Skip to main content

Budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai Pemangkin Prestasi Kehidupan

Dunia sentiasa berubah dan teknologi baharu semakin ke hadapan membuka peluang kepada individu untuk terus belajar serta meningkatkan kemahiran, pengetahuan, ilmu mereka dalam apa bidang sekalipun. Budaya belajar merupakan satu bentuk pelaburan yang sangat menguntungkan kerana ia akan memberi perubahan dari sudut pengkayaan ilmu pengetahun, pemahaan dan membuka minda yang lebih luas. Pembelajaran sepanjang hayat merupakan satu keperluan dalam dunia moden yang bergerak pantas dan penuh ketidaktentuan. Ia bukan hanya terhad kepada institusi pendidikan formal, malah mencakupi proses pembelajaran berterusan dalam pelbagai bentuk dan persekitaran sepanjang hayat seseorang individu. Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat adalah satu strategi penting dalam membentuk individu yang berdaya tahan, berilmu dan mampu menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih cemerlang. Lebih daripada itu, budaya ini adalah pemangkin utama kepada peningkatan prestasi kehidupan secara menyeluruh. 

Salah satu bentuk inisiatif oleh UMPSA dalam mewujudkan suasana pembelajaran sepanjang hayat adalah dengan perkongsiaan daripada pakar bertajuk ‘Budaya Pembelajaran Sepanjang Hayar Melalui Program Global Classroom’ yang dijalankan.
Salah satu bentuk inisiatif oleh UMPSA dalam mewujudkan suasana pembelajaran sepanjang hayat adalah dengan perkongsiaan daripada pakar bertajuk ‘Budaya Pembelajaran Sepanjang Hayar Melalui Program Global Classroom’ yang dijalankan.

Konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat
Pembelajaran sepanjang hayat ialah proses memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai secara berterusan tanpa mengira umur, latar belakang pendidikan atau status sosial. Ia meliputi pembelajaran formal (sekolah, kolej, universiti), bukan formal (latihan, bengkel, seminar), dan tidak formal (pengalaman hidup, pembelajaran kendiri, komuniti). Individu yang berpegang kepada nilai ini akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk terus berkembang dan menambah nilai dalam kehidupan mereka. Limitasi pemikiran kepada belajar secara formal itu perlu diubah bagi mewujudkan keseronokan untuk sentiasa mempelajari dan memahami sesuatu yang baharu walaupun bukan dalam bidang kepakaran atau kerjaya masing-masing.

Peranan Pembudayaan dalam Prestasi Kehidupan
Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat memberi impak besar dalam memperkukuh prestasi kehidupan dari pelbagai aspek termasuk pemerkasaan diri, kemajuan kerjaya, kesejahteraan psikososial dan keseimbangan kehidupan.

Pemerkasaan Diri
Individu yang membudayakan pembelajaran sepanjang hayat akan menjadi lebih cekap dalam menguruskan kehidupan, kerjaya dan hubungan sosial. Kecekapan ini lahir daripada pendedahan berterusan kepada ilmu, pengalaman baharu dan pelbagai perspektif yang membantu mereka memahami situasi dengan lebih menyeluruh. Mereka bukan sahaja mahir dalam aspek teknikal, malah memiliki keupayaan insaniah seperti kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal dan keupayaan menyelesaikan masalah secara kreatif.

Keyakinan diri pula terhasil apabila seseorang individu berasa cukup bersedia dan berpengetahuan dalam menghadapi cabaran kehidupan. Ilmu yang diperoleh melalui pembelajaran berterusan membentuk asas yang kukuh dalam membuat keputusan. Mereka juga matang dalam bertindak membuat keputusan dan bukan berdasarkan emosi atau andaian, tetapi berdasarkan fakta, analisis dan pertimbangan yang rasional. Ini menjadikan mereka lebih matang dalam tindakan, bijak menguruskan risiko dan mampu mengambil tanggungjawab atas keputusan yang diambil.

Dalam jangka masa panjang, individu seperti ini bukan sahaja mampu memimpin diri sendiri ke arah kehidupan yang lebih bermakna, malah berpotensi menjadi pemimpin yang menyumbang kepada masyarakat dan organisasi. Dengan asas ilmu yang kukuh dan semangat belajar yang tinggi, mereka akan terus berkembang sebagai agen perubahan yang positif.

Budaya Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai Pemangkin Prestasi Kehidupan
Keyakinan diri pelajar untuk bertanya soalan

Kemajuan Kerjaya
Pembelajaran sepanjang hayat memainkan peranan penting dalam memastikan individu kekal relevan, adaptif dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan yang dinamik serta sentiasa berubah. Dalam Era Revolusi Industri 4.0 dan Transformasi Digital, kemahiran yang dimiliki hari ini mungkin tidak lagi mencukupi dalam beberapa tahun akan datang. Oleh itu, pekerja perlu sentiasa meningkatkan dan mengemas kini ilmu serta kemahiran mereka agar tidak ketinggalan. Dengan membudayakan pembelajaran berterusan, individu dapat mempelajari kemahiran baharu seperti teknologi digital, pemikiran analitik, pengurusan projek, serta kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi berkesan dan penyelesaian konflik. Kemahiran-kemahiran ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran seseorang pekerja, malah membuka peluang kenaikan pangkat, mobiliti kerjaya, dan peningkatan pendapatan. Selain itu, budaya pembelajaran membentuk sikap profesional yang positif seperti ketekunan, keinginan untuk berkembang dan semangat inovasi. Individu yang aktif belajar biasanya lebih proaktif dalam menyelesaikan masalah, bersedia menghadapi cabaran, dan menunjukkan komitmen tinggi terhadap prestasi kerja. Majikan cenderung menghargai pekerja sebegini kerana mereka membawa nilai tambah yang berterusan kepada organisasi. Tambahan pula, pembelajaran sepanjang hayat memberikan kelebihan kepada mereka yang ingin beralih bidang atau menceburi kerjaya baharu. Dengan akses kepada kursus dalam talian, latihan pensijilan, dan peluang pendidikan fleksibel, individu kini boleh membina kerjaya kedua tanpa perlu berhenti kerja sepenuh masa. Ini membuka ruang kepada pembangunan kerjaya yang lebih pelbagai dan bersifat hibrid. Secara keseluruhan, pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja memastikan kelangsungan kerjaya, malah menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan profesional dan kepuasan kerja dalam jangka panjang.

Kesejahteraan Psikososial
Pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja memberi kesan kepada perkembangan intelektual, malah turut menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan psikososial individu. Dengan sentiasa belajar dan menimba ilmu baharu, seseorang akan mengalami peningkatan dalam motivasi diri, semangat kendiri, dan daya tahan mental. Individu menunjukkan kesejahteraan mental yang tinggi apabila mengadaptasi ilmu, kemahiran, pengalaman yang dimiliki.  Dari sudut kesejahteraan psikososial yang diperoleh melalui pembelajaran sepanjang hayat pula ialah individu yang terlibat dalam pembelajaran berterusan cenderung memiliki matlamat hidup yang jelas, serta rasa tujuan dan makna dalam kehidupan. Ini mendorong mereka untuk sentiasa bergerak ke hadapan, walaupun berdepan kesukaran atau kegagalan. Pembelajaran memberi mereka ruang untuk mengenali potensi diri, memperbaiki kelemahan, dan meraih pencapaian baharu, sekali gus memupuk rasa bangga terhadap diri sendiri dan meningkatkan harga diri. Dari sudut semangat kendiri, pembelajaran yang konsisten membantu individu mengenali keupayaan sebenar mereka. Apabila seseorang berjaya menguasai kemahiran baharu atau memahami konsep yang mencabar, ia akan memberi lonjakan keyakinan dan semangat dalaman yang mendorong mereka untuk terus mencuba perkara baharu. 

Kejayaan kecil dalam proses pembelajaran ini menyumbang kepada pembentukan jati diri yang lebih kukuh. Selain itu, pembelajaran sepanjang hayat juga mampu untuk membina daya tahan mental (resilience). Dengan pendedahan kepada pelbagai pengetahuan, pengalaman, dan cabaran dalam proses pembelajaran, individu akan belajar mengurus tekanan, emosi dan konflik dengan lebih bijak. Mereka juga lebih bersedia menerima perubahan, berfikiran terbuka, dan tidak mudah terjejas oleh tekanan persekitaran. Ini penting dalam konteks kehidupan moden yang kompleks dan mencabar dari segi sosial, ekonomi dan emosi. Tambahan pula, pembelajaran secara sosial dan santai seperti perbincangan di dalam kumpulan, kolaborasi dalam projek, atau penyertaan dalam komuniti pembelajaran juga mampu menyumbang kepada sokongan sosial dan pengukuhan hubungan interpersonal, yang merupakan komponen penting dalam kesejahteraan psikososial secara keseluruhan.

Keseimbangan Hidup
Pembelajaran sepanjang hayat berperanan penting dalam membantu individu membina keseimbangan antara tuntutan kerjaya, keluarga dan pembangunan diri. Dalam dunia moden yang serba pantas dan mencabar, individu sering berdepan tekanan daripada pelbagai aspek kehidupan, terutamanya dalam menyesuaikan masa dan tenaga antara kerja, tanggungjawab keluarga serta keperluan untuk terus berkembang sebagai insan. Di sinilah pembelajaran sepanjang hayat berfungsi sebagai alat pengurusan kendiri yang berkesan.
Dengan menguasai kemahiran seperti pengurusan masa, pemikiran sistematik, komunikasi efektif, dan kecerdasan emosi, seseorang dapat merancang rutin harian secara lebih teratur dan efisien. Mereka mampu menyusun keutamaan, mengenal pasti apa yang penting dan mendesak, serta membuat keputusan yang seimbang untuk memenuhi keperluan pelbagai peranan dalam kehidupan. Selain itu, pembelajaran berterusan juga membantu individu menjadi lebih peka terhadap kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan diri. Apabila seseorang mempunyai ilmu tentang teknik mengurus tekanan, kaedah relaksasi, serta kesedaran terhadap hak dan batas peranan, mereka akan lebih cenderung menjaga diri sendiri tanpa mengabaikan keperluan keluarga dan tanggungjawab kerjaya. Ini penting bagi mengelakkan keletihan melampau (burnout) dan konflik peranan. Dari sudut pembangunan diri, pembelajaran sepanjang hayat membolehkan individu terus memenuhi keperluan kendiri untuk perkembangan diri dan kerjaya sama ada dalam bentuk pengetahuan baharu, kemahiran, hobi, spiritualiti atau pertumbuhan peribadi. Ini menambahkan kepuasan hidup dan rasa kesejahteraan menyeluruh kerana mereka tidak hanya terperangkap dalam rutin kerja dan keluarga, tetapi turut memperkaya diri secara holistik. Di samping itu juga, kemajuan teknologi dan akses kepada pembelajaran fleksibel seperti kursus dalam talian, seminar maya dan platform pembelajaran kendiri membolehkan proses pembelajaran disesuaikan dengan masa dan komitmen individu. Ini menjadikan pembelajaran tidak lagi satu beban, sebaliknya satu sokongan untuk mencapai keseimbangan hidup yang lebih harmoni.

Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat adalah pelaburan jangka panjang yang membawa pulangan besar kepada individu, masyarakat dan negara. Ia membina manusia yang dinamik, adaptif dan berdaya saing, sekali gus memperkukuh prestasi kehidupan secara menyeluruh. Walaupun berdepan cabaran, pendekatan yang sistematik dan sokongan berterusan mampu merealisasikan budaya ini sebagai teras kepada kemajuan. Justeru, semua pihak termasuk individu, keluarga, institusi dan kerajaan  harus berganding bahu dalam menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai budaya hidup demi membina masyarakat berilmu dan masa depan yang gemilang. Pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat adalah satu pelaburan jangka panjang yang strategik, bukan sahaja kepada individu, malah kepada masyarakat dan negara secara keseluruhan. Ia membentuk manusia yang dinamik, adaptif, berdaya saing serta sentiasa bersedia menghadapi cabaran kehidupan dan perubahan zaman. Melalui proses pembelajaran yang berterusan, individu mampu meningkatkan potensi diri, memperkukuh kemahiran insaniah dan profesional, serta menyumbang secara aktif kepada pembangunan komuniti. Budaya ini juga dapat memperkasa prestasi kehidupan daripada pelbagai dimensi  kerjaya yang berkembang, kesejahteraan psikososial yang  stabil, keseimbangan hidup yang harmoni, dan pembuatan keputusan yang matang dan berlandaskan ilmu. Justeru, pembelajaran sepanjang hayat perlu dilihat bukan sekadar sebagai keperluan profesional, tetapi sebagai gaya hidup yang menyeluruh dan berimpak tinggi.

Namun begitu, membina budaya ini bukan tanpa cabaran. Halangan seperti kekangan masa, akses kepada sumber, kurangnya motivasi dalaman, dan tekanan persekitaran boleh menghambat proses pembelajaran. Oleh itu, perlu ada pendekatan yang sistematik seperti menyediakan peluang pembelajaran fleksibel, memanfaatkan teknologi digital, merangsang motivasi intrinsik, dan mewujudkan ekosistem sokongan yang kondusif, termasuk sokongan keluarga, rakan sekerja, komuniti, serta dasar kerajaan yang proaktif. Kesungguhan semua pihak termasuk individu, keluarga, institusi pendidikan, majikan dan kerajaan bagi merealisasikan impian ini. Hanya dengan kerjasama menyeluruh dan komitmen berterusan, pembelajaran sepanjang hayat dapat diangkat sebagai teras kemajuan masyarakat berilmu dan negara yang cemerlang. Maka, marilah kita jadikan pembelajaran sebagai amalan hidup, bukan hanya untuk kejayaan hari ini, tetapi demi membina masa depan yang lebih sejahtera, lestari dan gemilang untuk generasi akan datang.

DR. NORIZAN YUSOF

Oleh    : DR. NORIZAN YUSOF
E-mel    : norizanyusof@umpsa.edu.my

 

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
 

Reports by:
Admin UMP News