Gangguan Emosi Pengaruhi Prestasi Pekerja
Tidak dinafikan pekerja adalah aset sesebuah negara, institusi atau organisasi. Tanpa pekerja, negara sukar untuk dibangunkan. Manakala sesuatu orgnisasi juga tidak dapat beroperasi dengan cemerlang dan gemilang. Jadi, pekerja adalah aset negara yang tidak boleh dipandang enteng walaupun pada dasarnya orang melihat organisasi sebagai jentera yang menggerakkan pembangunan negara.
Pekerja juga adalah agen yang boleh merubah sesuatu organisasi itu menjadi maju atau mundur. Dalam hal ini, majikan atau ketua memainkan peranan penting bagi memastikan pekerja mereka sentiasa bersemangat untuk bekerja bagi menaikkan nama syarikat atau organisasi.
Secara sedar atau tidak, tugas seorang pekerja untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang dipikul terhalang atau terbantut disebabkan oleh beberapa faktor yang akhirnya memberi kesan emosi kepada pekerja. Emosi ini jika tidak dikawal dan dikurangkan boleh memberi kesan yang berpanjangan kepada pekerja. Justeru, dapat dilihat pekerja tidak mampu mencapai KPI yang ditentukan oleh jabatan, hasil kerja yang tidak memenuhi standard, kualiti dan kuantiti yang ditetapkan, kerja bertangguh, kerja tidak siap dan akhirnya organisasi kehilangan pekerja yang berkualiti.
Antara perkara yang boleh memberi kesan kepada emosi pekerja adalah penyakit. Sesetengah pekerja menghidapi pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, masalah jantung, anemia dan beberapa penyakit lagi yang sememangnya akan memberi kesan emosi kepada pekerja. Pekerja yang berpenyakit akan merasa tidak sihat untuk menjalankan tugas dan ini akan mengurangkan tumpuan semasa bekerja, merasa lemah dan tidak berdaya melaksanakan tanggungjawab. Gangguan emosi akan berlaku bila mereka akan merasakan diri mereka individu yang tidak produktif dan tidak mampu menyumbang kepada organisasi berbanding pekerja yang sihat. Mereka juga akan merasa tersisih dan disisihkan.
Selain dari itu, ada juga dalam kalangan para pekerja yang menghadapi masalah keluarga dan rumahtangga. Pekerja yang menghadapi masalah keluarga juga tidak terkecuali mengalami masalah emosi di tempat kerja. Adalah menjadi perkara biasa terkadang masalah di rumah terbawa-bawa hingga ke pejabat. Contohnya, seorang pekerja yang mempunyai anak bermasalah, ibu bapa yang bermasalah, suami atau isteri yang bermasalah, masalah ini akan membuatkan pekerja teringat-ingat akan masalahnya, berasa tidak bahagia seperti orang lain serta asyik memikirkan bila masalah ini akan selesai di tempat kerja. Sebenarnya, pekerja yang tiada masalah keluarga akan menjadi pekerja yang cemerlang di tempat kerja. Ini kerana keluarga yang bahagia akan memberi semangat untuk pekerja bekerja lebih keras agar pekerjaan itu membahagiakan dirinya dan keluarganya.
Seterusnya, setiap orang pasti mempunyai masalah yang tersendiri dan salah satunya adalah masalah peribadi. Masalah peribadi jika ia terlalu berat dan tidak mampu ditanggung, pekerja haruslah berjumpa dengan kaunselor. Masalah peribadi selalunya melibatkan seorang individu dengan individu yang lain. Contohnya, seorang pekerja yang mempunyai masalah putus cinta, krisis dengan pasangan dan sebagainya. Masalah ini biasanya akan menjadikan seorang pekerja itu buntu, tiada arah tuju, malas untuk mengurus dirinya, banyak berfikir, overthinking dan serabut. Pekerja akan lebih banyak termenung dan berfikir serta tidak mampu untuk fokus kepada kerja.
Mungkin rakan sekerja juga menyumbang kepada gangguan emosi seseorang pekerja. Ada sesetengah keadaan di mana rakan sekerja menjatuhkan air muka, memalukan rakan, menyindir rakan dan memperlekehkan rakan. Keadaan ini juga akan menjadikan seseorang pekerja itu merasa rendah diri, tidak mahu meningkatkan prestasi diri, merasa diri terasing, disisihkan rakan dan tidak mahu bekerjasama dalam melaksanakan tugas. Pekerja sebegini selalunya lebih suka menjadi ‘lone ranger’ dan ini tidak sesuai kerana organisasi memerlukan semangat kerja berpasukan.
Ada juga berlaku apabila ketua memberi gangguan emosi kepada pekerja. Ia biasanya berlaku apabila ketua melakukan perbuatan pilih kasih antara staf dan memandang rendah akan kebolehan stafnya. Dalam hal ini, pekerja yang menjadi sasaran ketua seperti ini mereka akan sentiasa tidak aktif dengan menunjukkan sikap malas untuk menyuarakan pendapat, sentiasa di belakang tabir, sentiasa bersetuju tanpa sebab, menjadi “pak turut” dan tidak ada inisiatif untuk memajukan diri.
Masalah yang agak besar yang melanda masyarakat dewasa kini adalah masalah kewangan. Kenaikan kos taraf hidup dan serba-serbi memerlukan duit memberi kesan emosi yang sangat mendalam kepada para pekerja hari ini. Apatah lagi pekerja yang mempunyai komitmen yang tinggi sudah pastinya ini sangat membebankan khususnya dari segi emosi apabila pekerja asyik berfikir tentang cara untuk menguruskan hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Mungkin ada antara pekerja yang terpaksa melakukan kerja lebih masa demi mendapatkan pendapatan tambahan. Kekurangan rehat dan tidur juga secara tidak lanagsung memberi kesan kepada kualiti dan kuantiti di tempat kerja.
Tidak dinafikan, terkadang kerja itu sendiri juga boleh memberi masalah dan gangguan emosi kepada seseorang pekerja. Ini memandangkan ada pekerjaan yang meletakkan KPI yang tinggi yang perlu dicapai oleh setiap pekerja. Jika tidak berjaya mencapai KPI yang ditetapkan, maka pekerja itu mungkin akan dianggap tidak menyumbang atau gagal menyumbang kepada organisasi. Paling ditakuti oleh pekerja adalah apabila mereka diperlukan memberi tunjuk sebab kenapa tidak mampu capai KPI. Walaupun KPI adalah hal yang baik untuk organisasi, tetapi bagi sesetengah pekerja isu ini menganggu emosi mereka iaitu ketakutan bahawa mereka tidak mampu untuk membantu jabatan mencapai KPI yang ditetapkan.
Ternyata, gangguan emosi pekerja adalah perkara yang perlu diberi perhatian yang serius oleh setiap majikan. Majikan perlu dari semasa ke semasa membuat semakan dan mengadakan perbincangan yang lebih kerap dengan pekerja bagi mengetahui permasalahan dan cabaran yang dihadapi oleh pekerjanya. Apa yang dibincangkan di atas adalah sebahagian daripada masalah atau perkara yang boleh menganggu emosi pekerja. Menjaga emosi adalah sangat penting bagi memastikan pekerja sentiasa bersemangat dan mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kerana pepatah ada mengatakan “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Itulah letaknya emosi dalam diri manusia.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: hasnah@ump.edu.my
- 1415 views