Bantuan Pascabanjir Lebih Penting
Bencana banjir merupakan antara bencana yang semakin dominan di Malaysia. Apabila berlakunya banjir, banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan memainkan peranan dalam mengumpul dana bagi tujuan membantu mangsa banjir. Ia sememangnya usaha murni yang perlu dilakukan secara berterusan apabila bencana seperti ini melanda negara tanpa memerlukan kawalan.
Alhamdulillah, golongan yang prihatin terhadap usaha mengumpul dana tumbuh seperti cendawan selepas hujan dan dermawan segera pun tidak ketinggalan untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas. Namun, dalam usaha pengumpulan dana-dana ini ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian iaitu bagaimana ia dapat dibelanjakan dengan sebaik-baiknya dan mencapai objektif bantuan.
Kebanyakan NGO memperuntukkan sejumlah dana untuk membeli barang-barang keperluan dapur seperti beras, minyak, tepung, gula, garam, sardin, biskut dan makanan segera. Bantuan ini amat sesuai dengan keperluan segera makanan untuk seisi keluarga terutama bagi golongan B40. Namun, keperluan ini hanya bersifat sementara sahaja. Ini adalah kerana tempoh banjir mungkin beberapa hari sahaja dan makanan yang banyak yang diterima tidak dapat menyelesaikan kesempitan hidup selepas banjir dari sudut harta benda, kelengkapan rumah, kenderaan dan rumah yang rosak dan sebagainya.
Sejujurnya, semua bantuan segera dalam bentuk makanan ini tidaklah begitu kritikal berbanding dengan keperluan pascabanjir dari segi peralatan rumah seperti tilam, tikar, periuk belanga, penyelenggaraan kenderaan, pakaian, tandas, pembersihan kawasan kediaman dan bantuan tanaman yang rosak dan sebagainya. Ini adalah keperluan utama yang perlu diambil perhatian oleh NGO di era selepas banjir.
Di negeri Pahang contohnya, keadaan banjir yang berlaku baru-baru ini agak teruk dengan kadar kawasaan terlibat adalah menyeluruh sehingga meliputi sembilan daerah. Jumlah mangsa banjir di Pahang pada tahun 2021 ini pernah mencecah sehingga 27,294 orang beberapa hari lalu yang membabitkan sebanyak 7,329 keluarga. Mereka ini ditempatkan di 291 Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Daripada jumlah itu, Temerloh merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 10,882 orang daripada 2,744 keluarga. Latar belakang mereka yang terlibat pula terdiri daripada penduduk bandar dan juga luar bandar. Walau bagaimanapun, kebanyakan mangsa banjir adalah dalam kalangan penduduk luar bandar.
Kediaman dan kemudahan di bandar adalah lebih mudah diselenggara berbanding dengan keadaan di luar bandar. Oleh itu, keperluan kepada pembangunan kediaman selepas banjir adalah lebih utama dan penting bagi golongan luar bandar berbanding dengan keperluan makanan semata-mata. Biasanya, bekalan makanan yang disumbangkan adalah lebih dari mencukupi. Malah, di sesetengah kawasan, bekalan makanan yang disumbangkan melimpah ruah dan ada yang sampai tidak termakan untuk berbulan lamanya seperti beras, gula dan tepung.
Justeru, kini sudah sampai masanya, penyelarasan bentuk bantuan perlu diselaraskan antara NGO tempatan dan luar. Biasanya usaha ini tiada koordinasi antara mereka kerana ia dijalankan oleh pihak-pihak tertentu termasuk individu secara bersendirian.
Usaha ini tetap baik tetapi dari segi maqasid syariah, bantuan ini perlu diuruskan dengan lebih baik dan bersepadu.
Dana bantuan banjir ini perlu dibahagikan kepada beberapa kategori bantuan iaitu termasuklah pembersihan kawasan rumah, pencegahan penyakit selepas banjir, penyelenggaraan kenderaan, penggantian tanaman yang musnah, pembaikan kerosakan rumah, penggantian perabot rosak, alatan persekolahan seperti buku, alat tulis dan sebagainya.
Oleh kerana musibah banjir mungkin lebih kerap berlaku pada tahun-tahun kebelakangan ini disebabkan oleh penggondolan hutan terutama di Pahang, Terengganu dan Kelantan, maka penyelarasan bantuan perlu dilakukan lebih awal dan lebih rapi terutamanya peruntukan bantuan pascabanjir kepada golongan yang terjejas.
Senarai semak keperluan selepas banjir telah boleh dikenal pasti dari maklum balas mereka yang telah terlibat dengan banjir. Sebagai contoh, baru-baru ini disiarkan kisah seorang mekanik kenderaan tidak dapat meneruskan perniagaan kerana bengkelnya mengalami kerosakan yang teruk disebabkan oleh banjir. Golongan seperti ini tidak memerlukan bantuan makanan untuk keperluan dan kelangsungan hidup. Sejujurnya, beliau hanya perlu dibantu untuk mengembalikan perniagaan bengkelnya dengan gantian peralatan kerja, mesin-mesin, alat ganti dan sebagainya. Bagi mereka tiada gunanya beras, tepung dan gula yang banyak diterima dalam keadaan ini kerana ia tidak dapat membantu mereka memulihkan perniagaan mereka sepelas banjir berlaku.
Dengan adanya senarai semak ini, maka peruntukan bantuan tidak hanya dihabiskan dengan memberi bantuan makanan untuk mangsa secara berlebihan. Sebahagian dana yang dikumpul oleh NGO mungkin perlu disimpan beberapa bulan selepas banjir bagi membantu mangsa mendapatkan keperluan hidup dan yang lebih utama untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.
Penulis ialah Dekan Kanan, Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Oleh: Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad
e-mel: hasanahmad@ump.edu.my
- 638 views