Di Sebalik Ijazah Tertinggi: Cerita Pengorbanan yang Tak Terungkap
Ramai impikan perubahan dan kejayaan dalam hidup. Tetapi tidak semua berani melangkah dan berani lakukan perubahan. Satu cara sahaja untuk berubah iaitu melalui pendidikan. Melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi adalah satu usaha untuk mengubah diri ke tahap yang lebih baik.
Namun, pelbagai persoalan timbul di minda apabila terlihat peluang sambung belajar Ijazah Kedoktoran (PhD). Mungkin ini yang bermain difikiran anda, “Aku dah lama tinggal belajar, masih sempatkah?”, “Belajar sambil kerja… mampu ke aku?”, “Nak sambung belajar, tapi takut gagal,” “Nak sambung PhD, takut orang kata Permanent Head Damaged,” “Kalau sambung belajar, dapat apa,? gaji naik, naik pangkat,? “Sambung belajar, aku boleh ke? Jawapannya: YA, anda mampu. Jika ya, ketahuilah anda tidak keseorangan. Ramai pernah rasa begitu. Ramai juga yang berjaya, kerana mereka berani mengambil langkah pertama.

Artikel ini ditulis untuk membangkitkan keyakinan pembaca yang mungkin rasa terlambat, takut, tidak yakin akan lulus, tidak yakin untuk menyambung pelajaran dan merasa takut jika terhenti di tengah jalan. Artiel ini ditulis khusus untuk membantu anda melihat bahawa belajar semula bukan perkara yang mustahil. Ia bukan tentang usia, tetapi tentang semangat dan kesediaan untuk berubah. Walau bagaimanapun, menamatkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) bukan sekadar pencapaian akademik, ia adalah sebuah perjalanan penuh pengorbanan. Di sebalik segulung ijazah tertinggi itu, tersimpan kisah duka, titisan air mata, dan kecekalan yang tidak ternilai. Apakah pengorbanan tu?
Pengorbanan Masa
Tempoh pengajian PhD lazimnya mengambil masa tiga hingga lima tahun. Malah ada yang lebih lama dari itu. Dalam tempoh itu, masa bersama keluarga, rakan, dan diri sendiri sering kali terpaksa dikorbankan. Hari-hari hujung minggu, cuti umum, cuti tahunan pun kadang-kadang dihabiskan di perpustakaan, makmal, arkib dan kajian di lapangan. Jadi, banyak masa anda akan dihabiskan untuk PhD. Berhentilah melenting jika anda merasa masa anda tiada lagi untuk keluarga atau diri sendiri. Inilah pengorbanan yang perlu dikorbankan demi menyiapkan kajian anda. Ingat, pengorbanan ini hanya berlaku dalam jangka masa pengajian sahaja, bukan selama-lamanya.
Pengorbanan Emosi dan Mental
PhD bukan sahaja menguji keupayaan intelek, tetapi juga kesihatan mental. Rasa putus asa, imposter syndrome, tekanan daripada penyelia, penolakan jurnal, kesukaran mencari literature review yang berkaitan, berulang kali membaiki dan ubah proposal, membuat pembetulan, ketidakcukupan sumber, ketakutan dan kebimbangan untuk membentang proposal, dan lain-lain lagi yang mana semua ini menjadi sebahagian daripada pengalaman dalam menyiapkan PhD. Ramai pelajar PhD bergelut dengan kemurungan, kebimbangan, dan keletihan emosi yang tidak kelihatan dari luar. Ini bukan luar biasa, tetapi ia adalah perkara normal yang dihadapi oleh semua orang. Jadikan ini sebagai cabaran yang akan menguatkan semangat untuk mencapai impian.
Pengorbanan Kewangan
Terdapat beberapa cara bagi mendapatkan dana atau sumber kewangan bagi membiayai pengajian peringkat PhD seperti mendapat tajaan daripada majikan, biasiswa dan juga pembiayaan sendiri. Bagi yang tidak mendapat tajaan penuh, atau terpaksa membiayai sepenuhnya dari kewangan sendiri, menampung kos pengajian dan sara hidup menjadi beban yang besar. Beban kewangan bergantung kepada tempat anda menyambung pengajian. Jika di luar negara, maka beban kewangan yang terpaksa ditanggung adalah lagi besar berbanding dalam negara. Justeru, ada yang bekerja sambilan, berniaga kecil-kecilan, atau bergantung pada pinjaman. Ini secara tidak langsung mengajar kita tentang kehidupan yang serba sederhana dan berjimat cermat. Ingatlah, pengorbanan wang memang lumrah dalam mencari ilmu.

Pengorbanan Sosial
Betul ke PhD boleh menyebabkan seseorang terasing dari dunia luar?. Memang ada betulnya kerana anda tidak banyak masa untuk menghadiri majlis perkahwinan, perjumpaan keluarga, reunion sekolah, reunion universiti atau aktiviti sosial sering kali terpaksa ditolak kerana perlukan masa untuk membuat kerja lapangan, berkampung di arkib negara (jika berkaitan), tarikh perjumpaan bertindan dengan tarikh akhir penyelidikan atau penyerahan draf tesis. Rehat seketika untuk berjumpa kawan baik, kawan rapat, filem terkini dan sebagainya. Untuk itu, ramai yang merasa ‘terpisah’ daripada dunia luar dan terasa berada dalam dunia sendiri iaitu dunia PhD.

Pengorbanan Diri Sendiri
Kebanyakan dari kita semestinya ingin menjaga kesihatan dan kehendak diri sendiri. Menjadi pelajar PhD, anda sebenarnya mengorbankan impian lain seperti kerjaya, minat peribadi, kesihatan fizikal, tidur yang tidak cukup, makan tidak teratur, kurang bersenam menjadi lumrah. Ini kerana PhD menuntut sepenuh perhatian, dan kadang-kadang diri sendiri menjadi taruhan. Ada masanya anda tidak bersetuju dengan pendapat penyelia. Dalam hal ini, memujuk diri untuk menerima pendapat orang lain juga merupakan suatu pengorbanan. Memang rasmi anak murid kena ikut arahan guru. Itulah yang ingin disampaikan di sini. Apapun jangan lupa menjaga kesihatan terutamanya tidur mesti cukup. Pastikan anda mempunyai jadual yang teratur bagi mengatur perjalanan kajian dan PhD anda.
Di sebalik semua itu, pengorbanan itu bukan sia-sia. PhD mengajar erti ketabahan, disiplin diri, pemikiran kritikal dan daya tahan. Ia membentuk individu yang bukan hanya cemerlang dalam ilmu, tetapi juga kuat dari segi mental dan emosi. PhD bukan untuk semua orang, tetapi bagi yang memilihnya, ia adalah jalan kehidupan yang luar biasa. Anda cabar diri anda untuk membaiki tahap pendidikan anda ke tahap yang lebih tinggi. Ada PhD, adalah peluang besar untuk anda.

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 72 views
Reports by: