Skip to main content

Keadaan masyarakat Tanah Melayu semasa penjajahan British

Mengambil tahu tentang keadaan Tanah Melayu semasa penjajahan British adalah sangat penting bagi generasi baharu pada hari ini memahami sejarah kemerdekaan negara. Diharap maklumat ini akan mendidik generasi muda agar menghargai kemerdekaan dan mengetahui sejarah asal usul diri serta masyarakat. Jadikan peristiwa lampau sebagai pengajaran dan sempadan agar kemerdekaan yang dikecapi kini terus kekal sehingga ke anak cucu. Semoga penerangan ini akan menjadi asas untuk masyarakat hari ini terus berusaha mencapai kecemerlangan dan tunjukkan kita adalah bangsa yang boleh maju jika ada ilmu yang cukup, kesedaran, kemahuan dan peluang. 

Secara amnya, sebelum kedatangan British di Tanah Melayu, sudah wujud dua kawasan atau demografi yang utama iaitu kawasan pusat pentadbiran kerajaan dan kawasan tempat tinggal penduduk tempatan. Kawasan yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan menjadi tumpuan pentadbiran, pusat perdagangan, pusat perkembangan agama Islam dan sebagainya. Jika mengambil kerajaan Melayu sebagai contoh, pusat pentadbiran kerajaan pada waktu itu menjadi pusat tumpuan para pedagang dan disediakan dengan pelbagai kemudahan untuk para pedagang. Antaranya ialah gudang penyimpanan barangan, tempat tinggal dan lain-lain lagi. Kawasan yang menjadi tempat tinggal penduduk tempatan pada masa itu ialah di kawasan pedalaman, kawasan di pinggir-pinggir sungai dan kampung-kampung. Di seluruh Tanah Melayu pada peringkat awal, telah lahir beberapa penempatan di tebing-tebing sungai dan kawasan pedalaman. Perkampungan ini wujud di tebing-tebing sungai kerana ia memudahkan sistem pengangkutan dan perhubungan. Mereka menjalankan kegiatan pertanian, perikanan, dan pungutan hasil-hasil hutan untuk kegunaan harian. Keadaan ini kekal hingga menjelang abad ke-19 apabila penempatan masyarakat Tanah Melayu masih lagi bertumpu di sepanjang sungai. 

Kedatangan British telah mewujudkan perbezaan pembangunan yang ketara di antara kawasan kampung dengan kawasan yang menjadi pusat tumpuan perkembangan ekonomi British. Pengenalan ekonomi perlombongan bijih timah dan perladangan getah telah mewujudkan jaringan sistem perhubungan jalan raya dan jalan kereta api bagi menghubungkan kawasan berkenaan dengan pelabuhan. 

Masyarakat Cina yang bekerja di lombong bijih timah Sumber: https://iluminasi.com/bm/kisah-migrasi-besar-besaran-
Masyarakat Cina yang bekerja di lombong bijih timah

Sumber: iluminasi.com/bm/kisah-migrasi-besar-besaran-

Apabila perlombongan bijih timah dan perladangan getah semakin berkembang, lebih banyak jalan raya dan jalan kereta api dibina bagi menghubungkan sebuah bandar dengan bandar yang lain dan juga menghubungkan kawasan perlombongan dengan pelabuhan. Keadaan ini secara tidak langsung telah mewujudkan bandar-bandar baru seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Taiping, Teluk Anson dan Seremban. Bandar-bandar ini juga telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran pihak British. Antara negeri-negeri yang menjadi tumpuan pembangunan ekonomi British pada masa itu ialah negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor iaitu negeri-negeri ini merupakan pusat perlombongan bijih timah dan perladangan yang moden. 

Berek buruh estet getah Sumber: Arkib Negara Malaysia
Berek buruh estet getah

Sumber: Arkib Negara Malaysia

Usaha British membawa masuk buruh-buruh dari China dan India untuk bekerja di lombong bijih timah dan ladang getah telah merancakkan lagi proses pembandaran apabila kebanyakan buruh-buruh Cina dan India mendiami kawasan bandar dan terlibat dalam sektor perniagaan. Secara amnya, kaum Cina menjadi penyumbang utama kepada proses pembandaran berbanding kaum India. Negeri-negeri yang menjadi tumpuan orang Cina ialah di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan memandangkan negeri itu menjadi tumpuan perlombongan bijih timah dan penanaman getah. Manakala kawasan pedalaman dan kampung-kampung yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan kepada British tidak dimajukan dan ia tetap kekal menjadi kawasan luar bandar yang tidak mempunyai apa-apa jaringan infrastruktur seperti jalan raya dan kereta api.

Ishak Haji Muhammad (atau Pak Sako) berpendapat, ketidakseimbangan kegiatan ekonomi yang wujud antara luar bandar dan bandar ini disebabkan oleh peranan British dan bangsa asing.  Kedatangan British dan pemodal asing telah menyebabkan masyarakat Melayu membawa diri dan menjadikan kawasan pedalaman yang jauh dari bandar sebagai tempat tinggal mereka. 

Kampung Melayu Johor Sumber: Arkib Negara Malaysia
Kampung Melayu Johor

Sumber: Arkib Negara Malaysia

Menurut Khoo Kay Kim, pengenalan ekonomi perdagangan serta kehidupan bandar pada masa itu merupakan perkara baharu bagi orang Melayu. Justeru, kebanyakan penghuni bandar pada masa itu terdiri dalam kalangan orang Cina dan India yang menjalankan kegiatan ekonomi dan perdagangan. Secara amnya, modenisasi dan pembandaran yang berlaku itu hanyalah sebahagian Semenanjung Tanah Melayu sahaja. Ciri-ciri kawasan luar bandar pada masa itu bergantung kepada populasi iaitu penduduknya terdiri daripada orang-orang Melayu. Walaupun telah berlaku pembangunan dan pembandaran, orang Melayu kebanyakannya masih tinggal di kawasan luar bandar.  

Cerita tentang kemunduran masyarakat Melayu begitu banyak diperkatakan dalam akhbar dan majalah Melayu sekitar 1900 hingga 1940an seperti akhbar Saudara, Majlis, Cenderamata, Majalah Guru, Panduan Guru, dan Neracha.  Dalam aspek pendidikan, Majalah Guru telah menyatakan bangsa Melayu pada masa itu hidup dalam kemiskinan dan kesannya ialah orang Melayu tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya. Memetik tulisan dalam Majalah Guru (1932), 
Setengah daripada sebab-sebab kerendahan bangsa kita Melayu pada sangkaan bangsa asing ialah kerana kemiskinan bangsa kita pada harta benda itulah yang menjadi halangan bangsa kita Melayu pada mencapai pelajaran yang tinggi. 

Bahkan, orang Melayu luar bandar juga turut mundur dalam sektor ekonomi terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Hal ini dinyatakan dalam akhbar Saudara (1937), 
Kemunduran kita bukan sahaja di dalam perkara-perkara harta benda atau kekayaan wang ringgit akan tetapi dalam serba-serbi perkara yang terjumlah pada syarat-syarat kemajuan yang sebenar iaitu pelajaran, pekerjaan atau pangkat martabat, perusahaan, pertukangan atau kerajinan, perniagaan dan perkebunan. 

Kemunduran orang Melayu luar bandar dalam bidang ekonomi ini juga turut dipaparkan dalam majalah Panduan Guru yang mengaitkan kemunduran orang Melayu luar bandar dalam sektor ekonomi disebabkan oleh sistem ekonomi yang bersifat sara diri, tradisional serta terlalu bergantung kepada satu kegiatan ekonomi sahaja iaitu sebagai petani. Orang Melayu juga menganggap pekerjaan selain daripada petani sebagai bukan pekerjaan mereka. Dalam hal ini, bagi mereka, apa yang diwariskan oleh nenek moyang itulah pekerjaan mereka. Justeru, dapat dilihat orang Melayu secara keseluruhannya tinggal di kampung-kampung menjalankan aktiviti pertanian seperti bercucuk-tanam, menanam padi, getah, ubi, keladi, buah-buahan serta menternak ayam, lembu, kambing dan sebagainya.

Antara penyebab utama kemunduran masyarakat di era penjajahan British adalah pemikiran tradisional (sukar untuk menerima perubahan), kekurangan infrastruktur kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas. 

Dr. Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 
E-mel    : hasnah@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News