Inflasi Hijau dan Kos Peralihan Tenaga: Siapa Yang Membayar Bil Sebenar untuk Ekonomi Karbon Sifar?
Di tengah-tengah keghairahan global untuk mencapai aspirasi ekonomi karbon sifar, naratif pembangunan mampan sering kali diwarnai dengan janji-janji masa depan yang bersih dan hijau. Malaysia, tidak terkecuali, telah melangkah gagah dengan pengenalan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan komitmen antarabangsa di bawah Perjanjian Paris, menandakan satu anjakan paradigma yang monumental daripada sistem tenaga berasaskan fosil kepada sumber boleh diperbaharui. Namun, di sebalik retorik politik dan teknikal ini, wujud satu realiti ekonomi yang semakin menekan dan tidak boleh diabaikan iaitu fenomena inflasi hijau atau greenflation. Ini merujuk kepada lonjakan harga barangan, perkhidmatan, dan aset yang didorong secara langsung oleh permintaan mendadak terhadap teknologi rendah karbon, kenaikan kos logam nadir bumi, serta premium yang dikenakan ke atas pembiayaan mampan. Tatkala negara berlumba-lumba mengejar sasaran pembebasan gas rumah hijau, satu persoalan moral dan ekonomi yang mendesak mula timbul: Siapakah entiti yang sebenarnya menanggung beban kewangan bagi peralihan gergasi ini, dan sejauh manakah kita bersedia membenarkan kos ini memperdalam jurang ketaksamaan yang sedia ada dalam masyarakat?
Peralihan menuju karbon sifar, walaupun kritikal untuk kelangsungan planet, secara tidak sengaja telah menjana masalah distribusi kekayaan yang kompleks. Isu paling ketara adalah sifat kos peralihan yang cenderung regresif. Sama ada melalui mekanisme cukai karbon, kenaikan tarif elektrik, atau harga premium kenderaan elektrik (EV), impaknya tidak dirasai secara sama rata. Golongan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, yang secara tradisinya membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan boleh guna mereka untuk keperluan asas tenaga dan pengangkutan, terpaksa menanggung beban kos relatif yang jauh lebih tinggi berbanding golongan kaya. Ini menciptakan satu paradoks yang menyedihkan di mana golongan yang paling kurang menyumbang kepada pelepasan karbon sejarah akhirnya membayar harga paling tinggi untuk memulihkannya.
Lebih membimbangkan, wujud risiko terciptanya perangkap ‘kemampanan untuk yang berkemampuan’. Teknologi hijau seperti pemasangan panel solar di bumbung kediaman, pemilikan kenderaan elektrik, dan pengubahsuaian rumah untuk kecekapan tenaga memerlukan pelaburan modal awal yang signifikan. Akibatnya, faedah jangka panjang peralihan seperti penjimatan bil tenaga dan perlindungan daripada turun naik harga bahan api fosil hanya dapat dinikmati oleh segmen masyarakat elit yang memiliki kecairan kewangan. Sementara itu, rakyat marhaen yang tidak mampu melakukan pelaburan awal ini terperangkap dalam sistem lama yang semakin mahal, terus membayar tarif tenaga yang meningkat tanpa jalan keluar. Situasi ini bukan sahaja melebarkan jurang ekonomi tetapi juga berpotensi mencetuskan benih-benih ketidakpuasan sosial apabila gaya hidup ‘hijau’ menjadi simbol status kelas atasan, manakala beban ‘hijau’ dipikul oleh kelas pekerja.
Selain daripada tekanan kos sara hidup, penyahkarbonan ekonomi turut membawa ancaman kejutan struktur terhadap pasaran buruh. Pengurangan pergantungan kepada industri berasaskan fosil bermakna penutupan loji janakuasa dan perlombongan yang selama ini menjadi periuk nasi bagi ribuan pekerja berpendapatan sederhana. Walaupun naratif rasmi sering menjanjikan penciptaan ‘pekerjaan hijau’, realitinya tidak semudah memetik jari. Tiada jaminan bahawa pekerjaan baharu ini akan muncul di lokasi yang sama dengan pekerjaan yang hilang, atau memerlukan set kemahiran yang setara, malah tidak tentu ia menawarkan jaminan sosial yang sama kukuhnya. Tanpa intervensi yang teliti, kita berisiko melahirkan golongan "miskin baharu" yang tercicir akibat pergeseran industri, sekali gus merobek fabrik sosial komuniti yang bergantung kepada sektor tradisional. Tambahan pula, ketatnya kos karbon domestik tanpa mekanisme pelarasan sempadan boleh mendorong kebocoran karbon, industri beralih ke negara dengan undang-undang alam sekitar yang longgar, merugikan daya saing tempatan tanpa memberi manfaat bersih kepada iklim global.
Punca utama kepada dilema ini adalah kegagalan sistemik dalam mengintegrasikan prinsip keadilan peralihan atau just transition ke dalam reka bentuk dasar iklim sejak awal. Dasar sering dirangka dengan obsesi tunggal terhadap metrik pengurangan karbon, mengabaikan analisis impak sosioekonomi yang mendalam. Akibatnya, kos sosial dipindahkan secara tidak sedar kepada pengguna dan pekerja. Kesan jangka panjang pengabaian ini amat berbahaya malah ia boleh melahirkan penentangan awam atau backlash terhadap agenda iklim, seperti yang dilihat dalam protes di beberapa negara maju, yang akhirnya boleh menggagalkan momentum peralihan itu sendiri.
Justeru, untuk menjamin peralihan yang bukan sahaja hijau tetapi juga adil, rangka kerja dasar negara mesti dirombak untuk mengimbangi matlamat alam sekitar dengan keadilan sosioekonomi. Prinsip ‘Pencemar Membayar’ harus dilaksanakan seiring dengan prinsip ‘Pengagihan Semula’. Hasil daripada cukai karbon atau sistem perdagangan pelepasan tidak boleh sekadar diserap ke dalam perbendaharaan negara, tetapi mesti dipulangkan semula kepada rakyat secara telus. Dana ini wajar digunakan untuk membiayai rebat tenaga kepada golongan rentan, memperkasakan subsidi pengangkutan awam hijau, dan menyediakan geran bagi komuniti terjejas untuk menyertai ekonomi tenaga baharu.
Dalam konteks Malaysia, langkah praktikal perlu diambil dengan segera. Penubuhan Dana Keadilan Peralihan Negara adalah satu keperluan mendesak. Dana ini, yang boleh diperoleh daripada sebahagian hasil percukaian berkaitan karbon, harus difokuskan kepada inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada golongan B40 dan M40, seperti subsidi pemasangan sistem solar komuniti di projek perumahan awam atau program latihan vokasional hijau untuk belia. Selain itu, insentif hijau mesti bersifat progresif namun subsidi untuk EV misalnya, tidak wajar diberikan secara pukul rata kepada golongan maha kaya, sebaliknya perlu disasarkan atau distrukturkan semula untuk memberi kelebihan kepada kenderaan pengangkutan awam atau motosikal elektrik yang lebih meluas penggunaannya. Syarikat korporat yang menerima insentif hijau juga perlu diwajibkan mematuhi piawaian pelaporan sosial, membuktikan bahawa pelaburan mereka benar-benar mencipta pekerjaan berkualiti dan menyantuni komuniti setempat.
Kesimpulannya, perdebatan mengenai siapa yang membayar bil peralihan tenaga bukanlah sekadar isu teknikal perakaunan negara, tetapi ia adalah ujian litmus terhadap nilai kemanusiaan dan keadilan dalam masyarakat kita. Tanpa reka bentuk dasar yang meletakkan empati dan keadilan sebagai teras, Malaysia berisiko mencipta sebuah ekonomi hijau yang berdiri di atas landasan ketaksamaan yang rapuh. Matlamat akhir kita bukan sekadar mencapai angka sifar dalam pelepasan karbon, tetapi untuk memperbaharui kontrak sosial agar lebih inklusif, di mana kos penyelematan bumi ditanggung secara adil mengikut kemampuan, dan faedahnya dinikmati secara kolektif. Kejayaan sebenar peralihan tenaga tidak akan diukur semata-mata oleh pengurangan gigaton karbon di atmosfera, tetapi oleh kemampuan negara untuk melindungi dan mengangkat martabat rakyat yang paling rentan dalam mengharungi badai perubahan ini.

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 12 views
Reports by: