Skip to main content

Bulan Kesedaran Autisme Sedunia: Autisme Bukan Penyakit

Diam tak diam, bulan April hampir tiba ke penghujungnya. Bulan April merupakan bulan kesedaran bagi Autisme, mengecilkan jurang kefahaman masyarakat dan bulan advokasi terhadap keunikan Autisme. Penerimaan dan kefahaman berkenaan dengan Autisme belum mencapai tahap yang memuaskan kerana masih ramai yang beranggapan Austime adalah sesuatu yang boleh dipulihkan. Jika lelah, berehat menjadi ubat. Jika sakit, jumpa pakar kesihatan dan dapatkan rawatan. Jika minda terkapai, sujud dan cuba beristigfar. Tetapi, adakah semudah memberi cadangan mengambil ubat kepada individu Autisme?. Jawapannya TIDAK, kerana Autisme BUKAN PENYAKIT. Setakat hari ini, TIADA ubat bagi individu yang didiagnosis dengan Autisme, yang ada hanyalah intervensi serta terapi bagi mengurangkan simptom yang mengganggu kefungsian mereka (dibaca: yang sebenarnya merupakan keunikan jika kita dapat menafsir dan menerimanya)

Ketika zaman IT masih lagi asing di negara ini, individu Autisme (IA) sering dikaitkan dengan ‘terencat akal’, ‘orang pelik’, ‘orang tak betul’ atau pelbagai label yang lain berbentuk cerca dan nista. Malahan, terdapat kes di mana mereka dikurung dan diikat kakinya hanya kerana mereka dikatakan berkelakuan janggal. Namun, sejajar dengan perkembangan teknologi, pengetahuan masyarakat mula terdidik dengan beberapa simptom Autisme yang dikenal pasti. Antara tanda-tanda individu itu Autisme ialah:

Hubungan Mata Yang Minimal

Kefungsian kanak-kanak dibentuk dari awal melalui hubungan mata atau pandangan mata ke mata sebelum dihubungkan dengan suara. Umumnya, IA tidak melihat tepat ke dalam mata seseorang apabila mereka berkomunikasi. Ciri-ciri unik IA biasanya adalah hipersensitiviti terhadap sebarang sensori. Walaupun individu tipikal menganggap hubungan mata memberi makna dalam proses komunikasi, bagi IA, pandangan mata ke mata menjadi tekanan kepada mereka. Kaedah memproses isyarat sosial bagi IA lebih berfokus kepada pertuturan atau kaedah lain yang lebih sesuai.  Oleh itu, ibu bapa atau pendidik perlu peka jika tiada hubungan mata bagi IA yang masih kanak-kanak, maka ia boleh diwujudkan dengan beberapa rangsangan seperti arahan suara yang jelas, kedudukan mata yang sama paras dan juga permainan yang boleh menarik perhatian mereka. Manakala bagi IA dewasa, hubungan kontak mata umumnya menjadi sesuatu yang tidak selesa bagi mereka. Mereka bukanlah tidak sopan atau tidak mahu berkomunikasi ketika melarikan pandangan. Ia adalah tentang bagaimana mereka memproses maklumat. Cukup dengan mengetahui keunikan ini, kita dapat merai kehadiran mereka dalam ruang lingkung sosial kita seterusnya menjadikan kita lebih terbuka dengan kelainan. 

Sensitif Terhadap Bunyi

Bunyi mesin pengisar, mesin pengering rambut atau bunyi siren mungkin bunyi yang biasa kita dengar. Tetapi bagi IA kebiasaanya mereka didapati tertekan, menutup telinga mereka atau menangis tidak selesa. Dikatakan bahawa, bunyi yang diproses oleh telinga mereka kuatnya  berkali ganda pendengaran individu biasa. Ada kajian yang mengatakan ‘sensory gating’ mereka menapis bunyi yang sama tanpa perubahan walaupun didengar buat kali kali kedua, berbanding individu biasa yang akan menapis bunyi sehingga menjadi lemah dan mengabaikan bunyi yang didengar buat kali kedua (Zachary et. al, 2021). Oleh itu, pemakaian ‘ear muff’ dalam kalangan IA bagi menapis bunyi merupakan salah satu kaedah membantu mereka. 
 

Kanak-kanak Autisme yang menutup telinga apabila mendengar suaranya sendiri di microphone Hidup dalam Rutin
Kanak-kanak Autisme yang menutup telinga apabila mendengar suaranya sendiri di microphone

Hidup dalam Rutin

IA kebiasaanya hidup dengan rutin. Jika terdapat perubahan rutin dalam kehidupan, mereka rasa tidak selesa dan akibatnya boleh mengganggu kefungsian mereka. Kebanyakan dari mereka mempunyai diet yang sama. Contohnya, jika mereka suka makan makaroni, mereka boleh memilih menu tersebut berhari-hari setiap tahun. Begitu juga dengan hal-hal lain yang mungkin biasa bagi individu tipikal. IA responsif terhadap suara biasa, persekitaran biasa, rutin biasa kerana mekanisme penyesuaian mereka terhadap perubahan tidak dijangka memerlukan lebih pemprosesan deria.  

Antara terapi atau intervensi awal bagi IA yang masih kanak-kanak ialah:

Balutan Sosej

‘Deep pressure’ atau balutan sosej merupakan salah satu kaedah bagi memberi ketenangan dan mengawal tingkah laku IA yang masih kanak-kanak. Ada beberpa kajian turut mengatakan ia sesuai untuk IA remaja. Mereka dibalut kemas dalam kain yang tebal, sehingga posisi tangan dan kaki mereka melunjur tegak. Kaedah ini digunakan secara meluas dalam mana-mana praktis klinikal di mana tekanan yang digunakan memberi input deria kepada otot dan sendi seterusnya memberi menenangkan sistem saraf daripada ‘sensory overload’. 

Teknik balutan sosej agar kanak-kanak Autisme ‘grounding’ dan bertenang Brushing
Teknik balutan sosej agar kanak-kanak Autisme ‘grounding’ dan bertenang

Brushing

Penggunaan ‘Wilbarger Brush’ digunakan untuk mengaktifkan sensori IA supaya lebih tenang dan responsif. Terdapat beberapa protokol dalam menggunakan berus ini, namun pengaplikasiannya amat mudah dan boleh dilaksanakan secara intensif oleh ibu bapa atau penjaga di rumah. Secara saintifiknya, penggunaan berus ini bersama protokolnya menurunkan frekuensi meltdown atau perlakuan agresif IA yang masih kanak-kanak.

   
Melalui beberapa pengenalan ini, pendidik atau ibu bapa boleh membuat jangkaan atau tindakan awal bagi mengenal ciri-ciri pelajar bekeperluan khas terutamanya Autisme. Perkongsian ini mungkin terpakai kepada ciri-ciri yang disebutkan sahaja kerana Autisme itu sendiri di bawah payung Autism Spectrum Disorder (ASD). Keunikan mereka pelbagai seperti pelangi. Justeru dengan mengetahui kepelbagaian ini, kita dapat menjadi warga Malaysia yang celik mata berkenaan hal ini dan membina masa depan yang lebih baik bagi pendidikan yang lebih inklusif.
Nota kaki: Mohon dapatkan pandangan pakar/ klinikal terapis bagi kaedah yang dinyatakan di atas. 

Dr. Hadijah Ahmad
Dr. Hadijah Ahmad

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-sultan Abdullah (UMPSA). 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: hadijah@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News