GIGvaganza ke Mersing
‘Get into Grammar’ Vaganza atau lebih dikenali sebagai GIGvaganza merupakan salah satu program yang tidak asing lagi di Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang (UMP). Ia telah melangkah setapak lagi apabila UMP Advanced (UMPA) memohon program GIGvaganza ini diteruskan di Mersing, Johor di bawah Program Yayasan PETRONAS empower ECER. Program sehari itu berjaya dianjurkan pada 6 Disember 2022 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Anjung Batu, Mersing, Johor.
Menyingkap sejarah GIGvaganza yang pada asalnya merupakan salah satu penilaian yang digunakan bagi pelajar diploma pada tahun 2011 di UMP dan kemudiannya diperkembangkan pengisiannya kepada beberapa Sekolah Kluster di daerah Kuantan menerusi anjuran unit Sekolah Kluster di UMP pada 2013. Ia kemudiannya digunakan sebagai salah satu modul Empower ECER di Kuantan, Pekan dan Bera pada tahun 2014.
GIGvaganza mula menyertai pertandingan di luar UMP bagi mendapatkan pandangan daripada pihak luar khususnya para akademik dan cendekiawan. Pada tahun 2015, GIGvaganza telah menyertai Creative Teacher Showcase anjuran Malaysia English Language Teaching Association (MELTA), salah satu badan bukan kerajaan bagi guru-guru di Malaysia.
GIGvaganza juga pernah memenangi pingat perak dalam pertandingan K-Novasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2017 dan pingat emas dalam CINTELL 2018. Malah, bukan itu sahaja, program GIGvaganza turut dibentangkan sebagai tajuk syarahan jemputan di Nagoya Institute of Technology di Nagoya, Jepun di Persidangan Antarabangsa JACET Ke-58 pada tahun 2019. Program ini terhenti pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19. Namun, pada tahun 2022, ia telah dicadangkan sebagai salah satu modul UMPA yang akan digunakan di Mersing.
Sebanyak tujuh buah sekolah dari Johor turut menyertai program ini, antaranya adalah SMK Tan Sri Abdul Kadir, SMK Pai Chee, SMK Ungku Husin, SMK FELDA Tenggaroh, SMK Mersing, SMK Anjung Batu dan SMK Nitar yang melibatkan seramai 220 orang peserta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
PBM telah melantik seramai lima orang tenaga pengajar iaitu Hajah Noor Azlinda Zainal Abidin, Nor Suhardiliana Sahar, Shamsul Harbi, Farah Liyana Ahmad Azmey dan Nur Sabrina Zafiran Mohd Jamil untuk membantu dalam menguruskan program ini. Terdapat beberapa perubahan dari segi pendekatan dan struktur permainan GIGvaganza telah dirangka serta diolah bagi menyesuaikannya dengan keperluan peserta.
Reka bentuk asal program ini adalah bertujuan untuk membangunkan kreativiti pelajar, semangat bekerja berpasukan dan penyelesaian masalah di samping mengukuhkan lagi pemahaman tatabahasa melalui penyertaan dalam permainan tatabahasa. Objektif pembelajaran yang menyeronokkan telah direka untuk membolehkan para pelajar menjadi pemikir yang kritis dan kreatif, menyelesaikan masalah dalam tempoh yang singkat bagi menyediakan mereka sebagai pelajar abad ke-21.
Kaedah Flipped Learning turut diperkenalkan bagi memastikan pelajar tingkatan lima ini dilengkapi dengan pengetahuan tatabahasa dan menyediakan satu ruang mengulang kaji semula apa yang telah dipelajari sebelum ini. Para pelajar dikehendaki menonton video mengenai item tatabahasa yang akan diuji melalui permainan itu. Bukan itu sahaja, malah pelajar juga diminta untuk membentangkan pemahaman mereka tentang input yang diperoleh semasa sesi pembelajaran Flipped Learning dalam bentuk Doodle. Sangat membanggakan apabila mereka berjaya menyampaikan idea dengan cara yang sangat kreatif selain dari menunjukkan pemahaman yang baik tentang item tatabahasa yang diberikan kepada mereka. Tahniah buat mereka!
GIGvaganza bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar di Mersing tetapi juga kepada seramai 24 fasilitator UMP yang menawarkan diri untuk membantu lima orang tenaga pengajar UMP. Beberapa pelajar diploma telah disaring dalam sesi temu duga yang dikendalikan oleh Language Support Unit, sebuah unit eksekutif yang membantu para pelajar dalam bahasa dengan memastikan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar bertambah baik dan dirujuk sebagai unit sokongan bahasa. Para fasilitator ini juga telah menghadiri bengkel Training of The Trainer sebelum sesi bertemu dengan lima orang tenaga pengajar tersebut. Sukarelawan ini membantu dalam membina permainan tatabahasa untuk acara tersebut. Setiap tenaga pengajar telah ditugaskan bagi membantu empat fasilitator di bawah jagaan mereka dan berfungsi sebagai penasihat yang melalui proses pembinaan permainan. Fasilitator yang dilantik sangat membantu dan telah mendapat banyak pengalaman sepanjang program.
Secara keseluruhannya, ia merupakan pengalaman yang sangat berharga dalam melaksanakan program tersebut. Kerjasama semua dari tenaga pengajar UMP, fasilitator UMP, staf UMP Advanced dan 220 peserta Yayasan PETRONAS empower ECER sememangnya telah menjayakan program tersebut. Perjalanan ke Mersing bagi pengalaman dua hari satu malam pastinya akan dihargai. Sudah pasti pengalaman mendewasakan kita. Setiap detik dan saat dalam menyediakan permainan, bekerja bersama telah menjadikan GIGvaganza Mersing satu kejayaan! Ucapan penghargaan kepada Yayasan PETRONAS empower ECER kerana sudi menerima modul GIGvaganza dan juga UMP Advanced yang sentiasa yakin dalam memberi amanah kepada pasukan GIGvaganza. Semoga para peserta dapat menimba pengalaman selain dari menyertai program ini. Kami pastinya menantikan lebih banyak pengembaraan dan peluang bagi menjayakan program GIGvaganza pada tahun 2023 dan seterusnya.
Penulis ialah guru bahasa di Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: azlinda@ump.edu.my
- 135 views