Skip to main content

Amanah Pahlawan Mat Kilau: Pesanan Buat Generasi Pewaris Bangsa

Walaupun bulan kemerdekaan baharu sahaja berlalu, semangat dan erti kemerdekaan seharusnya terus dihayati dan dipelihara. Sebagai generasi muda, mereka mungkin terleka dengan nikmat kemerdekaan yang sedang mereka kecapi. Oleh itu, menyingkap pesanan pahlawan mungkin salah satu wadah yang boleh djadikan inspirasi bagi terus memelihara nikmat kemerdekaan ini untuk diwarisi oleh generasi seterusnya.

Bagi memenuhi hasrat tersebut, Kelab Sekretariat Kesukarelawan Mahasiswa, Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah (SKM-UMPSA) telah menganjurkan program Nextgen Leaders kepada pelajar-pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Kilau, Kuantan. Di antara pengisian penting program tersebut adalah mengingatkan kembali pesanan Pahlawan Terbilang Melayu Pahang, Mat Kilau yang pernah berpesan:

          “Jaga agama, jaga keluarga, jaga negara; jangan sampai bangsaku tiada negara..”

Ceramah yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), UMPSA, Dr. Rohana Hamzah bertujuan merungkai kembali inti pati penting pesanan tersebut. Pahlawan Mat Kilau mengingatkan kita semua bahawa agama adalah asas terpenting yang perlu dijaga bagi memastikan nikmat kemerdekaan ini terus terpelihara. Ia juga merupakan asas paling utama dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia. Secara umumnya, maksud agama atau beragama adalah orang yang memiliki kepercayaan kepada Tuhan dan patuh kepada perintah dan larangan-Nya. Prinsip ini juga telah dijadikan prinsip pertama di dalam Rukun Negara.

Mengapa prinsip beragama ini perlu dijaga? Sebagai pewaris kita perlu sedar bahawa kebebasan fizikal sahaja tidak memadai dalam perjuangan mempertahankan kemerdekaan ini. Apa yang lebih penting adalah kebebasan jiwa daripada menganut ideologi penjajah. Generasi muda perlu sedar bahawa pemikiran penjajah warisan barat terbina di atas prinsip pemisahan antara agama dengan kehidupan baik dari sudut sosial, politik mahupun ekonomi. Bukan sekadar itu sahaja, ia juga memberi kesan kepada pemikiran yang membawa kepada pemikiran pemisahan di antara diri individu dengan Tuhannya dan di antara matlamat dunia dengan akhiratnya. Oleh itu, menjaga agama bermaksud kita perlu pastikan cara fikir kita sebagai generasi pewaris merdeka iaitu benar-benar bebas daripada cara fikir penjajah. 

Jika penjajah berpegang kepada pemikiran pemisahan kita perlu memperteguh pegangan kepada pemikiran penyatuan. Penyatuan dalam konteks ini bermaksud membina kembali hubungan diri sebagai hamba kepada Tuhan-Nya sebagai sumber kekuatan dalaman. Manakala, kepatuhan kepada perintah dan larangan-Nya perlu dijadikan panduan dalam pertimbangan untuk membezakan betul salah dalam amalan serta perbuatan sebagai asas membina cara hidup yang bertamadun. Dengan berpegangan kepada prinsip inilah akan mengukuhkan kekuatan dalaman kita dan menjadi benteng terpenting dalam memelihara jati diri bangsa Malaysia yang merdeka dan bermaruah.

Sekiranya kita meninjau pelbagai isu semasa yang berlaku di sekeliling kita seperti kes buli di sekolah dan universiti melibatkan adik Zara Qairina, Mohamad Nazmie Aizzat dan Zulfarhan, semuanya mengambarkan tentang keadaan generasi muda yang semakin ramai hilang kawalan diri. Apatah lagi cabaran kehidupan ‘di sebalik skrin’ dengan adanya sokongan teknologi yang semakin canggih tetapi semakin mendorong manusia untuk bertindak bebas dan hidup bertuhankan hawa nafsu. Benarlah pesanan Profesor Dato’ Dr. Sidek Baba yang berbunyi:

“Bila terputus hubungan manusia dengan Pencipta, maka pertimbangan manusia akan hilang pedoman, nafsu-nafsi mengambil alih dan manusia akan bertindak melampaui batas.”

Oleh itu, semua pihak berkepentingan terutamanya mereka yang terlibat dalam dunia pendidikan, dakwah termasuklah ibu bapa perlu sedar kepentingan memelihara agama dalam konteks yang lebih mendalam. Inilah perjuangan untuk memelihara kemerdekaan jiwa dan pemikiran generasi muda selaku pewaris bangsa dan negara yang perlu dirancang dan dilaksanakan tanpa jemu oleh semua pejuang yang bernama ‘pendidik’ dalam semua platform yang ada.

Pesanan Pahlawan Mat Kilau seterusnya, meminta kita menjaga keluarga. Keluarga sebagai  sistem organisasi terkecil negara perlu dipelihara dan dibentuk kehidupannya berpandukan prinsip kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Inilah asas untuk membentuk kesejahteraan dalam sistem kekeluargaan. Secara tidak langsung, kehidupan dan pengurusan keluarga yang bertentangan dengan agama seperti seks bebas, budaya LGBT, perkahwinan tanpa anak dan lain-lain pemikiran perlu di cegah daripada menular dalam masyarakat. Semua institusi pendidikan selaku institusi pencegahan perlu lebih fokus dan sedar tentang kepentingan peranan mereka dalam melahirkan generasi yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan keluarga sebagai asas untuk memelihara peradaban bangsa.

Pahlawan Mat Kilau juga berpesan kepada kita untuk menjaga negara. Negara adalah tanah tumpah darah kita yang perlu kita perjuangkan kebebasannya daripada dijajah kembali oleh mana-mana kuasa dunia. Oleh itu, di antara ciri-ciri penting sebuah negara berdaulat ialah mempunyai tanah dengan sempadan yang jelas, sebuah kerajaan yang mentadbir, mempunyai penduduk dan bebas untuk membuat keputusan tanpa campur tangan asing. Maka, menjaga negara bermaksud menjaga tanahnya, sempadannya, pentadbirannya, penduduknya dan kebebasannya dalam membuat keputusan tanpa perlu campur tangan asing. 

Sekiranya kita renung dengan lebih mendalam, sehingga ke hari ini strategi penjajah yang perjuang di atas formula pemikiran pemisahan tidak banyak berubah. Sehingga saat ini, mereka masih menggunakan strategi ‘pecah dan perintah’. Namun, apa yang perlu kita sedar serangan tidak lagi datang dalam bentuk fizikal tetapi dalam bentuk yang lebih halus baik dalam bentuk serangan ekonomi, politik dan sosial. Oleh itu, sekiranya kemerdekaan ini ingin dipertahankan, negara perlu dijaga berpandukan agama iaitu kembali berpegang teguh kepada prinsip kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Prinsip ini perlu dijadikan panduan dalam merancang perpaduan, kemajuan dan memelihara kemakmuran bangsa dan negara daripada sudut sosial, ekonomi dan juga politik. Maka, agama tidak cukup hanya dikenali dengan nama tetapi perlu dihayati dengan makna. Penghayatan yang mendalam ini penting untuk membina jati diri pewaris bangsa dan negara Malaysia yang merdeka.

Amanah Pahlawan Mat Kilau: Pesanan Buat Generasi Pewaris Bangsa

Oleh: Dr. Rohana Hamzah
E-mel: rohanahamzah@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).  

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri