Data Sebagai Pemacu Tadbir Urus Berkesan di Institusi Pengajian Tinggi
Pengenalan
Dunia hari ini bergerak pantas ke arah persekitaran digital dan institusi pengajian tinggi tidak terkecuali daripada keperluan untuk menyesuaikan pendekatan tadbir urus mereka. Dalam mengurus universiti yang semakin kompleks, data telah menjadi sebahagian daripada operasi harian. Namun, memiliki data semata-mata tidak akan menjamin pembuatan keputusan yang lebih baik. Hakikatnya, banyak institusi pengajian tinggi masih belum memanfaatkan data yang tersedia secara strategik dan bersepadu.
Bagi universiti awam khususnya, tuntutan terhadap akauntabiliti, kecekapan dan ketelusan semakin hari semakin meningkat. Dalam konteks ini, nilai sebenar data terletak pada bagaimana ia digunakan untuk menyokong pembuatan keputusan, merancang hala tuju dan mengurus risiko. Budaya organisasi berpacukan data bukan sekadar trend teknologi, sebaliknya telah menjadi keperluan asas kepada tadbir urus yang berkesan. Justeru itu, institusi pengajian tinggi perlu bergerak daripada sekadar memiliki data kepada menggunakan data secara bermakna sebagai asas kepada pembuatan keputusan dan perancangan masa hadapan.
Konsep Tadbir Urus Berkesan dalam Pengajian Tinggi
Tadbir urus universiti merujuk kepada cara sesebuah institusi pengajian tinggi ditadbir, dikawal dan dipimpin bagi memastikan matlamat akademik, pentadbiran serta tanggungjawab awam dapat dicapai secara berkesan. Ia merangkumi struktur, dasar, proses dan amalan yang membentuk pembuatan keputusan, pengagihan sumber serta pemantauan prestasi institusi secara menyeluruh.
Dalam konteks universiti awam, tadbir urus tidak terhad kepada pematuhan terhadap peraturan semata-mata. Sebaliknya, ia mencerminkan keupayaan institusi untuk bertindak secara telus, bertanggungjawab dan berintegriti dalam mengurus amanah awam. Elemen seperti akauntabiliti, ketelusan, kecekapan, integriti data, dasar yang jelas serta kepimpinan yang berwibawa menjadi asas kepada tadbir urus universiti yang berkesan dan diyakini.
Namun demikian, dalam era digital, tadbir urus universiti tidak lagi dapat dipisahkan daripada pengurusan data. Data kini menjadi aset strategik yang menyokong pembuatan keputusan dan
menentukan hala tuju institusi. Keputusan berasaskan data yang konsisten dan boleh dipercayai membolehkan universiti bertindak dengan lebih cekap, berfokus dan berimpak.
Organisasi Berpacukan Data dalam Konteks IPTA
Organisasi berpacukan data merujuk kepada organisasi yang membuat keputusan strategik dan operasi berdasarkan analisis data yang sahih dan bermakna, bukan semata-mata bergantung kepada gerak hati atau pengalaman lampau. Dalam konteks IPTA, data digunakan merentasi fungsi akademik, pentadbiran, kewangan dan sumber manusia sebagai asas kepada perancangan dan tindakan.
Peralihan ke arah pendekatan berpacukan data bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi, tetapi perubahan menyeluruh dalam budaya, proses dan cara berfikir. Institusi yang berpacukan data bukan sahaja memiliki data, tetapi menjadikan data sebagai nadi kepada setiap keputusan yang dibuat.
Ciri-ciri Utama Organisasi Berpacukan Data
Antara elemen penting dalam organisasi berpacukan data ialah budaya data yang kukuh, kebolehcapaian data yang selamat, literasi data dalam kalangan warga institusi, penggunaan teknologi analitik, integrasi sistem serta rangka kerja tadbir urus data (data governance) yang jelas bagi memastikan kualiti, pemilikan data, etika, polisi dan keselamatan data terpelihara.
Peranan Data sebagai Pemacu Tadbir Urus Berkesan
Data memainkan peranan penting dalam menyokong pembuatan keputusan strategik melalui penggunaan papan pemuka (dashboard), analitik ramalan (predictive analytics) dan sistem amaran awal (early warning systems). Ia membantu universiti merancang enrolmen, pembangunan program akademik dan TVET, penyelidikan serta pengurusan kewangan secara lebih berfokus.
Dalam konteks tadbir urus universiti, data hanya mempunyai nilai apabila ia diproses menjadi maklumat, difahami sebagai pengetahuan dan akhirnya diterjemahkan kepada kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Data mentah tanpa analisis tidak membawa makna, manakala maklumat tanpa kefahaman konteks boleh mengelirukan. Oleh itu, tadbir urus yang berkesan menuntut keupayaan institusi untuk mengangkat data kepada keputusan yang bijaksana dan berimpak.
Penggunaan data yang sistematik juga memperkukuh akauntabiliti dan ketelusan melalui pemantauan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), prestasi kewangan dan keberkesanan operasi. Pelaporan yang berasaskan data akan meningkatkan keyakinan pihak berkepentingan terhadap keupayaan universiti menguruskan amanah awam.
Selain itu, tadbir urus data yang baik penting bagi mengurus risiko, integriti dan keselamatan data. Data yang terasing atau berkualiti rendah boleh menghasilkan analisis yang mengelirukan dan menjejaskan reputasi institusi. Data turut membantu pengoptimuman sumber dan kecekapan operasi melalui automasi laporan, pengurangan pembaziran dan penambahbaikan proses kerja.
Namun begitu, keberkesanan penggunaan data tidak bergantung kepada teknologi semata-mata. Pengurusan data memerlukan komitmen bersama melibatkan kepimpinan universiti, fakulti, pusat tanggungjawab dan warga pentadbiran. Setiap pihak bertanggungjawab memastikan data yang digunakan mencerminkan realiti operasi sebenar institusi.
Cabaran dan Peluang Strategik
Pelaksanaan budaya berpacukan data berdepan dengan cabaran seperti data yang terpisah (silo) merentas unit, isu kualiti data, tahap literasi data yang tidak seimbang serta ketiadaan polisi dan rangka kerja tadbir urus data yang kukuh. Isu etika, privasi dan keselamatan data, termasuk pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), turut memerlukan perhatian serius.
Walau bagaimanapun, pendekatan berpacukan data membuka peluang strategik yang besar kepada institusi pengajian tinggi untuk beralih daripada pengurusan reaktif kepada perancangan yang lebih proaktif dan berasaskan bukti. Melalui kepimpinan, dasar dan pelaburan dalam literasi data, universiti dapat memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecekapan dan menyokong kelestarian institusi.
Penutup
Dalam landskap pengajian tinggi yang semakin mencabar, tadbir urus berkesan tidak lagi boleh bergantung kepada amalan tradisional semata-mata. Data kini menjadi pemacu utama kepada keputusan yang lebih tepat, telus dan berimpak.
Namun, menjadi organisasi berpacukan data menuntut perubahan budaya, kepimpinan dan tadbir urus data yang beretika serta bertanggungjawab. Justeru, pengurusan data perlu dilihat sebagai amanah bersama seluruh warga universiti, disokong oleh dasar yang jelas dan kerjasama merentas fungsi, dan bukannya bergantung kepada unit ICT semata-mata.

Oleh: WAN FATMA AZURA WAN MAHAMOOD
E-mel: wfazura@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pegawai Teknologi Maklumat, Pusat Teknologi Digital, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 9 views