Skip to main content

Hijrah dan Budaya Kerja Positif di Universiti: Dari Transformasi Minda kepada Perubahan Tingkah Laku

Melangkah kembali ke bulan Muharam, mengajak kita merenungi satu perkara penting berkaitan hijrah. Umumnya, apabila berbicara tentang hijrah, ramai yang mengaitkannya dengan perubahan peribadi dalam aspek ibadah dan penampilan semata. Namun, dalam perspektif Islam, hijrah adalah suatu proses transformasi yang menyeluruh meliputi cara berfikir (mindset), kefahaman (worldview), sikap (attitude) dan akhirnya tingkah laku (behaviour). Proses ini sangat relevan dalam membina budaya kerja yang cemerlang, khususnya dalam persekitaran akademik universiti yang menuntut integriti, profesionalisme dan kecemerlangan ilmu.

Firman Allah SWT,

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا۟ مَا بِأَنفُسِهِم
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."
(Surah al-Ra'd: 11)

Ayat ini menjelaskan bahawa perubahan organisasi sebenarnya bermula dengan perubahan individu. Dalam konteks sebuah universiti, budaya kerja yang positif bukanlah semata-mata lahir melalui polisi atau arahan, tetapi lahir daripada warga kerja yang berhijrah daripada cara berfikir yang negatif kepada pemikiran yang lebih matang, amanah dan berorientasikan ihsan.

Perubahan tingkah laku bukanlah satu perkara yang mudah apatah lagi sekiranya hasil yang diinginkan ialah perubahan yang berkekalan, maka ia perlu didahului oleh perubahan pemikiran. Islam telah mengajarkan prinsip ini lebih awal melalui konsep tazkiyah al-nafs dan pembinaan akhlak. Kajian dalam pendidikan Islam menjelaskan bahawa akhlak dan karakter manusia terbentuk daripada nilai, kefahaman dan orientasi dalaman yang akhirnya diterjemahkan melalui tindakan. 

Dalam konteks budaya kerja di universiti, hijrah minda boleh berlaku apabila seseorang berubah daripada:

•    “Ini bukan tugas saya” kepada “Bagaimana saya boleh membantu?”
•    “Saya bekerja kerana arahan” kepada “Saya bekerja kerana amanah”
•    “Cukup sekadar memenuhi KPI atau SKU" kepada “Saya ingin menyumbang nilai”
•    “Mencari kesalahan” kepada “Mencari penyelesaian”

Perubahan ini kelihatan kecil tetapi memberi impak besar terhadap budaya organisasi.

Seseorang yang memahami bahawa pekerjaannya adalah ibadah akan melihat setiap tugasan sebagai peluang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Maka, budaya kerja tidak lagi berasaskan pengawasan manusia semata-mata, tetapi berasaskan kesedaran bahawa Allah SWT sentiasa melihat segala usaha dan amanah yang dipikul. Sesuai dengan konsep Ihsan sepertimana dalam sebuah hadith:

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رضي الله عنه قَال: 
قَالَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام:
"فَأَخْبِرْنِي عَنِ الإِحْسَانِ؟"
قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ:
"أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاك"
(رواه مسلم)

Daripada Umar bin al-Khattab r.a., Jibril a.s. bertanya kepada Rasulullah SAW, “Beritahulah aku tentang ihsan.”

Baginda SAW menjawab,

“Ihsan ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini sangat signifikan untuk diterapkan dalam budaya kerja akademik. Jika dikaitkan dengan tugas seorang pensyarah, pendidik, penyelidik atau staf universiti, ihsan bermaksud:

•    Mengajar dengan penuh persediaan walaupun tiada siapa yang memantau.
•    Menyemak tesis dan tugasan pelajar dengan teliti walaupun mengambil masa yang panjang.
•    Menjalankan penyelidikan dengan jujur tanpa memanipulasi data.
•    Mengurus kewangan, aset dan amanah universiti dengan penuh integriti.
•    Melayani pelajar dan rakan sekerja dengan hormat dan profesional.

Atau dengan kata lain, ihsan mengubah pekerjaan daripada sekadar rutin kepada ibadah.  Ihsan berupaya mengubah budaya kerja daripada sekadar mencapai KPI kepada menghasilkan impak (impact) yang bermakna kepada pelajar, universiti dan masyarakat.

Saidina Abu Bakar r.a. selepas dilantik menjadi khalifah masih meneruskan kebiasaan membantu seorang wanita tua yang buta di Madinah. Beliau membersihkan rumah dan menyediakan keperluannya tanpa memberitahu identitinya.

Selepas kewafatan Abu Bakar r.a., Umar r.a. cuba meneruskan amalan itu. Ketika itulah beliau menyedari bahawa orang yang selama ini membantu wanita tersebut ialah Abu Bakr r.a.

Kisah ini sangat menyentuh hati kerana Abu Bakr r.a. melakukan kebaikan tanpa mencari penghargaan manusia, dan ia hanya disedari selepas pemergiannya. Inilah ihsan, apabila seseorang bekerja hanya kerana Allah SWT, bukan meraih pujian makhluk.

Dalam konteks universiti, ada staf yang kerjanya jarang dipuji tetapi banyak memudahkan urusan orang lain. Ada pensyarah yang bersungguh-sungguh membimbing pelajar walaupun tidak direkodkan dalam KPI. Dan, ada penyelidik yang membantu rakan menghasilkan penerbitan tanpa mengharapkan nama.

Inilah budaya ihsan yang menjadi asas organisasi cemerlang.

Dalam Islam, tindakan sering kali merupakan hasil daripada kefahaman yang mendalam.  Sebelum Islam, Umar r.a. terkenal sebagai seorang yang tegas dan keras. Namun setelah menerima hidayah, sifat tegas itu tidak hilang, sebaliknya ditransformasikan menjadi keadilan, integriti dan amanah.

Antara kisah yang masyhur ialah beliau sering meronda pada waktu malam untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara. Suatu malam, Umar r.a. keluar bersama Aslam untuk meninjau keadaan rakyat. Dari jauh mereka melihat unggun api dan mendapati seorang wanita sedang memasak sesuatu sementara anak-anaknya menangis kerana lapar.

Umar r.a. bertanya kepada wanita itu tentang keadaannya. Wanita tersebut menjelaskan bahawa anak-anaknya kelaparan. Di dalam periuk hanya terdapat air dan batu-batu kecil yang direbus untuk menenangkan anak-anaknya sementara menunggu mereka tertidur.

Wanita itu juga mengadu:

“Allah akan mengadili antara kami dengan Umar.”

Apabila mendengar kata-kata itu, Umar r.a. segera kembali ke Baitul Mal dan mengambil sendiri seguni gandum, sedikit minyak dan beberapa keperluan makanan.

Ketika itu Aslam berkata, “Wahai Amirul Mukminin, biarlah aku yang memikulnya.”

Lalu Umar r.a. menjawab dengan kata-kata yang sangat masyhur,

أتحمل عني وزري يوم القيامة؟
“Adakah engkau sanggup memikul dosaku pada hari kiamat?”

Maka Umar RA sendiri memikul guni tersebut di belakangnya sehingga sampai ke rumah wanita itu. Beliau memasak makanan untuk mereka dan menunggu sehingga melihat sendiri anak-anak itu makan dan kembali ceria.

Kata-kata beliau yang sangat relevan dengan budaya kerja.

‘Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab.’ Beliau tidak melihat kepimpinan sebagai kedudukan, tetapi sebagai amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

Jika seseorang memahami bahawa ilmu adalah amanah, maka dia pasti menghormati integriti akademik. Jika dia memahami bahawa pelajar ialah amanah ummah, maka dia akan menjalankan tugas pengajaran dengan penuh tanggungjawab.

Hijrah dan Budaya Kerja Positif di Universiti

Jelasnya, Hijrah bukan sekadar berpindah tempat, tetapi berpindah cara berfikir. Hijrah yang sebenar bermula apabila kita mengubah mindset, memperbetulkan kefahaman, memurnikan sikap, dan akhirnya memperindah tingkah laku. Apabila perubahan ini berlaku dalam diri setiap warga universiti, maka akan lahirlah budaya kerja yang positif, berintegriti dan berteraskan ihsan.

Inilah hakikat hijrah yang diajar oleh Islam, ia bukan sekadar berubah untuk menjadi lebih berjaya, tetapi berubah untuk menjadi insan yang lebih bernilai di sisi Allah dan lebih bermanfaat kepada manusia.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Mardhiyyah Zamani

Oleh: Mardhiyyah Zamani 
E-mel: mardhiyyah@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri