Anak Syurga Mengamuk? Apa Perlu Kita Buat?
Apabila anak autisme saya mengamuk di dalam pasar raya, semua orang akan memandang sinis seperti kami si ibu dan bapa tidak pandai menjaga anak. Dalam sedih dan malu, si ayah mendukung anaknya yang sedang meronta, dibawa masuk ke dalam kereta. Saya sebagai ibu, terus meninggalkan troli yang penuh dengan barang-barang yang masih belum dibayar kerana kami terlalu malu.
Di dalam kereta, suami menumbuk dashboard kereta sambil menjerit marah kepada takdir, “Kenapa aku mendapat anak memalukan sebegini, apa dosa aku? Aku bukan buat jahat, kenapa dapat anak OKU?”. Di rumah, saya bawa anak masuk ke dalam rumah. Suami keluar mencari ketenangan, memang selalu begini. Saya pening kerana terpaksa melayan anak OKU dan suami yang tidak boleh menerima takdir, sedih sangat.
Hari itu di restoran, anak meragam lagi. Satu kedai pandang hina kepada kami. Kami terus bayar makanan walaupun tidak sempat habiskan. Di dalam kereta suami mengamuk marahkan takdir, apa yang perlu saya lakukan Hamka?
Begitulah luahan seorang kenalan kepada saya dan saya tulis artikel ini sebagai menjawab berdasarkan pengalaman saya sendiri.
Pertama sekali, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Suami puan perlu pergi berjumpa doktor pakar. Saya risau stres dan murung, susah juga. Puan pun perlu lakukan perkara yang sama. Anak OKU perlu ikut jadual rawatan, insya-Allah.
Saya sebagai bapa kepada anak OKU pernah alami peristiwa di atas, anak meragam, mengamuk, dan menangis di tempat awam. Saya terus beritahu kepada orang ramai, “Anak saya OKU, autisme. Ada masalah emosi. Maafkan kami kerana sikap anak kami.” Apabila kita beritahu, baharu orang ramai faham dan akan menghulurkan bantuan.
Contohnya, isteri pujuk anak. Saya pula beritahu masalah anak kepada orang ramai. Saya juga berbisik kepada sesiapa di situ supaya pura-pura mahu mengambil anak saya, jadi anak saya akan berasa sedikit takut dan mudah sedikit dipujuk.
Tetapi ada hari tidak jalan juga. Si anak mengamuk mahu membeli semua permainan di kedai. Saya dan isteri terpaksa pujuk dalam keadaan si anak menggelupur dan menggigit tangan kami. Tapi kami terima dan senyum sahaja. Dugaan ini dekatkan diri dengan syurga. Insya-Allah.
Tetapi memang perlu beritahu terus kepada sesiapa yang ada di situ, “Anak saya OKU, autisme. Ada masalah emosi. Maafkan kami kerana sikap anak kami.”
Minggu lepas, sewaktu menghantar anak sulung masuk ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), tiba-tiba anak OKU meragam di dalam asrama. Isteri pula sedang sibuk mengemas almari. Saya terus beritahu kepada ibu bapa di situ, “Anak saya OKU, autisme. Ada masalah emosi. Maafkan kami kerana sikap anak kami.”
Kemudian, dua, tiga orang mak cik yang berpengalaman menjaga anak OKU datang menolong dan memujuk si anak. Rupa-rupanya salah seorang makcik itu mempunyai anak saudara autisme. Keadaan pun terkawal.
Pernah juga isteri menegur saya. “Abang ini, semua orang nak beritahu yang anak kita OKU. Kan dia tidak meragam.”
Jawapan saya, “Memanglah dia tidak meragam sekarang. Tetapi abang nak sedarkan masyarakat tentang autisme. Apabila abang beritahu orang ramai yang masih tidak tahu tentang autisme, abang juga bercerita sedikit tentang masalah dihadapi ibu bapa OKU yang berasa kecewa kerana masyarakat tidak faham. Kita sebagai ibu bapa OKU perlu ambil peluang itu untuk beritahu semua orang bahawa anak kita OKU dan kita okey. Dianugerahkan anak OKU bukanlah masalah besar. Ini kerana, semua orang ada ujian hidup masing-masing. Abang bersyukur dengan ujian ini sebab abang melihat dari sudut yang positif. Orang lain lebih besar ujiannya.”
Inilah hidup, pentas ujian. Ingat pesanan daripada Facebook @keretamayat: Ujian jangan dicari, jika datang, terus disyukuri. Insya-Allah akan bertambah rezeki. Wah! (Eh, saya memetik kata-kata sendiri? Kebenaran apakah ini?)
