Skip to main content

Dari Flex ke Subtle: Bagaimana Generasi Z Mentafsir Semula Prestij?

Prestij Tidak Lagi Perlu Bising

Suatu ketika dahulu, prestij di Malaysia sangat mudah dibaca. Lagi besar logo pada baju, lagi tinggi status yang mahu ditunjukkan. Kereta diubah suai dengan rim besar, gambar makan di restoran mahal dimuat naik hampir setiap minggu dan media sosial dipenuhi kapsyen seperti ‘living my best life’. Budaya ini bukan sekadar gaya hidup. Ia cara masyarakat menunjukkan kejayaan.

Namun hari ini, suasananya semakin berubah. Bagi Generasi Z, prestij masih penting, tetapi cara mempamerkannya tidak lagi sama. Mereka tidak semestinya mahu dilihat mewah. Sebaliknya, mereka mahu dilihat mempunyai cita rasa, nilai dan identiti yang tersendiri. Jika dahulu ‘flex’ diraikan secara terang-terangan, kini ramai anak muda lebih selesa dengan gaya yang lebih tenang dan halus.

Pendek kata, prestij masih wujud. Cuma ia tidak lagi bising.

Generasi Yang Membesar Dalam Dunia ‘Content’

Perubahan ini banyak dipengaruhi oleh realiti yang dihadapi generasi muda hari ini. Mereka membesar dalam dunia media sosial yang terlalu sarat dengan mempamerkan gaya hidup yang sempurna. Setiap hari mereka melihat orang bercuti, membeli barang mahal, atau mempamerkan rutin hidup yang kelihatan ideal. Lama-kelamaan, gaya sebegitu kelihatan meletihkan. Apa yang dahulu dianggap mengagumkan mula terasa terlalu dibuat-buat.

Pada masa sama, tekanan hidup juga semakin berat. Harga rumah meningkat, kos sara hidup di bandar semakin tinggi dan peluang pekerjaan pula mempunyai persaingan yang tinggi. Ramai anak muda sedar bahawa mengejar imej mewah semata-mata bukan lagi ukuran kejayaan yang realistik. Disebabkan itu, fokus mereka mula berubah daripada mahu ‘nampak kaya’ kepada mahu hidup dengan lebih bermakna dan selesa.

Fesyen Minimalis Jadi Simbol Baharu

Perubahan ini dapat dilihat dengan jelas dalam dunia fesyen. Dahulu, pakaian dengan logo besar sering menjadi simbol status. Hari ini, ramai anak muda bandar lebih tertarik kepada pakaian yang ringkas, berkualiti dan tahan lama. Jenama tempatan seperti Anaabu atau Alia Bastamam, mendapat perhatian kerana reka bentuknya yang minimalis dan tidak terlalu mencolok mata.

Menariknya, ramai juga mula menghargai pakaian yang mempunyai nilai budaya dan cerita tersendiri. Batik moden, baju longgar dengan potongan sederhana dan fesyen modest premium semakin diterima, terutama dalam kalangan profesional muda. Mereka bukan sekadar membeli pakaian untuk bergaya, tetapi juga untuk menunjukkan identiti dan nilai yang mereka percaya.

Namun begitu, budaya ini juga ada sisi yang agak ironik.

Jika budaya flex lama mahu dilihat semua orang, budaya prestij baharu pula mahu difahami hanya oleh kelompok tertentu. Tidak semua orang kenal jenama yang dipakai. Tidak semua orang faham lokasi yang dikunjungi. Namun bagi mereka yang ‘tahu’, simbol itu sudah cukup memberi makna.

‘YTJT’ dan Status yang Lebih Halus

Oleh yang demikian, konsep seperti ‘YTJT’ atau Yang Tahu Je Tahu atau ‘IYKYK’ atau If You Know, You Know menjadi semakin popular. Prestij hari ini tidak lagi semestinya bergantung pada harga yang jelas kelihatan, tetapi pada pengetahuan, akses dan cita rasa yang lebih eksklusif.

Dalam dunia media sosial pula, perubahan ini lebih ketara. Dahulu, lebih banyak gambar dimuat naik, lebih tinggi nilai sosial seseorang. Hari ini, ada anak muda yang melihat sikap ‘kurang berkongsi’ sebagai lebih matang dan eksklusif. Akaun Instagram yang kemas dengan sedikit hantaran, penggunaan Close Friends yang terhad atau individu yang jarang menunjukkan kehidupan peribadi sering dianggap lebih yakin dengan diri sendiri.

Ironinya, budaya ‘nampak autentik’ juga akhirnya menjadi satu bentuk imej sosial baharu. Ada yang mahu kelihatan sederhana, tetapi kesederhanaan itu sendiri dirancang dengan begitu teliti. Ada yang bercakap tentang kehidupan minimalis, tetapi masih terperangkap dalam budaya membeli mengikut trend media sosial.

Pendek kata, manusia tetap mahu dilihat mempunyai status. Yang berubah hanyalah cara ia dipersembahkan.

Kejayaan Tidak Lagi Diukur dengan Jawatan

Perubahan ini turut berlaku dalam dunia pekerjaan. Dahulu, masyarakat sering mengaitkan kejayaan dengan jawatan besar atau kerja tetap di syarikat ternama. Hari ini, ramai anak muda lebih menghormati individu yang mempunyai kemahiran bernilai tinggi dan kebebasan bekerja mengikut cara sendiri.

Freelancer yang mempunyai pelanggan antarabangsa, pencipta kandungan digital yang membina komuniti sendiri atau anak muda yang berjaya mengembangkan perniagaan kecil melalui platform digital sering dianggap lebih berjaya walaupun tidak mempunyai gelaran korporat yang besar.

Bagi generasi ini, kejayaan bukan lagi semata-mata tentang jawatan. Mereka mahu fleksibiliti, masa dan kebebasan menentukan kehidupan sendiri.

Budaya Tempatan Diberi Nafas Baharu

Dalam masa yang sama, semakin ramai anak muda Malaysia mula menghargai identiti tempatan dengan cara yang lebih moden. Batik dipadankan dengan gaya kontemporari, kandungan digital tempatan semakin kreatif dan budaya tradisional mula diberi nafas baharu. Mereka tidak lagi melihat budaya tempatan sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman, sebaliknya sebagai identiti yang boleh dibawa ke peringkat global.

Ini mungkin antara perubahan paling menarik dalam generasi hari ini. Mereka moden, tetapi masih mahu kelihatan dekat dengan akar budaya sendiri.

Tidak Semua Anak Muda Hidup Dalam Dunia ‘Quiet Luxury’

Walau bagaimanapun, penting untuk diingat bahawa budaya ini tidak mewakili semua Generasi Z Malaysia. Ramai anak muda masih bergelut dengan isu asas seperti gaji rendah, pekerjaan tidak stabil dan kos hidup yang semakin menekan. Bagi mereka, prestij mungkin bukan tentang gaya hidup minimalis atau kopi mahal di kafe estetik, tetapi tentang mampu membantu keluarga dan hidup tanpa terlalu dibebani hutang.

Sebab itu, kita tidak boleh terlalu cepat menganggap Generasi Z sudah meninggalkan budaya materialistik sepenuhnya. Sebenarnya, budaya status masih ada. Ia cuma berubah wajah. Jika dahulu manusia menunjuk melalui logo besar dan kemewahan yang jelas, hari ini ramai menunjuk melalui cita rasa, gaya hidup dan simbol sosial yang lebih halus.

Bezanya, semuanya dilakukan dengan cara yang lebih senyap.

Prestij Baharu dalam Dunia yang Semakin Penat

Kesimpulannya, perubahan cara Generasi Z melihat prestij menunjukkan bagaimana masyarakat turut berubah. Status tidak lagi hanya bergantung pada apa yang dimiliki, tetapi juga bagaimana seseorang membawa diri, memilih nilai hidup dan membina identiti sendiri. Dalam dunia yang terlalu penuh dengan pameran dan persaingan imej, ramai anak muda mula mencari sesuatu yang lebih jujur dan lebih dekat dengan diri mereka sendiri.

Prestij tidak hilang. Ia hanya menjadi lebih halus, lebih pintar dan kadangkala lebih sukar dibaca. Dalam realiti Malaysia hari ini, mungkin itu sebenarnya bentuk status baharu yang paling berpengaruh.

Penulis ialah Pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
 

Ahmad Ibrahim

Oleh: Ahmad Ibrahim
E-mel: ahmadbi@umpsa.edu.my

 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri