Bersediakah kita ke arah Pendigitalan Kampus?
Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) kini menuntut perubahan dalam teknologi automasi yang turut memberi kesan terhadap sektor perkhidmatan termasuklah dalam bidang pendidikan memandangkan ia bakal memberi kesan langsung kepada bakal graduan yang dihasilkan. Dalam merealisasikan usaha ini, universiti perlu membuat persediaan secara komprehensif di era revolusi digital untuk terus kekal berdaya saing dan merancakkan kemajuan serta mencorakkan kegemilangan dalam landskap pendidikan negara.
Usaha kerajaan dalam memperkasakan agenda kerajaan digital telah dilaksanakan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang merangka serta menyelaras strategi penyampaian perkhidmatan.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal tahun lalu turut mengarahkan supaya memanfaatkan teknologi yang ada untuk berkomunikasi dan membolehkan penjawat awam menjalankan tugas sebaik-baiknya memandangkan sistem e-kerajaan (merujuk kerajaan digital) pada ketika itu masih berada pada kadar 30 hingga 40 peratus tatkala berdepan situasi penularan pandemik Covid-19. Ia adalah penting untuk dimanfaatkan rakyat terutamanya dalam bidang Pendidikan dan Perniagaan sekali gus membawa ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih maju dan berkembang. Apa yang dapat kita saksikan hari ini, impak pandemik kini telah mempercepat gelombang perubahan yang mendorong rakyat, perniagaan dan kerajaan untuk mengadaptasi pendigitalan dalam urusan seharian.
Di universiti, fokus turut diberikan kepada pendigitalan penyampaian perkhidmatan yang menjurus kepada perkhidmatan dalam talian (online). Sejajar dengan itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini giat merangka strategi dalam memantapkan penyampaian perkhidmatan melalui inisiatif kampus pintar (smart campus). Pelaksanaan usaha ini seiring dengan landskap ekosistem pendidikan semasa era digital masa kini yang mengutamakan elemen digital yang memfokuskan terhadap perkhidmatan dan penyampaian perkhidmatan yang efisien.
Usaha ini turut mendapat perhatian Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman yang menyarankan universiti memberi tumpuan terhadap persediaan mendepani IR 4.0 dengan melahirkan teknologi baharu termasuk digitalisasi, kepintaran buatan (Artificial Intelligence), Internet untuk Segalanya (Internet of Things) dan Analitik Data Raya (Big Data Analytics).
Malahan ia juga selari dan senada dengan ucapan Naib Canselor UMP, Profesor Ir, Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dalam Amanat Tahunan Naib Canselor 2021 yang menyeru komuniti kampus untuk bersiap sedia menimba ilmu dan pengalaman dalam mengadaptasi cara bekerja era digital dengan memanfaatkan teknologi untuk berkomunikasi dan menjalankan tugas seharian.
Apa yang diharapkan agar semua maklumat dan perkhidmatan boleh disampaikan secara telus kepada pemegang taruh dengan menerapkan konsep perkhidmatan pintar pada setiap proses bisnes melalui proses kerja UMP. Melalui kaedah ini para pemegang taruh UMP seperti pelajar, staf, ibu bapa, vendor, industri dan pelanggan lain boleh berurusan dan mendapatkan perkhidmatan secara dalam talian sepenuhnya dari mula sehingga proses berakhir.
Ia juga boleh diakses pada bila-bila masa walau di mana berada selagi mempunyai talian internet yang stabil. Ini adalah contoh norma baharu yang membawa impak kepada sistem pendigitalan kampus dan ia juga merupakan cabaran baharu untuk warga universiti bergerak bersama merealisasikan hasrat universiti. Pendigitalan pastinya sebagai pemangkin bagi memasyarakatkan budaya teknologi dalam ekosistem universiti.
Menggerakkan Budaya Digital
Bersedia atau tidak bukan menjadi persoalan pada masa kini apabila warga universiti telah mula menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam urusan kehidupan seharian sejak penularan pandemik Covid-19 yang melanda negara pada awal tahun lalu. Selama tempoh setahun itu, warga universiti telah pun membiasakan diri dengan isu dalam talian yang meliputi masalah liputan rangkaian internet, pengetahuan berkaitan teknologi, kaedah dan platform pengajaran dan pembelajaran (PdP). Pelajar juga telah mula mengadaptasi corak pembelajaran secara norma baharu. Sedarkah kita bahawa di sebalik kepayahan mendepani pandemik Covid-19 ini, kita telah sama-sama mempercepatkan transformasi digital bukan sahaja di UMP malahan dilaksanakan di peringkat institusi pendidikan seluruh dunia.
Agenda pendigitalan kampus dilihat menyasarkan peningkatan produktiviti seiring dengan teknologi pintar yang merangkumi pengurusan akademik, penyelidikan, pentadbiran, kewangan dan perpustakaan serta keupayaan infostruktur dan infrastruktur ICT berteraskan teknologi pintar dengan pendekatan pendidikan yang melangkaui kampus (Beyond Campuses) dan sempadan (Beyond Borders). Kemahiran mengurus data dari pelbagai sumber juga amatlah penting bagi memastikan kelestarian pendidikan UMP yang berteraskan teknologi dan kejuruteraan yang akan menyokong terhadap pembangunan negara. Kepentingan teknologi data analitik dan pengkomputeran awan juga sangat signifikan dalam usaha menyokong cara pelajar berinteraksi dengan kandungan pembelajaran yang bersesuaian dengan trend digital terkini melalui gajet dan keupayaan capaian internet.
Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 juga turut menggariskan agenda Lonjakan 9: Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global. Di universiti ini, seramai 20,204 pelajar telah mengikuti program pembelajaran dalam Talian Tahap Global melibatkan sebanyak 24 kursus Massive Open Online Courses (MOOC) dan 50 kursus Micro-credential.
Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran (PSPe) UMP juga sedang giat membangunkan 17 kursus Modular Credential TVET Online (MCTO) yang berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional selari dengan usaha memartabatkan bidang TVET dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang digariskan dalam kertas strategi Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Jabatan Perdana Menteri (JPM) berjudul ‘Mentransformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional untuk Memenuhi Permintaan Industri’.
Apa yang pasti, pandemik Covid-19 telah merubah sistem pendidikan di seluruh negara. Pelbagai usaha dilakukan di peringkat universiti bagi memastikan pembelajaran pelajar tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Justeru, sebanyak 47 Siri webinar telah dilaksanakan secara berterusan dalam tempoh PKP dalam meningkatkan pengetahuan, kemahiran, kecekapan dan keupayaan pensyarah dalam melaksanakan PdP secara maya.
UMP turut mengorak langkah ke hadapan dalam menjayakan transformasi digital dalam pembangunan Sistem Pengurusan Pembelajaran atau Learning Management System (UMP LMS) yang merupakan pelantar yang menawarkan kursus secara dalam talian kepada pelajar, masyarakat dalam dan luar negara. Ia bakal dilancarkan Ogos nanti dan mampu meluaskan akses pendidikan dan perkongsian ilmu, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran serta menjenamakan UMP di peringkat antarabangsa bagi pembelajaran dalam talian.
Kesan pandemik Covid-19 pada masa ini memberi kita peluang merancang dan memikirkan inovasi baharu dalam menyelesaikan isu pendidikan alaf baharu yang menekankan keperluan Revolusi IR4.0. Semua pihak perlu menggembleng tenaga dalam usaha membangunkan sistem pendidikan digital secara holistik yang dapat dimanfaatkan bersama termasuklah jaringan kerjasama strategik antara universiti dan industri. Kita juga perlu membina inovasi pembelajaran dan pendigitalan sistem pendidikan serta bersedia mendepani cabaran digitalisasi yang sekiranya tidak diurus dengan baik akan membawa kepada ancaman pada masa depan.
Oleh : Profesor Madya Ts. Dr. Awanis Romli merupakan Pengarah Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran UMP dan Mimi Rabita Abdul Wahit merupakan Eksekutif Kanan, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC).
e-mel: awanis@ump.edu.my dan mimirabitah@ump.edu.my
- 1102 views