Budaya Thailand: Tradisi yang Memikat Dunia

Gambar kredit: hmetro.com.my
Peristiwa kemangkatan seorang puteri Thailand telah menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Puteri sulung Raja Thailand, Puteri Bajrakitiyabha Mahidol, mangkat pada usia 47 tahun selepas lebih tiga tahun menerima rawatan di hospital susulan penyakit yang dihidapinya. Kematian beliau telah mengejutkan masyarakat dunia dan sekali gus menjadikan masyarakat dunia mengagumi cara pengkebumian golongan Diraja Thailand. Secara amnya, keunikan budaya masyarakat Thailand dapat dilihat melalui gabungan tradisi, agama, bahasa, makanan dan adat resam yang masih diamalkan dalam kehidupan seharian.
Sebagaimana yang telah diketahui umum, Thailand merupakan sebuah negara yang terkenal dengan Sistem Monarki yang masih mengekalkan adat resam dan adat istiadat diraja sejak zaman dahulu. Kematian puteri Thailand baru-baru ini mengejutkan masyarakat dunia kerana budaya pengkebumian Diraja Thailand dilihat begitu unik. Ia unik kerana sangat berbeza dengan adat pengkebumian diraja dari negara lain. Seluruh dunia tertumpu bukan sahaja kepada tokoh diraja tersebut malahan kepada adat istiadat yang mengiringi kemangkatannya. Cara pengurusan kematian dalam kalangan kerabat Diraja Thailand mencerminkan warisan sejarah, budaya budaya dan kepercayaan agama Buddha tradisi istana yang telah diamalkan sejak sekian lama walaupun telah memasuki era kemodenan. Dalam tradisi pengurusan kematian golongan diraja, upacara ini dikendalikan oleh sami Buddha dan mengikut protokol diraja yang sangat ketat. Ia merangkumi tempoh berkabung yang panjang, upacara bacaan doa dan ritual keagamaan, memakai pakaian rasmi berkabung, penggunaan kereta kuda atau pedati diraja serta perarakan istiadat. Manakala proses kremasi diraja dijalankan di lokasi khas dengan penuh adat istiadat. Kesemua proses ini melambangkan penghormatan kepada institusi raja, penggabungan unsur agama, adat dan sejarah serta perpaduan masyarakat ketika tempoh berkabung.
Keunikan pengkebumian Diraja Thailand yang menarik perhatian dunia adalah penggunaan Phra Kot iaitu tempayan emas diraja yang digunakan dalam upacara pemakaman keluarga diraja. Phra Kot adalah tempayan yang diperbuat daripada emas atau bersalut emas serta dihiasi dengan ukiran yang sangat halus buatannya. Sejak zaman dahulu, jenazah diraja akan ditempatkan di dalam Phra Kot dalam keadaan duduk dengan lutut dirapatkan ke dada yang menyerupai posisi bayi di dalam kandungan. Ini sebenarnya sebagai simbolik kepada kitaran kehidupan manusia dari dilahirkan sehinggalah tamat kehidupannya. Walau bagaimanapun, amalan ini dikatakan telah ditinggalkan dan kini jenazah biasanya dibaringkan ke dalam keranda dan diletakkan di sebalik Phra Kot agar tradisi tetap dikekalkan.

Rasa hormat yang terlalu tinggi kepada Raja oleh masyarakat Thailand dapat dilihat apabila di depan Raja, rakyat tidak boleh berdiri. Di dalam protokol istana, rakyat tidak boleh berdiri lebih tinggi daripada raja. Mereka kena menyimpuh dan mengesot. Jika berada di luar istana contohnya, jika raja berada di dalam kereta, polis yang mengawal di jalan raya akan berada dalam posisi melutut bagi meastikan diri mereka lebih rendah daripada kedudukan raja. Selain itu, apa-apa majlis, raja akan berada di pentas yang lebih tinggi. Masyarakat Thailand memberikan penghormatan yang tinggi kepada Monarki. Institusi Diraja dianggap sebagai lambang perpaduan dan identiti negara.


Gambar kredit: Kang Bahar, 14 Jun 2026.
Thailand adalah sebuah negara yang kuat mempertahankan nilai-nilai keagamaan dalam kehidupan seharian masyarakat mereka. Secara umumnya, rakyat Thailand kebanyakannya menganut agama Buddha aliran Theravada. Kuil-kuil Buddha telah dijadikan sebagai pusat pengembangan agama, pendidikan, aktiviti masyarakat, aktiviti kebudayaan dan sebagainya. Di kuil mereka menjalankan upacara keagamaan dan memberi sedekah dan makanan kepada sami-sami Buddha. Inilah adalah amalan penting mereka seharian.

Cara orang Thai memberi salam: Gambar kredit kepada Amazing Asia Tours
Lain-lain budaya masyarakat Thailand adalah adat memberi salam yang dipanggil “Wai” iaitu dengan menyatukan kedua-dua tapak tangan di hadapan dada sambil sedikit menundukkan kepala sebagai tanda hormat. Tahap kedudukan tangan bergantung kepada status individu yang dihormati. Budaya unik masyarakat Thailand yang disambut setiap tahun adalah ‘Songkram’ (pesta percikan air sebagai simbol penyucian) dan ‘Loi Kratong’ (menghanyutkan bakul kecil yang dihanyutkan sebagai tanda kesyukuran). Selain itu, makanan Thailand yang terkenal dengan gabungan pedas, masam, manis dan masin telah digemari oleh seluruh masyarakat dunia seperti Tom Yum, Pad Thai, Laksa Thai, Pulut Mangga, Kerabu Maggi, Pulut Ayam, Locong dan sebagainya.
Sesungguhnya, sesuatu bangsa dan negara itu dikenali melalui budayanya. Budaya yang baik dan unik akan menjadikan negara itu sebagai tarikan pada negara luar. Secara keseluruhannya, keunikan budaya masyarakat Thailand terserlah melalui pegangan agama yang kukuh, adat resam yang dipelihara, seni budaya yang kaya, makanan yang pelbagai serta nilai hormat dan kesopanan yang menjadi asas kehidupan masyarakatnya. Begitu juga Malaysia, mempunyai identiti dan budaya yang unik dalam kalangan negara ASEAN. Identiti negara Malaysia berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam agama persekutuan, budaya Melayu, Cina, India sebagai teras kebudayaan kebangsaan perlu dikekalkan dan dipelihara setiap masa. Untuk kita dikenali dan dikagumi masyarakat dunia, formulanya mudah sahaja iaitu kekalkan identiti dan budaya asal negara sendiri.

Disediakan Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 31 views
Reports by: