Kekal istiqamah di akhir Ramadan
Kita telah pun berada di fasa yang terakhir Ramadan. Biar pun kita masih diuji dengan kehadiran virus Covid-19, namun ia bukanlah penghalang untuk kita terus kekal cemerlang dalam menyempurnakan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain khususnya di akhir Ramadan ini.
Oleh itu, apa jua bentuk ujian yang kita lalui ketika ini, semestinya ujian tersebut menjadikan diri kita lebih bersemangat untuk kita merealisasikan makna ketakwaan diri dan membangunkan jiwa rabbani di sebalik penunaian ibadat puasa ini. Justeru, adalah penting bagi kita membina kekuatan jiwa dan mental berteraskan iman secara konsisten agar tujuan puasa ini benar-benar dapat direalisasikan. Nabi SAW bersaba:
“Barang siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”
(Riwayat Imam al-Nasai’e)
Secara jelas, hadis Nabi SAW ini menegaskan bahawa iman semestinya menjadi pegangan kita dalam melaksanakan kewajipan ibadat puasa kerana dengan keimanan, kita mampu beristiqamah dan yakin terhadap setiap janji Allah SWT khususnya untuk kita meraih anugerah malam lailatul al-Qadr yang dijanjikan Allah SWT pada sepuluh malam yang terakhir di bulan Ramadan ini. Nabi SAW bersabda:
“Carilah malam lailatulqadar pada malam ganjil iaitu pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sehubungan itu, istiqamah adalah suatu perkara yang semestinya perlu dipertingkatkan oleh kita kerana ia merupakan manifestasi dan lambang keteguhan jiwa untuk kita terus melakukan sesuatu amalan ketaatan serta meninggalkan apa jua perbuatan yang bertentangan dengan syarak secara konsisten. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya orang yang mengatakan Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada pula berdukacita.”
(al-Ahqaf: 13)
Untuk melahirkan sifat istiqamah, semestinya kita perlu memperbaharui komitmen keimanan setiap hari seiring dengan kita berusaha untuk menundukkan pengaruh hawa nafsu melalui proses perjuangan diri yang berterusan. Kedua- dua aspek ini seharusnya diterapkan dalam pengamalan ibadat puasa kita sejak dari awal Ramadan lagi dan berterusan sehingga akhir Ramadan. Sebenarnya perkara ini tidak mudah dilakukan sekiranya kita tidak mempunyai tekad dan keazaman diri yang bersungguh-sungguh untuk memperbaiki prestasi ibadat kita di sepanjang bulan Ramadan ini.
Untuk menjayakan hasrat ini pula, kita haruslah sedar bahawa ibadat puasa yang sedang kita laksanakan ketika ini merupakan suatu amanah yang cukup besar dan puasa tersebut telah diwakilkan kepada diri kita tanpa ada pengawasan dari sesiapa pun kecuali Allah SWT. Oleh itu, apabila kita berpuasa, kita seharusnya sanggup bersabar untuk tidak melakukan sebarang perkara atau perbuatan yang direstui oleh hawa nafsu dan tabiat ini hendaklah sentiasa diulangi oleh kita setiap masa sehingga lahirnya perasaan takut kepada Allah SWT.
Sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan, maka tanpa diragui lagi, ibadat puasa kita akan meningkat ke suatu tahap yang lebih tinggi dan kita akan berada dalam barisan orang-orang yang bertakwa kepada Allah SWT. Oleh itu, kita berhak untuk meraikan kemenangan dan kegembiraan di akhir bulan Ramadan melalui Hari Raya Aidilfitri kerana kita sebenarnya telah dapat mengembalikan diri kita kepada fitrah yang asal. Jadi, marilah sama- sama kita beristiqamah untuk terus memperbaiki prestasi dan kualiti ibadat puasa dan segala bentuk ibadat ketaatan khususnya pada sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadan ini bagi memenuhi keberhasilan utama ibadat puasa kita sebagaimana firman Allah SWT:
“Wahai orang- orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu dapat bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Oleh : Dr. Mohd. Suhardi Mat Jusoh
e-mel: suhardi@ump.edu.my
- 213 views