Keadilan Bukan Kerja Matematik
Apabila ‘Sama Banyak’ Tidak Lagi Adil
Setiap kali kerajaan mengumumkan bantuan atau subsidi, akan muncul suara yang mempersoalkan mengapa ada pihak menerima lebih daripada orang lain. Ada yang marah apabila bantuan disasarkan kepada kelompok tertentu. Ada pula yang menganggap sesuatu dasar hanya adil jika semua orang mendapat jumlah yang sama.
Seimbas lalu, cara fikir sebegini tampak logik. Jika semua orang menerima perkara yang sama, maka tiada siapa boleh mendakwa wujud ketidakadilan. Namun, kehidupan manusia tidak bergerak mengikut formula matematik yang begitu mudah.
Bayangkan selepas banjir besar, semua keluarga mangsa diberikan bantuan RM500 secara pukul rata. Seorang warga emas yang tinggal bersendirian menerima jumlah yang sama dengan sebuah keluarga miskin yang kehilangan rumah dan mempunyai enam orang anak. Secara teknikal, bantuan itu memang ‘sama rata’. Tetapi adakah itu benar-benar adil?
Di sinilah masyarakat sering gagal membezakan antara sama rata dan keadilan sebenar.
Manusia Tidak Bermula dari Garisan yang Sama
Ramai suka bercakap tentang peluang yang sama tetapi hakikatnya manusia tidak pernah bermula dari tempat yang sama.
Ada yang membesar dalam keluarga stabil, mempunyai Internet pantas, ruang belajar yang selesa dan ibu bapa yang mampu menyediakan kelas tambahan. Ada pula yang terpaksa berkongsi telefon dengan adik-beradik lain hanya untuk mengikuti kelas dalam talian. Sesetengah pelajar pulang dari sekolah untuk belajar, manakala yang lain pulang untuk membantu ibu bapa mencari rezeki.
Apabila titik permulaan manusia sendiri sudah berbeza, memberikan layanan yang sama kepada semua belum tentu menghasilkan keadilan.
Justeru, konsep ‘sama rata’ dan ‘saksama’ tidak boleh disamakan.
Sama rata bermaksud semua orang menerima perkara yang sama tanpa mengambil kira keadaan mereka. Saksama pula mengambil kira cabaran dan keperluan seseorang supaya mereka mempunyai peluang yang lebih seimbang untuk berjaya.
Perbezaan ini nampak kecil dari sudut bahasa tetapi kesannya besar dalam dunia sebenar.
Apabila Peluang Sama Tidak Membawa Hasil Yang Sama
Dalam sektor pendidikan, ramai masih percaya bahawa keadilan bermaksud semua pelajar perlu menerima bantuan yang serupa. Semua diberikan komputer riba yang sama, tugasan yang sama dan tempoh masa yang sama.
Namun persoalannya, adakah semua pelajar benar-benar berada dalam keadaan yang sama?
Pelajar di bandar mungkin mempunyai Internet berkelajuan tinggi dan suasana belajar yang selesa. Sebaliknya, pelajar di pedalaman mungkin bergelut dengan capaian Internet yang lemah dan kekurangan kemudahan asas. Memberikan kedua-duanya bantuan yang sama mungkin nampak adil pada laporan rasmi tetapi realitinya jurang pendidikan terus melebar.
Kadangkala kita terlalu sibuk memastikan semua orang menerima benda yang sama sehingga terlupa bertanya sama ada bantuan itu benar-benar membantu mereka.
Akibatnya, pelajar yang sememangnya sudah tercicir terus tertinggal di belakang walaupun secara rasmi mereka telah menerima ‘peluang yang sama’.
Sistem yang Menghukum Orang Rajin
Masalah yang sama turut berlaku dalam dunia pekerjaan.
Ada organisasi terlalu obses mahu melayan semua pekerja secara sama rata sehingga gagal membezakan antara pekerja yang benar-benar menyumbang dengan mereka yang sekadar memenuhi syarat minimum pekerjaan.
