Skip to main content

Dilema Bazar Ramadan: Antara Harga dan Kualiti

Lambaian Ramadan sentiasa membawa nostalgia yang mendalam, namun pada tahun 2026 ini suasananya terasa sedikit berbeza apabila masyarakat melangkah ke celah-celah deretan gerai yang menghidupkan tradisi tahunan di seluruh Malaysia. Fenomena kenaikan harga bahan mentah bukan sekadar angka yang terpapar di dada akhbar seperti NST Online, sebaliknya ia adalah denyut nadi kegelisahan yang dirasai oleh setiap peniaga kecil dan pengunjung yang mengharapkan keberkatan bulan mulia ini. Apabila harga juadah dinaikkan sekitar satu hingga dua Ringgit Malaysia bagi setiap bungkus makanan, maka di situlah terletak titik pertembungan antara kelangsungan hidup peniaga dengan kuasa beli pengguna yang semakin mengecil. Inflasi makanan bukan lagi wacana ekonomi makro yang abstrak, tetapi realiti mikro yang mencengkam dapur setiap rumah dan menguji kesabaran sosial secara senyap.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melalui inisiatif Ops Pantau 2026 memperlihatkan ketegasan dalam memastikan hak pengguna tidak dicabuli oleh segelintir pihak yang cuba menangguk di air keruh. Kegagalan mempamerkan tanda harga bukan sahaja kesalahan undang-undang bahkan mencerminkan kelompongan etika dalam muamalat yang sepatutnya berlandaskan prinsip al-syura, keadilan dan ketelusan. Dalam tradisi Islam, urusan jual beli bukan sekadar transaksi ekonomi tetapi amanah moral yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. 

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 188,

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

yang mengingatkan agar harta tidak dimakan secara batil, menjadi asas teguh bahawa manipulasi harga atau penipuan timbangan adalah pengkhianatan terhadap maqasid syariah. Keberadaan 116 lokasi Bazar Ramadan Rahmah di seluruh negara pula mencerminkan komitmen menyediakan alternatif menu mampu milik sebagai penimbal tekanan kos sara hidup. Inisiatif ini bukan semata-mata tentang makanan murah, tetapi lambang ihsan sosial agar setiap lapisan masyarakat dapat menikmati juadah berbuka tanpa rasa terhina oleh kekangan kewangan.

Namun, harga hanyalah satu sisi daripada dilema yang lebih kompleks kerana keselamatan makanan kekal sebagai amanah yang tidak boleh dikompromi. Sasaran Kementerian Kesihatan untuk mengehadkan kes keracunan makanan di bawah lima puluh kes bagi setiap seratus ribu penduduk menuntut disiplin saintifik dalam pengendalian makanan. Dari suhu penyimpanan bahan mentah hingga proses pembungkusan akhir, setiap perincian adalah ibadah apabila dilaksanakan dengan amanah. Rasulullah SAW telah memberi peringatan tegas dalam hadis sahih riwayat Muslim,

مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

yang menegaskan bahawa sesiapa yang menipu bukanlah daripada golongan baginda. Kualiti makanan yang diabaikan demi keuntungan segera bukan sahaja mengundang risiko kesihatan, malah merosakkan kepercayaan sosial yang menjadi teras ekonomi komuniti.

Dalam kerancakan bazar yang sarat warna dan aroma, terdapat dimensi lain yang sering terlepas pandang iaitu tuntutan berbelanja secara berhikmah. Ramadan ialah madrasah tazkiyah yang mendidik jiwa agar mengawal nafsu, bukan meraikannya tanpa batas. Allah SWT berfirman dalam Surah al Araf ayat 31,

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

yang menggariskan prinsip keseimbangan dalam makan dan minum serta larangan terhadap pembaziran. Budaya membeli secara berlebihan sehingga makanan berakhir di tong sampah bercanggah dengan roh Ramadan yang menuntut empati terhadap golongan fakir. Sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim,

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَتَصَدَّقُوا وَالْبَسُوا فِي غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلَا مَخِيلَةٍ

menjadi pedoman agar perbelanjaan dilakukan tanpa israf dan tanpa kesombongan. Dalam konteks bazar, kebijaksanaan pengguna memilih juadah secukupnya serta menyokong peniaga berintegriti adalah manifestasi iman yang diterjemahkan melalui tindakan ekonomi.

Bazar Ramadan sebenarnya sebuah ekosistem sosial yang menyatukan pelbagai emosi dan harapan. Peniaga yang bangun seawal pagi menyediakan hidangan adalah pejuang ekonomi mikro yang bergelut dengan kenaikan harga minyak masak dan tepung, manakala pembeli pula ingin menghadiahkan kegembiraan kepada keluarga setelah seharian berpuasa. Keseimbangan antara kualiti dan harga menuntut kerjasama semua pihak agar tiada yang terpinggir dalam kitaran ekonomi bermusim ini. Pengguna yang celik hak dan peniaga yang jujur akan bersama-sama membentuk pasaran yang kompetitif serta telus, sekali gus memperkukuh daya tahan nasional dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Dari perspektif sosiopolitik, isu bazar mencerminkan kematangan masyarakat dalam mengurus tekanan ekonomi tanpa mengorbankan nilai spiritual. Penguatkuasaan melalui Ops Pantau hanyalah instrumen luaran, sedangkan pengawasan dalaman yang lahir daripada takwa adalah benteng paling ampuh. Setiap suapan ketika azan Maghrib berkumandang seharusnya menumbuhkan rasa syukur dan kesedaran bahawa rezeki adalah amanah. Ramadan bukan pesta memenuhi selera, tetapi latihan mengawal keinginan agar perbelanjaan menjadi ibadah dan perniagaan menjadi jalan keberkatan.

Akhirnya, kematangan intelektual dan spiritual kita diuji apabila mampu menghargai jerih payah peniaga sambil tegas menuntut hak sebagai pengguna yang bijak. Berbelanja secara berhemah, mengelakkan pembaziran, dan menegakkan kejujuran dalam muamalat adalah cerminan masyarakat yang memahami bahawa ekonomi dan ibadah tidak pernah terpisah dalam kerangka Islam. Semoga Ramadan tahun ini menjadi medan memperkukuh integriti pasaran dan menyuburkan jiwa, agar setiap Ringgit Malaysia yang dibelanjakan menjadi saksi ketaatan dan bukan beban penyesalan di kemudian hari.

BAIHAQI

Oleh: MOHAMMAD BAIHAQI HASNI 
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my

Penulis ialah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim