Skip to main content

‘Fitnah Akhir Zaman’ dinobatkan Lagu Nasyid Terbaik AIM25: Menelusuri mesej karya Halim Ahmad

Kita sedang berada dalam sebuah zaman yang menyaksikan maklumat bergerak begitu pantas. Hanya dengan sebuah telefon pintar, berita dari satu sudut dunia boleh sampai kepada jutaan manusia dalam tempoh beberapa saat. Namun, di sebalik kemajuan teknologi yang membawa begitu banyak manfaat, muncul satu cabaran yang semakin membimbangkan, iaitu apabila kebenaran dan kepalsuan bercampur sehingga manusia semakin sukar membezakan antara fakta, persepsi dan dusta.

Realiti inilah yang menjadi intipati lagu ‘Fitnah Akhir Zaman’ karya Halim Ahmad. Lagu yang diterbitkan pada tahun 2025 ini merupakan sebuah karya berbentuk kritik sosial yang mengangkat fenomena manusia mencipta fitnah dan menyebarkan berita tanpa usul periksa. Menurut penerangan rasmi Halim Ahmad, lirik karya ini turut diinspirasikan daripada hadis Nabi Muhammad SAW berkaitan zaman yang dipenuhi pendustaan. Justeru, karya tersebut bukan sekadar lagu untuk dinikmati, tetapi membawa teguran yang cukup dekat dengan realiti kehidupan masyarakat pada hari ini.

Lagu tersebut membuka renungan dengan gambaran tentang suatu zaman yang penuh tipu daya, sehingga kata-kata pendusta boleh mendapat kepercayaan. Gambaran ini sewajarnya mengundang muhasabah. Dalam dunia yang dibanjiri maklumat, sesuatu perkara tidak semestinya menjadi benar hanya kerana ia dikongsi ribuan kali. Begitu juga seseorang yang bercakap dengan penuh keyakinan tidak semestinya membawa fakta yang tepat. Apabila manusia tidak lagi menilai sesuatu berdasarkan bukti dan sumber yang sahih, pendustaan mempunyai ruang untuk diterima sebagai kebenaran.

Keadaan menjadi semakin mencabar apabila teknologi menjadikan penciptaan dusta terlalu mudah. Jika dahulu penyebaran sesuatu berita memerlukan masa dan saluran tertentu, hari ini beberapa perkataan, satu tangkap layar, gambar yang disunting atau potongan video yang dikeluarkan daripada konteks sudah mampu membentuk persepsi masyarakat. Malah, perkembangan kecerdasan buatan (AI) menjadikan teks, suara, gambar dan video semakin mudah dihasilkan serta dimanipulasi. Kemajuan teknologi memberikan manfaat yang besar, tetapi tanpa nilai dan etika, teknologi yang sama boleh digunakan untuk menghasilkan kandungan yang mengelirukan.

Inilah yang menjadikan mesej ‘Fitnah Akhir Zaman’ begitu dekat dengan kehidupan kita. Dusta tidak semestinya bermula dengan cerita yang panjang. Kadangkala ia bermula dengan satu kata. Satu tuduhan yang tidak dibuktikan boleh merosakkan reputasi seseorang. Satu tangkap layar tanpa konteks boleh mencetuskan salah faham. Satu video yang dipotong boleh memberikan gambaran yang sama sekali berbeza daripada keadaan sebenar. Apabila semuanya disebarkan berulang kali, persepsi akhirnya mengambil tempat kebenaran.

Lebih menyedihkan, fitnah bukan sahaja merosakkan nama seseorang, malah mampu menanam kebencian antara manusia yang tidak pernah saling mengenali. Kita boleh melihat bagaimana seseorang boleh dihukum oleh masyarakat hanya berdasarkan beberapa saat rakaman video atau satu hantaran di media sosial. Ribuan komen boleh ditulis oleh individu yang tidak pernah bertemu dengannya, tidak mengetahui keseluruhan cerita dan tidak pernah mendengar penjelasan daripada semua pihak. Daripada sebuah cerita yang belum dipastikan kebenarannya, lahirlah cemuhan, penghinaan dan kebencian.

Fenomena ini mengajar kita bahawa kecanggihan teknologi tidak semestinya menjadikan manusia lebih bijaksana. Kita mungkin mempunyai akses kepada lebih banyak maklumat berbanding generasi terdahulu, tetapi persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana kita mempunyai kebijaksanaan untuk menilai maklumat tersebut. Ilmu bukan sekadar mengetahui sesuatu, tetapi turut melibatkan kemampuan untuk membezakan antara fakta dan andaian serta kesediaan untuk mengakui bahawa kita belum mengetahui keseluruhan cerita.

Islam telah memberikan panduan yang sangat jelas melalui konsep tabayyun. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 6 supaya orang beriman menyelidiki sesuatu berita yang diterima agar tidak menimpakan keburukan kepada orang lain disebabkan kejahilan sehingga akhirnya menyesali tindakan tersebut. Prinsip ini sangat relevan dalam konteks komunikasi digital. Sebelum menerima sesuatu dakwaan sebagai benar, kita perlu bertanya tentang sumbernya. Sebelum membuat kesimpulan, kita perlu melihat konteksnya. Sebelum menekan butang ‘kongsi’, kita perlu mempertimbangkan kesannya.

Lagu ‘Fitnah Akhir Zaman’ kemudiannya membawa teguran yang lebih mendalam tentang kecintaan terhadap dunia dan keinginan mengejar nama. Dalam dunia media sosial, perhatian telah menjadi sesuatu yang sangat bernilai. Jumlah tontonan, tanda suka, perkongsian dan pengikut boleh menjadi ukuran populariti seseorang. Tidak ada kesalahan untuk dikenali atau mempunyai pengaruh, tetapi masalah timbul apabila keinginan mendapatkan perhatian menyebabkan seseorang sanggup mengorbankan kebenaran dan maruah manusia.

Kandungan yang sensasi sering mendapat perhatian lebih pantas. Kontroversi mengundang klik, manakala konflik mengundang komen. Dalam perlumbaan mendapatkan perhatian, manusia boleh terlupa bahawa di sebalik sesuatu cerita terdapat individu sebenar yang mempunyai maruah, keluarga dan perasaan. Apa yang menjadi ‘kandungan’ kepada seseorang mungkin menjadi penderitaan kepada orang lain. Justeru, sebelum mengejar nama dan perhatian manusia, seseorang perlu bertanya kepada dirinya sama ada perkara yang disebarkan itu benar, bermanfaat dan boleh dipertanggungjawabkan.

Satu lagi teguran penting yang dibawa menerusi karya tersebut ialah sikap menyebarkan sesuatu tanpa usul periksa. Inilah antara cabaran paling besar dalam masyarakat digital. Ramai yang mungkin tidak mencipta sesuatu berita palsu, tetapi tanpa sedar membantu menyebarkannya. Ungkapan seperti “Saya hanya forward”, “Saya dapat daripada group lain” atau “Ramai orang dah kongsi” tidak menjadikan sesuatu maklumat itu benar.

Dalam hal ini, tanggungjawab terhadap maklumat tidak terhenti kepada penciptanya. Setiap individu yang menekan butang ‘kongsi’ menjadi sebahagian daripada perjalanan maklumat tersebut. Sebab itulah masyarakat perlu membudayakan amalan mudah tetapi penting: berhenti, baca, semak dan fikir sebelum berkongsi. Tidak semua perkara yang diterima perlu disebarkan dan tidak semua isu memerlukan komen daripada kita.

Allah SWT turut mengingatkan dalam Surah al-Isra’ ayat 36 agar manusia tidak mengikuti sesuatu yang tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Peringatan tersebut mengajar bahawa seseorang tidak perlu mengetahui atau mengulas segala perkara. Dalam sesetengah keadaan, keberanian sebenar bukanlah menjadi orang pertama memberikan pendapat, tetapi mempunyai kebijaksanaan untuk berkata, “Saya belum mengetahui perkara sebenar.”

Jika dahulu manusia diingatkan supaya menjaga lidah, dunia hari ini menuntut kita turut menjaga jari. Kata-kata bukan sahaja diucapkan tetapi ditaip, dihantar, dikongsi dan disimpan dalam ruang digital. Satu hantaran mungkin hanya mengambil masa beberapa saat untuk ditulis, tetapi kesannya terhadap maruah seseorang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dipulihkan. Justeru, kebebasan bersuara perlu berjalan seiring dengan tanggungjawab terhadap apa yang disuarakan.

Kemuncak mesej ‘Fitnah Akhir Zaman’ memberikan peringatan bahawa kesan daripada satu perbuatan yang dianggap kecil boleh berkembang sehingga membawa kerosakan yang jauh lebih besar. Peribahasa ‘kerana setitik nila’ menggambarkan bagaimana tindakan segelintir manusia boleh memberikan kesan kepada kelompok yang lebih luas. Dalam konteks masyarakat, fitnah bukan sekadar persoalan antara dua individu. Apabila ia dibiarkan berleluasa, fitnah boleh merosakkan kepercayaan, memutuskan hubungan, mencetuskan permusuhan dan akhirnya melemahkan keharmonian masyarakat.

Lebih besar lagi, apabila budaya mempercayai sesuatu tanpa bukti dan menyebarkannya tanpa semakan menjadi kebiasaan, sebuah masyarakat boleh kehilangan asas kepercayaan. Manusia mula curiga antara satu sama lain. Fakta tidak lagi menjadi ukuran, sebaliknya persepsi dan emosi menentukan apa yang mahu dipercayai. Jika keadaan ini berterusan, kerosakannya bukan sahaja menimpa individu, tetapi boleh memberikan kesan terhadap institusi, masyarakat dan negara.

Dalam konteks universiti, mesej ini mempunyai kepentingan yang sangat besar. Universiti ialah medan pembentukan insan berilmu dan berintegriti. Warga universiti, khususnya mahasiswa, bukan sahaja perlu cemerlang dari sudut akademik, tetapi mesti mempunyai keupayaan menilai maklumat secara kritis, menyemak sumber, menghormati bukti dan menjaga etika ketika berkomunikasi. Pendidikan tinggi seharusnya melahirkan individu yang tidak mudah dipengaruhi oleh khabar angin, tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan dan tidak menggunakan ilmu atau teknologi untuk merosakkan orang lain.

Sebagai warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), budaya ilmu, integriti dan tanggungjawab perlu terus menjadi benteng dalam menghadapi cabaran dunia digital. Kemahiran menggunakan teknologi perlu berjalan seiring dengan kematangan berfikir. Lebih tinggi ilmu seseorang, seharusnya lebih berhati-hati dirinya ketika menerima dan menyampaikan sesuatu maklumat.

Pada akhirnya, ‘Fitnah Akhir Zaman’ bukan sekadar berbicara tentang tanda-tanda sebuah zaman. Karya ini sebenarnya membawa kita kembali melihat diri sendiri. Ketika menerima sesuatu berita, adakah kita menyemaknya? Ketika mendengar keburukan seseorang, adakah kita terus mempercayainya? Ketika melihat sesuatu yang sensasi, adakah kita terus menyebarkannya? Dan ketika mempunyai peluang mendapatkan perhatian melalui cerita orang lain, adakah kita masih mampu memilih kebenaran berbanding populariti?

Fitnah mungkin bermula daripada satu kata, tetapi kesannya boleh melangkaui seorang manusia. Ia boleh merosakkan keluarga, persahabatan, organisasi, masyarakat dan akhirnya sebuah bangsa. Oleh itu, dalam zaman ketika maklumat berada di hujung jari, setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan jari tersebut tidak menjadi penyambung kepada pendustaan.

Dalam dunia yang terlalu mudah mencipta cerita, jadilah manusia yang mencari kebenaran. Dalam dunia yang terlalu pantas menyebarkan berita, jadilah manusia yang memilih untuk menyemak. Dan dalam dunia yang semakin mudah menghukum, jadilah manusia yang masih mempunyai ilmu, pertimbangan dan ihsan.

Kerana akhirnya, persoalannya bukan sekadar siapa yang mencipta fitnah, tetapi adakah kita turut menjadi sebahagian daripada mereka yang menyebarkannya?.

Penulis ialah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rosjuliana Hidayu Rosli

Oleh: Rosjuliana Hidayu Rosli
E-mel: rosjuliana@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri