Eks Leopard PALAPES Darat UMPSA 2026: Medan Pembentukan Kepimpinan dan Ketahanan Diri

Latihan Kem Tahunan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tahun 2026 telah dilaksanakan dengan jayanya bermula dari 12 hingga 26 Februari 2026 bertempat di UMPSA Kampus Gambang dan kawasan hutan am Panching, Kuantan. Latihan yang dikenali sebagai Eksesais Leopard berlangsung selama dua minggu itu menjadi platform utama bagi melahirkan pegawai simpanan tentera darat yang berdisiplin, berkepimpinan tinggi serta berpengetahuan mendalam dalam bidang ketenteraan.
Latihan tahunan ini merupakan antara komponen terpenting dalam struktur latihan PALAPES Darat UMPSA yang bertujuan memperkukuh pemahaman pegawai kadet terhadap aspek operasi ketenteraan sebenar. Ia juga berfungsi sebagai medan pembelajaran, pengukuhan semangat berpasukan, serta ujian daya ketahanan mental dan fizikal para pegawai kadet dari tiga peringkat iaitu Junior, Intermediate, dan Senior.
Latihan Peringkat Junior: Pengenalan Kepada Ilmu Medan Perang (IMP)
Bagi pegawai kadet peringkat junior yang berkekuatan 48 orang, latihan ini memberi pendedahan awal kepada mereka tentang asas-asas ketenteraan melalui modul Ilmu Medan Perang (IMP). Modul ini dilaksanakan secara teori dan praktikal, merangkumi pembacaan peta, pandu arah darat, penggunaan radio semboyan, dan ujian kawad kaki.
Latihan IMP menekankan aspek kecekapan dalam memahami lokasi, penguasaan arah, dan komunikasi taktikal menggunakan sistem semboyan tentera. Dengan kemahiran ini, pegawai kadet berupaya mengendalikan pergerakan formasi dengan lebih cekap dan bersedia menghadapi sebarang situasi di lapangan sebenar. Dalam masa yang sama, latihan kawad kaki pula membentuk disiplin diri, ketepatan arahan dan kerjasama kumpulan asas utama dalam pembentukan seorang pegawai.
Selain aspek kemahiran teknikal, latihan untuk pegawai kadet junior turut menanam nilai-nilai teras ketenteraan seperti ketaatan kepada perintah, ketepatan masa, tanggungjawab, dan semangat setiakawan (esprit de corps). Latihan ini menjadi asas kukuh kepada mereka sebelum melangkah ke tahap latihan yang lebih kompleks.
Latihan Peringkat Intermediate: Kemahiran Menganalisis Situasi
Bagi 43 orang pegawai kadet peringkat intermediate pula, latihan ini memberi fokus kepada Individual Military Appreciation Process (IMAP) untuk memperkukuh kemahiran menganalisis situasi medan perang, seterusnya melatih pegawai kadet membuat keputusan taktikal yang tepat berpandukan kepada maklumat risikan dan keadaan semasa operasi.
Melalui IMAP, pegawai kadet dilatih menilai pelbagai faktor medan termasuk keadaan muka bumi, kekuatan musuh, moral pasukan, dan keupayaan logistik sebelum mengemukakan cadangan tindakan. Kaedah ini amat penting dalam operasi ketenteraan sebenar kerana ia melatih keupayaan analitikal dan membuat keputusan secara pantas di bawah tekanan tinggi.
Pegawai-pegawai kadet intermediate juga didedahkan dengan konsep operasi peperangan dalam bandar dan bangunan melalui modul Operation in Built Up Area (OBUA) yang telah dilaksanakan di UMPSA Kampus Gambang.
Sepanjang pelaksanaan latihan ini pegawai kadet intermediate turut berpeluang mempraktikkan kepimpinan dalam kumpulan kecil. Setiap kadet diberi peluang menjadi ketua dalam sesi taktikal, sekali gus mengasah kemahiran komunikasi, pengurusan sumber manusia, dan penyampaian keputusan yang kritikal.

Peringkat Senior: Latihan Medan Peperangan Konvensional dan Peperangan Melawan Insurgensi
Bagi pegawai kadet senior, latihan tahun ini merupakan kemuncak kepada perjalanan tiga tahun pengajian dalam PALAPES Darat UMPSA. Fasa latihan telah diadakan di kawasan Hutan Am Panching dan Kawasan Felda Sungai Panching Timur. Para kadet mengaplikasikan segala ilmu yang telah dipelajari ke dalam dua bentuk peperangan utama iaitu Peperangan Konvensional dan Peperangan Melawan Insurgensi.
Peperangan Konvensional yang mensimulasikan pertempuran antara dua kuasa tentera secara tradisional. Dalam fasa ini, pegawai kadet melaksanakan strategi menduduki pertahanan, pengunduran taktikal, mara dan serangan terakhir ke atas pertahanan musuh. Eksesais ini memberi ruang kepada mereka untuk memahami struktur operasi pasukan besar, penggunaan aset sokongan, dan kepentingan koordinasi antara seksyen serta platun.
Fasa ini menonjolkan aspek Command and Control (C2), iaitu kemampuan setiap pegawai kadet untuk mengeluarkan arahan dengan tegas, memantau pelaksanaan misi dan memastikan komunikasi antara unit berjalan lancar.
Manakala dalam fasa Peperangan Melawan Insugensi, pegawai kadet dilatih memahami dan melaksanakan strategi operasi menentang ancaman insurgensi. Para kadet diberikan tugas dan tanggungjawab khusus dalam platun dan seksyen, bagi menguji kebolehan kepimpinan mereka secara langsung di lapangan. Antara aktiviti utama dalam fasa ini termasuk menduduki pengkalan operasi hadapan, ronda tempur, serang hendap, serta serangan terhadap kem musuh. Setiap aktiviti memerlukan strategi, penyelarasan yang rapi, serta keyakinan tinggi terhadap keputusan pemimpin seksyen dan platun.
Secara keseluruhannya, Latihan Kem Tahunan PALAPES Darat UMPSA 2026 telah berjaya mencapai objektifnya dalam mengasah bakat dan potensi setiap pegawai kadet. Ia bukan sahaja memperkukuh kemahiran ketenteraan, malah membentuk ciri-ciri kepimpinan berwibawa, pemikiran strategik, dan keupayaan membuat keputusan di bawah tekanan.

Oleh: MOHD AZAM MUHAMAD AKHIR
E-mel: azam@umpsa.edu.my
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 29 views