Pekerja yang bekerja lebih masa, menghasilkan idea baharu dan memikul tanggungjawab besar akhirnya menerima ganjaran yang hampir sama dengan pekerja yang sekadar hadir untuk mencukupkan waktu pejabat. Pada awalnya keadaan ini mungkin nampak harmoni kerana ‘tiada siapa terasa hati’.
Namun lama-kelamaan, pekerja yang berkualiti mula hilang motivasi. Mereka mula merasakan usaha tambahan tidak membawa sebarang makna. Dalam jangka masa panjang, organisasi akan kehilangan tenaga kerja terbaik kerana sistem gagal menghargai kecemerlangan.
Masyarakat hari ini kadangkala terlalu takut dianggap tidak adil sehingga akhirnya menghukum orang yang benar-benar rajin dan berusaha.
Tidak Semua Perkara Perlu Dilayan Berbeza
Namun begitu, ini tidak bermaksud semua perkara perlu dilihat melalui kaca mata saksama.
Dalam keadaan tertentu, persamaan mutlak mesti dipertahankan tanpa kompromi.
Dalam aspek kedaulatan undang-undang misalnya, seorang menteri dan seorang petani mesti tertakluk kepada undang-undang yang sama. Mahkamah tidak boleh menghukum berdasarkan pengaruh, kekayaan atau kedudukan seseorang.
Begitu juga dalam sistem demokrasi. Setiap rakyat hanya mempunyai satu undi yang nilainya sama tanpa mengira status sosial atau jumlah harta.
Dalam perkara seperti hak asasi dan keadilan undang-undang, persamaan bukan lagi pilihan, tetapi asas penting bagi sebuah negara yang bermaruah.
Sebab itu masyarakat perlu berhati-hati agar konsep saksama tidak disalahgunakan untuk menghalalkan pilih kasih atau penyalahgunaan kuasa.
Media Sosial dan Budaya Keadilan Segera
Malangnya, media sosial hari ini menjadikan perbahasan tentang keadilan semakin cetek.
Isu kompleks diperah menjadi slogan pendek dan kandungan sensasi. Orang ramai lebih cepat marah daripada mahu memahami konteks sesuatu keputusan. Apabila bantuan diberikan secara bersasar, ramai terus membandingkan angka tanpa bertanya mengapa perbezaan itu berlaku.
Budaya ini melahirkan masyarakat yang semakin obses membandingkan apa yang diterima orang lain.
Lebih membimbangkan, ahli politik populis memahami bahawa sentimen seperti ini sangat mudah dimanipulasi. Janji ‘semua orang akan dapat benda yang sama’ sentiasa lebih mudah dijual berbanding penjelasan tentang keperluan, keutamaan dan jurang sosial.
Akibatnya, dasar yang kelihatan cantik di atas kertas sering dipilih kerana popular, walaupun gagal menyelesaikan masalah sebenar rakyat.
Keadilan Bukan Kerja Matematik
Kesimpulannya, masyarakat perlu menerima satu hakikat yang ramai tidak selesa untuk akui: keadilan bukan sekadar soal pembahagian sama banyak.
Keadilan memerlukan pertimbangan yang matang, keberanian membuat keputusan dan kefahaman terhadap realiti manusia yang tidak seragam. Tidak semua perbezaan ialah diskriminasi; tidak semua persamaan membawa keadilan.
Kadangkala, untuk berlaku adil, kita memang perlu melayan manusia secara berbeza berdasarkan keadaan mereka.
Jika masyarakat terus menyamakan ‘sama rata’ dengan ‘adil’, kita bukan sahaja gagal membantu golongan yang paling memerlukan, malah berisiko membina sistem yang nampak cantik di permukaan tetapi sebenarnya meninggalkan ramai orang di belakang.
Keadilan sebenar bukan tentang memastikan semua orang menerima perkara yang sama. Keadilan sebenar adalah dengan memastikan setiap manusia mempunyai peluang yang wajar untuk hidup dengan bermaruah.
Penulis ialah Pensyarah, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Oleh: Ahmad Ibrahim
E-mel: ahmadbi@umpsa.edu.my
- 77 views
Reports by: