Skip to main content

Bicara Merdeka Tanah Melayu: Dijajah atau Dinaungi?

Persoalan sama ada Malaysia atau dahulu dikenali sebagai Tanah Melayu telah dijajah atau dinaungi perlu dilihat daripada sejarah yang panjang iaitu awal sehingga akhir. Kita tidak boleh sewenang-wenang memberikan kenyataan Tanah Melayu tidak dijajah atau cuma dinaungi hanya berdasarkan satu perjanjian sahaja atau satu peristiwa sahaja. Tafsiran perlu dilihat bermula daripada campur tangan British di negara ini iaitu sejak Perjanjian Pangkor 1874 sehinggalah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ia perlu dilihat dan dikaji daripada pelbagai aspek seperti dasar pentadbiran British, perjanjian, perundangan, perlembagaan, pemerintah Melayu, rakyat Tanah Melayu, dan Tanah Melayu dalam tempoh berkenaan. 

Secara khususnya, apa pun dasar yang telah diperkenalkan oleh British semasa menduduki negara ini sama ada penjajahan atau penaungan, konsep dan pelaksanaan sama sahaja iaitu seluruh negara ini telah dikuasai oleh mereka yakni British. Apabila penguasaan berlaku, ini sudah cukup membuktikan negara ini telah dijajah oleh mereka sama ada secara langsung atau tidak langsung. Terdapat banyak peristiwa yang membuktikan perkara ini, tetapi dalam penulisan yang ringkas ini, memadailah dibincangkan peristiwa-peristiwa besar yang menunjukkan negara ini telah dijajah oleh British. 

Pembahagian Tanah Melayu kepada tiga bentuk pentadbiran

Sebagaimana yang telah diketahui umum, terdapat tiga bentuk pentadbiran yang diperkenalkan oleh British iaitu Negeri-negeri Selat (NNS), Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB) dan Tidak Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB). Dalam hal ini, British telah melantik wakil-wakil mereka untuk menasihati sultan dengan nama yang berbeza-beza iaitu gabenor bagi NNS, penasihat di NNMTB dan residen di NNMB. Peranan mereka adalah sama iaitu menasihati Sultan-sultan Melayu dalam semua hal ehwal pentadbiran negara kecuali perkara yang berkaitan dengan agama Islam dan adat-istiadat Melayu. Semua bentuk pentadbiran ini adalah tertakluk kepada arahan daripada Pejabat Kolonial British. Di sini amat jelas, bagaimana British telah menguasai seluruh Tanah Melayu dengan bentuk pentadbiran yang diperkenalkan oleh mereka, melantik penasihat-penasihat mereka, dikawal oleh pejabat pentadbiran di London, dan raja-raja Melayu perlu bertindak atas nasihat penasihat-penasihat yang dilantik oleh British. 

Pengenalan Malayan Union 1946 dan Persekutuan Tanah Melayu 1948

Selepas pendudukan Jepun, British kembali dan memperkenalkan satu bentuk pentadbiran yang baharu yang dikenali sebagai Malayan Union 1946. Walau bagaimanapun, ia telah mendapat bantahan besar-besaran daripada orang Melayu disebabkan beberapa perkara yang berkait dengan kedaulatan Melayu dan orang Melayu. Setelah itu, British memperkenalkan pula Persekutuan Tanah Melayu 1948 bagi menggantikan Malayan Union. Dalam kedua-dua perlembagaan ini, pada dasarnya ia telah dirangka oleh British dan British tetap ada kepentingan di situ dengan wujudnya jawatan Pesuruhjaya Tinggi British serta Majlis Mesyuarat Persekutuan dan Majlis Perundangan Persekutuan dan jawatan-jawatan penting dalam negara adalah terdiri dari pegawai British.  Ini menunjukkan British masih menguasai keseluruhan pentadbiran negara ini. Boleh rujuk kepada Perlembagaan Malayan Union 1946 dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Secara ringkasnya, pembentukan Malayan Union dan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu telah menghapuskan tiga bentuk pentadbiran sebelum ini yang dikelompokkan sebagai negeri jajahan dan negeri naungan. Semua negeri telah dikuasai oleh British di bawah satu pentadbiran yang diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dikawal oleh Pejabat Kolonial di London. 

Gambar penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union
Gambar penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union

Perjanjian-perjanjian dengan pemerintah Tanah Melayu

Untuk pengetahuan umum, antara salah satu kaedah campur tangan British di negeri-negeri Melayu adalah dengan mengadakan perjanjian-perjanjian dengan pemerintah Melayu. Jika dikaji dan diselidik ternyata perjanjian-perjanjian ini juga sentiasa meletakkan kepentingan British di situ. Ada bentuk perjanjian antara British dan negeri-negeri berkenaan sahaja dan ada perjanjian antara British dan semua negeri-negeri Melayu. jika diteliti, perjanjian -perjanjian itu tidak menampakkan yang British ingin melindungi negara ini. Perjanjian-perjanjian ini secara amnya, ‘mengikat’ kebebasan raja-raja Melayu dan mengabsahkan pendudukan mereka di negara ini.  Sila rujuk kajian tentang perjanjian-perjanjian di antara British dengan pemerintah Melayu. 

  

Contoh rekod perjanjian
Contoh rekod perjanjian

Pemberontakan oleh penduduk tempatan

Pendudukan dan campur tangan kuasa British di negara ini sememangnya tidak diterima oleh penduduk tempatan. Boleh dikatakan di seluruh negara ini telah wujud penentangan oleh penduduk tempatan terhadap British yang telah sewenang-wenang mencampuri urusan pentadbiran dan hal ehwal budaya masyarakat Melayu dengan memperkenalkan cukai-cukai tertentu. Ini sudah pastinya menimbulkan penentangan oleh masyarakat setempat. Lihat sahaja di Terengganu penentangan oleh Abdul Rahman Limbung, Kelantan diketuai oleh Tok Janggut, Tok Kenali, Pahang pula adanya Datuk Bahaman dan Mat Kilau. Sila rujuk tulisan Abdullah Zakaria mengenai penentangan penduduk tempatan terhadap British. Jika British ingin melindungi Tanah Melayu, mengapa penduduk tempatan dikenakan cukai? 

Mat Kilau
Mat Kilau

Suruhanjaya Reid 

Pembentukan Suruhanjaya Reid pada tahun 1956 adalah untuk merangka perlembagaan yang baru untuk Tanah Melayu yang merdeka. Ini juga menjadi petunjuk besar bahawa Tanah Melayu telah dikuasai dan dijajah oleh British. Sepatutnya Tanah Melayu atau pemerintah Melayu yang diberi peluang untuk merangka dan membentuk Perlembagaan negara mereka sendiri. Lihat sahaja ahli jawatankuasa pembentukan perlembagaan Tanah Melayu adalah terdiri dari bangsa asing dan bukannya orang Melayu penduduk asal negara ini. Ahli Suruhanjaya Reid terdiri daripada Lord William Reid – Pengerusi, Sir Ivor Jennings – British, Sir William McKell – Australia, Hakim B Malik – India dan Tuan Abdul Hamid - Pakistan.

Rombongan kemerdekaan ke London

Tunku Abdul Rahman dan ahli rombongan dari Tanah Melayu telah terbang ke London untuk merundingkan tentang kemerdekaan Tanah Melayu. Rombongan ini tiba di London pada 14 Januari 1956. Rundingan kemerdekaan berlangsung dari 18 Januari 1956 hingga 6 Februari 1956. Tunku Abdul Rahman mengatakan bahawa,

“Saya mesti memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu dan membawa kembali dari London tarikh kemerdekaan Tanah Melayu iaitu pada 31 Ogos 1957. Saya tidak akan berganjak sedikit pun kerana saya cukup yakin kepada kekuatan kita mencapai kemerdekaan. Saya telah masuk ke gelanggang politik dengan azam hendak berkorban berhabis-habisan.

Pada hari Rabu 8 Februari 1956, Tunku Abdul Rahman dan ahli rombongan serta Setiausaha Tanah jajahan British, Alan Lennox Boyd telah menurunkan tandatangan masing-masing dalam Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu di Lancaster House, London.

Gambar menandatangani perjanjian kemerdekaan
Gambar menandatangani perjanjian kemerdekaan

Ikhsan: https://pekhabar.com/h-i-d-s-persidangan-malaya-merdeka-di-london/

Sambutan Hari Kemerdekaan 

Setiap 31 Ogos, negara Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan. Kenapa perlu diadakan sambutan kemerdekaan? Sudah pasti untuk memperingati pembebasan negara ini daripada penguasaan dan penjajahan British. Takrif merdeka menurut Kamus Dewan adalah bebas daripada penjajahan, kurungan atau naungan. Negara merdeka bermakna negara yang berdaulat dan bebas dari penguasaan kuasa asing. Jadi, sudah jelas lagi nyata, sambutan kemerdekaan saban tahun membuktikan negara ini telah dijajah dan diperintah oleh kuasa asing iaitu British. 

 
Wajah anak-anak Malaysia menyambut kemerdekaan

Selain itu, Malaysia telah menganggotai Negara-negara Komanwel yang terdiri daripada 52 negara-negara berdaulat. Hampir kesemua negara tersebut adalah negara bekas jajahan British. Ternyata, Malaysia suatu masa dahulu telah didatangi, diduduki, dijajah dan dikuasai oleh British selama beratus-ratus tahun. Kini, Malaysia telah bebas daripada cengkaman penjajahan dan mampu berdiri sendiri dan mempunyai identiti tersendiri berdasarkan kemerdekaan acuan Malaysia.

Dr. Hasnah Hussiin, SMP
Dr. Hasnah Hussiin, SMP

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

E-mel: hasnah@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News