Gangguan Seksual
Apa itu gangguan seksual?
Gangguan seksual merujuk kepada sebarang perlakuan berunsur seksual yang tidak diingini sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal, atas sebab yang munasabah setelah mengambil kira segala hal keadaan akan menyebabkan seseorang yang waras berasa tersinggung, terhina atau terugut. Gangguan seksual ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja sama ada berlainan atau sesama jantina.
Kategori gangguan seksual
a. Gangguan secara fizikal: mendekati orang lain dalam jarak yang terlalu dekat sehingga orang tersebut berasa kurang selesa, memegang, memeluk, menepuk, menggosok, mencubit, mencium, menjilat, atau meraba.
b. Gangguan secara lisan: penggunaan bahasa lucah melalui perbualan, bercerita, berjenaka, membuat bunyi-bunyian, memberi kritikan, komen, pujian atau mengajukan soalan secara seksual ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku, tubuh badan atau aktiviti seksual.
c. Gangguan secara isyarat: sikap atau perlakuan yang memberi maksud atau gambaran keinginan yang berunsurkan seksual seperti menjeling, menggoda, merenung, mengintai, menjilat bibir atau menggunakan bahasa isyarat lain.
d. Gangguan secara visual: menghantar nota, surat, e-mel, short messaging system (SMS), Multimedia Messaging System (MMS), gambar (foto), poster, objek atau bahan bacaan yang berunsur seksual yang diedarkan menerusi media elektronik, blog, vlog atau platfom media sosial seperti facebook, WhatsApp, twitter atau apa-apa aplikasi.
e. Gangguan secara psikologi: perbuatan cuba merapati secara seksual, mendorong, mendesak, mengugut atau memujuk rayu bagi memenuhi keinginan seksual.
Tindakan yang boleh diambil oleh mangsa
Sekiranya ada dalam kalangan staf UMP yang mengalami situasi-situasi di atas, maka staf tersebut bolehlah merujuk atau membuat aduan kepada:
a. Unit Integriti (UI) UMP atau membuat laporan polis;
b. atau sekiranya tidak pasti sama ada ia adalah gangguan seksual, staf boleh menghubungi Pegawai Psikologi/Kaunselor, atau mana-mana agensi-agensi yang mengendalikan isu-isu gangguan seksual untuk khidmat nasihat selanjutnya.
c. Adalah lebih kukuh jika aduan tersebut disertakan dengan bukti-bukti seperti sebarang catatan atau rekod kejadian (tarikh, tempat, masa dan sebagainya); jika ada apa-apa nota, surat, e-mel, SMS, MMS, gambar, poster, objek atau bahan bacaan atau visual yang berunsur seksual yang telah diedarkan menerusi media elektronik, blog, vlog, atau platfom media sosial seperti WhatsApp, Twitter atau apa-apa aplikasi.
d. Mangsa juga boleh memaklumkan kejadian kepada pihak ketiga, sekiranya perlu dan mengenal pasti orang lain yang melihat kejadian yang berlaku atau orang pertama yang diceritakan oleh pengadu agar orang berkenaan boleh diminta untuk memberi keterangan apabila diperlukan.
Apa yang boleh dilakukan untuk mengelakkan daripada berlakunya gangguan seksual seperti di atas?
a. Kita harus berinteraksi dengan menggunakan bahasa yang bersesuaian dan mengelakkan daripada menggunakan bahasa lucah atau tidak sopan.
b. Kita hendaklah menghormati rakan sejawat dan kakitangan seliaan serta berinteraksi secara profesional. Elakkan memujuk rayu rakan sejawat atau kakitangan bawahan secara berterusan untuk keluar bersama atau menggunakan ugutan sekiranya permintaan tidak dilayan.
c. Seboleh-bolehnya kita hanya berurusan dalam jarak yang sesuai supaya tidak berlaku sentuhan. Elakkan sebarang sentuhan yang tidak diingini atau menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium ataupun melakukan serangan seksual.
d. Kita seharusnya menghormati rakan sejawat dan kakitangan seliaan serta hanya berinteraksi secara profesional. Elakkan daripada memberikan pandangan atau kerlingan yang membayangkan keinginan, menjilat bibir atau memegang atau memakan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat (body language) yang membayangkan perlakuan seksual/mengurat.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mewujudkan satu persekitaran kerja yang aman dan profesional.
Penulis ialah Ketua Unit Integriti dan Pematuhan, Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Disediakan Oleh: Noriza Hassan
e-mel: noriza@ump.edu.my
- 16638 views