Skip to main content

Apabila Sejarah Dipertikai: Antara Kontroversi dan Kebenaran

Sejarah merupakan disiplin ilmu yang berperanan merakam, mentafsir dan menjelaskan peristiwa lampau berdasarkan bukti yang sahih. Namun, perkembangan teknologi maklumat dan media sosial telah menjadikan sejarah semakin terdedah kepada pelbagai bentuk tafsiran, manipulasi dan dakyah yang mencetuskan kontroversi dalam masyarakat. Pertama sekali tahniah diucapkan kepada Persatuan Sejarah Malaysia Negeri Pulau Pinang kerana mengadakan program bicara yang bertajuk ‘Dari Sejarah Kepada Dakyah: Jawapan Ahli Sejarah Kepada Kritikan Terhadap Sejarah Buku Teks’, pada 4 Julai 2026 bagi mengupas isu ini dengan lebih mendalam. 

Baru-baru ini, timbul isu tentang paparan sejarah dalam buku teks di sekolah di Malaysia. Pakar sejarah negara, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam, buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang digunakan pada masa kini  tidak menonjolkan sejarah Malaysia dengan betul dan tepat serta skopnya  terlalu luas sehingga melibatkan sejarah dunia dan Asia Tenggara. Dalam hal ini, beliau berpendapat sejarah Malaysia sepatutnya dijadikan ‘pusat’ agar skopnya lebih luas untuk generasi muda bagi mengetahui dan mendalami negara mereka sendiri. Ini diulas dengan panjang lebar oleh beliau dalam rencana yang bertajuk ‘Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 ‘Senyapkan’ Sejarah Negara, Kandungan ‘Cair’ yang disiarkan oleh malaysiagazette pada 26 Febuari 2021.

  Buku Sejarah Tingkatan 4 yang menimbulkan kontroversi
 

Buku Sejarah Tingkatan 4 yang menimbulkan kontroversi

Antara yang menarik perhatian beliau adalah ada beberapa perkara diketepikan dan disembunyikan dalam penghuraian sejarah politik Tanah Melayu, terutamanya antara tahun 1945-1948.Tokoh-tokoh besar pejuang kemerdekaan daripada golongan agamawan, orang surat khabar dan persatuan-persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu yang disatukan oleh UMNO tidak diberi pendedahan yang wajar. 

Selain itu, skop perbincangan sangat luas kerana menceritakan konflik dunia sejak Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Ini dilihat tidak baik untuk interpretasi dan empati sejarah. Perbincangan mengenai Era Peralihan Kuasa British ke Persekutuan Tanah Melayu 1948, perbincangan tentang penolakan gagasan Malayan Union oleh orang Melayu dan Raja-raja Melayu tidak dititikberatkan, sebaliknya  kepada British. Begitu juga, pendedahan yang terlalu terperinci mengenai tokoh gerakan nasionalis Melayu radikal dan sumbangan mereka yang tidak terlibat dengan rundingan mahupun penolakan dasar British secara terang-terangan. Tegas beliau, sejarah negara mesti ditulis secara tersusun, sejajar dengan keperluan negara sendiri tanpa perlu mendewa-dewakan negara, pemimpin dan tokoh negara luar. Dengan kata lain, buku teks Sejarah sepatutnya menjadikan Malaysia sebagai keutamaan, manakala yang lain-lain sebagai latar belakang sahaja.

Antara Kontroversi dan Kebenaran dalam Sejarah

Kontroversi bukanlah perkara yang tidak baik atau bersifat negatif.  Dalam dunia akademik, kontroversi akan menjadi pemangkin kepada perdebatan dan permulaan kepada penyelidikan baharu yang disokong oleh bukti empirikal. Manakala kebenaran dalam sejarah tidak bersifat mutlak, tetapi ia hendaklah berpandukan kepada bukti kukuh yang tersedia. Sejarawan lazimnya menilai kesahihan atau kebenaran sesuatu dakwaan melalui kritikan sumber, perbandingan dokumen, bukti arkeologi, rekod rasmi, manuskrip dan pelbagai sumber primer yang lain. Pendekatan historiografi moden turut mengiktiraf bahawa tafsiran sejarah boleh berubah apabila penemuan baharu diperoleh. Walau bagaimanapun, perubahan tersebut mestilah melalui proses penyelidikan yang teliti, semakan akademik dan hujah yang berasaskan bukti, bukannya melalui spekulasi atau penyebaran maklumat yang tidak dapat disahkan.

Kefahaman terhadap sejarah pada hari ini lazimnya berbeza daripada kefahaman yang wujud ketika sesuatu peristiwa berlaku sekitar 100 tahun yang lalu. Perbezaan ini bukan bermaksud fakta sejarah telah berubah, tetapi tafsiran terhadap fakta tersebut berkembang sejajar dengan penemuan sumber baharu, perubahan pendekatan penyelidikan, kemajuan ilmu pengetahuan dan perubahan konteks sosial serta politik.Masyarakat yang hidup pada zaman sesuatu peristiwa berlaku biasanya menilai peristiwa tersebut berdasarkan pengalaman, nilai dan kepentingan semasa. Oleh sebab itu, persepsi terhadap sesuatu peristiwa sering dipengaruhi oleh keadaan politik, ideologi dan budaya pada ketika itu. Sebaliknya, Sejarawan pada masa kini mempunyai kelebihan untuk menilai sesuatu peristiwa secara lebih menyeluruh dengan mengakses pelbagai sumber primer seperti arkib kerajaan, surat-menyurat, diari, laporan diplomatik, rekod mahkamah, bahan akhbar, manuskrip dan bukti arkeologi. 

Kontroversi juga akan timbul apabila adanya orang yang bukan bidang bercakap tentang sejarah mengikut teori dan tafisran mereka sendiri. Sebelum ini ada beberapa isu atau kontroversi yang timbul dalam sejarah negara contohnya timbul isu ‘negara ini tidak pernah dijajah oleh British’. Isu ini telah mendapat perhatian daripada pelbagai pihak seperti ahli akademik dan bukan akademik. Lebih parah ia dibincangkan oleh seseorang yang bukan bidang seperti bidang Undang-undang yang mentafsir peristiwa sejarah mengikut teori perundangan. Sejarah perlu ditafsir mengikut kerangka sejarah. Ini akan memberi kesan kepada masyarakat apabila mereka tidak mendapat jawapan yang sahih berdasarkan rekod-rekod sejarah yang ada. Dalam keadaan sedemikian, masyarakat sukar membezakan antara fakta sejarah dengan naratif yang dibentuk untuk memenuhi kepentingan politik, ideologi atau kelompok tertentu. 

Dalam era digital, maklumat dapat disebarkan dalam sekelip mata melalui pelbagai platform media sosial, sering kali tanpa melalui proses semakan ilmiah atau penilaian terhadap kesahihan sumber. Keadaan ini membuka ruang kepada kemunculan individu-individu tertentu yang tampil sebagai ‘jaguh sejarah’ di media sosial, meskipun kebanyakan mereka tidak mempunyai latar belakang atau kepakaran dalam bidang sejarah. Mereka mengemukakan pelbagai dakwaan, tafsiran dan teori yang bersifat sensasi sehingga mudah menjadi tular. Akibatnya, pelbagai naratif mengenai tokoh, peristiwa, monumen dan tinggalan sejarah tersebar luas tanpa disokong oleh bukti yang sahih atau penyelidikan akademik yang mantap. Keadaan ini akan mengelirukan masyarakat dan mencabar sejarawan dalam mempertahankan integriti dan ketepatan fakta sejarah.

Seterusnya, sesuatu tafsiran sejarah tidak seharusnya diterima atau ditolak semata-mata berdasarkan latar belakang penulis atau negara asalnya. Sebaliknya, setiap penulisan perlu dinilai secara kritis berdasarkan kekuatan bukti, penggunaan sumber dan ketelitian metodologi yang digunakan. Sebagai contoh, J. M. Gullick pernah mengakui bahawa beliau bukan seorang sejarawan profesional dan tidak menerima latihan formal dalam bidang sejarah. Pengakuan tersebut merupakan satu aspek yang wajar diambil kira ketika menilai karya beliau. Namun demikian, penilaian terhadap hujah dan tafsirannya tetap perlu dibuat secara ilmiah dengan membandingkannya dengan sumber primer, penemuan penyelidikan lain serta analisis sejarawan yang berkepakaran dalam bidang berkenaan.
  

Antara buku tulisan J.M.Gullick 

Secara umumnya, kajian sejarah negara Malaysia masih terbatas. Ada rekod penindasan pihak kolonial yang belum dikaji. Walaupun pelbagai kajian mengenai sejarah Malaysia telah dihasilkan, masih terdapat banyak ruang yang belum diterokai. Sebahagian rekod penting, khususnya yang berkaitan dengan pentadbiran dan tindakan pihak kolonial, masih belum dapat diakses secara terbuka. Keterbatasan akses kepada sumber-sumber ini menyebabkan beberapa aspek sejarah negara masih belum dapat diteliti secara menyeluruh dan terus menjadi ruang kepada pelbagai tafsiran.

Sejarah bukan hafalan semata-mata, tetapi bagaimana ilmu itu perlu dikembangkan, perlulah diimbangi dengan mengajar anak-anak kita berpikir secara kritis. Itulah objektif buku teks, iaitu bagaimana kita mencari kebenaran melalui bukti. Sejarah bukan macam sepotong kek, ia ibarat sebuah peta yang memuatkan perkara-perkara penting untuk semua masyarakat. Silibus Sejarah perlu dikemas kini agar dapat memberi pemahaman yang tepat kepada pelajar, berfikiran puitis, menghargai perpaduan dan mampu memupuk rasa bangga terhadap negara.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

hasnah

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri