebaikan yang lebih luas.

Apabila adab menjadi kompas kepada pembangunan universiti, perubahan yang berlaku tidak sekadar bersifat struktural atau teknikal. Ia menjadi proses pembinaan manusia, pembentukan kepimpinan serta pengukuhan budaya institusi yang berintegriti.

Realiti pendidikan tinggi di Malaysia menunjukkan bahawa transformasi universiti tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu struktur organisasi atau kemajuan teknologi. Banyak universiti telah melaksanakan pelbagai inisiatif transformasi seperti pendigitalan sistem pentadbiran, pengukuhan penyelidikan serta kerjasama strategik dengan industri.

Namun, cabaran sebenar sering muncul pada tahap budaya organisasi. Dalam sesetengah keadaan, perubahan dasar yang baik boleh berhadapan dengan tentangan bukan kerana ia tidak relevan, tetapi kerana komunikasi perubahan tidak difahami dengan jelas atau kepercayaan terhadap kepimpinan tidak cukup kukuh.

Keadaan ini menunjukkan bahawa transformasi universiti pada hakikatnya melibatkan dimensi yang lebih mendalam iaitu dimensi manusia dan budaya organisasi. Universiti yang benar-benar hebat bukan sekadar menghasilkan graduan yang pintar, tetapi membina manusia yang tahu menggunakan ilmu dengan tanggungjawab, kebijaksanaan dan keinsafan terhadap kesan tindakan mereka kepada masyarakat.

Kesimpulannya, sebagai seorang pentadbir yang terlibat secara langsung dalam pembangunan mahasiswa dan pengurusan universiti, persoalan tentang nilai serta adab bukan sekadar wacana akademik. Ia merupakan realiti yang dilihat setiap hari melalui interaksi dengan mahasiswa, rakan sekerja serta pelbagai cabaran dalam pengurusan organisasi.

Kadangkala kita terlalu sibuk membincangkan strategi, indikator prestasi dan pelan transformasi sehingga terlupa bahawa universiti sebenarnya dibina oleh manusia dengan harapan, cabaran dan potensi yang mereka bawa bersama.

Daripada pengalaman tersebut, satu perkara menjadi semakin jelas: perubahan yang benar-benar bertahan bukanlah perubahan yang dipaksakan oleh sistem semata-mata, tetapi perubahan yang lahir daripada kesedaran nilai.

Adab tidak muncul melalui slogan, kempen atau dokumen dasar sahaja. Ia lahir melalui teladan kepimpinan, budaya organisasi serta pengalaman harian yang membentuk cara mahasiswa memahami dunia.

Mungkin inilah cabaran sebenar universiti pada hari ini iaitu bukan sekadar melahirkan graduan yang cerdas, tetapi memastikan bahawa kecerdikan itu dipandu oleh nilai, tanggungjawab dan kebijaksanaan.

Kerana pada akhirnya, universiti tidak sekadar membina kerjaya.

Universiti membina manusia.

Rujukan

Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi. (2017). Laporan Kepimpinan Pendidikan Tinggi Malaysia.

Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi. (2020). Amalan Kepimpinan Pendidikan Tinggi di Malaysia.

Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi. (2021). Laporan Pengalaman Pelajar dan Pembangunan Holistik Mahasiswa.

Al-Attas, S. M. N. (1980). The Concept of Education in Islam.

Institut Integriti Malaysia. (2020). Laporan Integriti Nasional.

Ismail, A., et al. (2018). Kecerdasan emosi dan keberkesanan kepimpinan sektor awam Malaysia.

Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. (2026). Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. (2017). Malaysian Code on Corporate Governance.

Universiti Kebangsaan Malaysia. (2020). Kajian Pengalaman Kampus dan Kesejahteraan Pelajar.

Universiti Malaya. (2019). Reflective Leadership in Higher Education.

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. (2023). Nilai Teras UMPSA dan Budaya Organisasi.

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. (2024). Inisiatif Akademi ADAB dan Pembangunan Jati Diri Mahasiswa.

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah. (2025). Amanat Naib Canselor: Kerangka SPIROS dan Agenda Transformasi

adab membina

 

 

 

 

 

Oleh: MOHD RAIZALHILMY MOHD RAIS
E-mel: hilmy@umpsa.edu.my
   

Penulis ialah Pengurus Akademi A.D.A.B, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).   

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
AINIEY