Apabila fikirkan semua teguran isteri yang tidak selesa apabila saya memberitahu semua orang yang saya mempunyai anak OKU, saya senyum sahaja. Saya teringat filem Jackie Chan yang mempunyai seorang adik autisme, lakonan Sammo Hung. Sammo Hung dalam filem itu susah hendak dikawal dan masing-masing sudah dewasa. Oleh itu, Jackie Chan terpaksa berjalan berpimpin tangan dengan adiknya sehingga orang ramai ketawakan mereka dan menyangka mereka gay.
Dan Jackie Chan terus memberitahu semua orang di situ, “Dia adik saya. Dia sakit.” Orang tidak tanya pun, dia yang beritahu.
Nampak kelakar, tetapi begitulah caranya hendak selesaikan masalah masyarakat yang suka mengumpat atau ‘membawang’. Kepada semua ibu bapa OKU, dapatkanlah peluang untuk berborak dengan masyarakat. Beritahu masalah anak OKU dan kita okey.
Berbalik semula kepada pertanyaan puan di atas, tentang suaminya yang asyik menyalahkan takdir, suka saya berpesan,
Jangan pernah tanya soalan, “Kenapa Allah SWT uji kita?” Sebab nanti kita akan mendapat jawapan yang salah.
Contohnya, apabila kita bertanya, “Kenapa saya diuji? Kenapa anak saya OKU? Apakah dosa saya? Adakah Tuhan tidak sayang saya?”
Tengok? Sudah bermula jawapan yang salah bermain dalam kepala.
Oleh itu, janganlah pernah bertanya ‘kenapa’ kepada Allah SWT tentang masalah kita. Ini kerana, sewaktu Allah SWT menciptakan manusia, malaikat pun bertanya kepada Alah SWT, “Kenapa mencipta makhluk yang akan menumpahkan darah?” Allah SWT tegur, “Aku lebih mengetahui.”
Samalah juga dengan ujian yang menimpa hidup kita. Janganlah tanya, “Kenapa saya diuji begini?”.
Allah Maha Mengetahui. Jadi, apakah yang sepatutnya ditanya kepada Allah SWT?
Jawapan yang betul, tanyalah ‘bagaimana’.
Tanya diri, tanya Allah SWT, “Bagaimana dengan nikmat yang ada, saya nak bersyukur dengan ujian ini?”
Pergh!
Saya ulang.
Tanya diri, tanya Allah SWT, “Bagaimana dengan nikmat yang ada, saya nak bersyukur dengan ujian ini?”
Dan kita pun mula mendapat jawapan yang betul. Allah SWT uji kita disebabkan kita mampu hadapi ujian ini. Dalam masa yang sama Allah SWT masih banyak memberikan nikmat lain sebagai ‘bahan’ untuk kita hadapi special request from God.
Special request bermaksud,
Janganlah kita mengaku beriman sebelum kita diuji. Disebabkan itulah Allah SWT menguji kita. Allah SWT sayang pada kita. Kita special, dan sebab itu request di sini adalah sabar, reda dan berbaik sangka. Beginilah cara Allah SWT hendak selamatkan kita daripada azab api neraka yang panas membara. Dan apabila beginilah caranya Allah SWT hendak masukkan kita ke dalam syurga yang kekal abadi, bukankah penderitaan dan request tadi menjadi indah dan special?
Mungkin sebab itulah para sahabat dan ulama berasa special apabila diuji atau menderita. Ini kerana, mereka faham akan hakikat itu.
Pergh!
Oleh itu puan, bersabarlah. Puan pesanlah dengan lemah lembut kepada suami.
“Hidup ini bukan hanya di dunia, ada kehidupan di alam barzakh, di padang mahsyar, di telaga kausar, di neraka timbangan, di titian sirat, pintu akhirat. Kita nampak anak OKU seperti beban dalam kehidupan dunia, tetapi di akhirat, anak OKU ini akan banyak membantu kita. Dengan syarat kita tempuh ujian ini dengan hati penuh kesyukuran.”
Nikmat mana lagi yang aku dustakan?
Ps: Sekiranya beginilah caranya Allah SWT nak ampunkan dosa kita, alangkah ringannya penderitaan ini.
Ps: Sekiranya beginilah caranya Allah SWT nak selamatkan kita daripada azab api neraka dan masukkan kita ke dalam syurga yang kekal abadi, alangkah indahnya penderitaan ini.
Penulis ialah Penolong Pegawai Latihan Vokasional Kanan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Oleh: Muhammad Hamka
- 1657 views