Skip to main content
Budayakan Sikap Menyelidiki Kesahihan Berita Dalam Diri Dan Keluarga

Budayakan Sikap Menyelidiki Kesahihan Berita Dalam Diri Dan Keluarga

               Kesan daripada perkembangan teknologi, muncul pelbagai bentuk media komunikasi baharu pada hari ini seperti di media sosial seperti facebook, what’s app, instagram, twitter dan lain-lain. Kemunculan pelbagai media ini mendatangkan kebaikan kepada manusia di samping tidak kurang juga mendatangkan keburukan. Salah satu keburukannya ialah timbul dengan begitu mudah pelbagai fitnah dan berita-berita palsu serta ia boleh tersebar dengan begitu cepat. Pada hari ini, pelbagai fitnah berkaitan dunia politik, perniagaan, hiburan termasuklah berkaitan dengan isu Coronavirus (Covid-19) tersebar dalam masyarakat.

            Dalam suasana yang ada ini, adalah sangat baik untuk ahli masyarakat mengamalkan sikap menyelidik kebenaran suatu berita atau ‘tabayyun’ agar mereka dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dalam mempercayai atau lebih teruk lagi turut terlibat dalam menyebarkan fitnah dan berita palsu. Al-Quran telah menyebut tentang perlunya sikap ini dijadikan amalan dalam kehidupan bermasyarakat sebagaimana firman Allah yang bermaksud:  Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Surah al-Hujurat: 6).

            Menurut al-Zuhaili (2003), kebanyakan ahli tafsir berpendapat sebab turun ayat ini adalah berkaitan peristiwa pengutusan seorang seorang lelaki oleh Rasulullah S.A.W. kepada kaum Bani Mustaliq untuk mengutip zakat daripada mereka. Apabila mendengar kedatangan utusan tersebut, sebahagian daripada kaum Bani Mustaliq keluar untuk menyambutnya. Walau bagimanapun, sebelum sempat utusan tersebut bertemu dengan kaum tersebut, beliau merasa takut dan kembali ke Madinah dengan memberitahu kepada Rasulullah S.A.W. bahawa ketua kaum tersebut enggan untuk membayar zakat dan ingin membunuhnya. Lantas Rasulullah S.A.W menghantar satu pasukan tentera kepada kaum tersebut. Walau bagaimanapun, setelah diselidiki didapati berita tersebut tidak benar dan kesannya terselamatlah daripada berlakunya pertumpahan darah. Sebaliknya, suasana menjadi tenang dan hubungan Rasulullah S.A.W. dan hubungan kaum tersebut kekal kukuh terpelihara.

            Di samping ayat di atas, Allah S.W.T turut mengingatkan manusia agar tidak berbicara tentang sesuatu berdasarkan sangkaan semata-mata sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Janganlah kamu mengatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati setiap orang kelak di akhirat akan diminta tanggung jawab. (Surah al-Isra’:36).

            Semangat untuk membudayakan sikap menyelidik mencari kebenaran berita sepatutnya disuburkan di dalam masyarakat pada hari ini. Apatah lagi dalam suasana yang sangat mudah untuk membuat berita palsu dan menyebarkannya dengan menggunakan kecanggihan media komunikasi yang ada. Ingatlah pesan baginda S.A.W. bahawa memulakan suatu berita bohong dan menyebarkannya adalah satu perbuatan keji sebagaimana sabda baginda yang bermaksud:Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebaikan dan kebaikan membawa ke syurga. Seorang lelaki berterusan bercakap benar sehinga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang benar. Sebaliknya pendustaan membawa kepada kekejian dan kekejian membawa ke neraka. Seorang lelaki yang berterusan melakukan dusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai pendusta. (Hadis Muttafaq ‘Alaih).

Berdusta itu tidak semestinya memulakan berita palsu tetapi seseorang turut dikira berdusta sekiranya menyampaikan atau berkongsi ‘share’ berita tersebut dengan pihak lain tanpa menyelidiki kebenarannya sebagaimana sabda baginda S.A.W. yang bermaksud: Memadai seseorang itu dikira sebagai berdusta sekiranya dia menyampaikan setiap yang didengarinya (tanpa menyelidiki kesahihan). (Hadis riwayat Muslim).

            Sehubungan dengan itu, dalam suasana ahli masyarakat tinggal di rumah kerana musibah  Covid-19, sepatutnya mereka juga berusaha untuk mendidik diri daripada menulis, menyebarkan dan berkongsi berita palsu. Berita palsu akan menimbulkan suasana yang tidak tenteram, takut, bimbang, gelisah, tekanan perasaan, pembelian panik, permusuhan bahkan juga dalam konteks yang lebih luas boleh membawa kepada pembunuhan dan peperangan. Budayakan menyelidiki kasahihan berita pada diri dan keluarga dengan berusaha untuk memastikan berita yang diperolehi atau berita yang hendak dikongsikan adalah berita yang sahih daripada sumber-sumber yang diyakini. Sekiranya tidak dapat dipastikan, tidak berkongsi adalah tindakan yang lebih tepat.

               Pada saat musibah yang melanda ini, sepatutnya ahli masyarakat berusaha menambahkan amal kebaikan dan memperbanyakan taubat serta istighfar memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan dan bukannya dengan menambahkan dosa dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu. Sesungguhnya setiap yang dibuat, ditulis atau diucapkan oleh manusia sama ada baik atau buruk, kecil mahupun besar, jelas atau tersembunyi akan dibalasi oleh Allah sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihat (dalam surat amalnya). Dan sesiapa melakukan kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).  (Surah al-Zalzalah: 7-8).

Budayakan Sikap Menyelidiki Kesahihan Berita Dalam Diri Dan Keluarga

Disediakan oleh: Dr Tuan Sidek bin Tuan Muda, Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), UMP. E-mel: : sidek@ump.edu.my.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri