Skip to main content

Kelestarian di Perpustakaan UMPSA: Menyokong Matlamat Pembangunan Mampan

Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015 merupakan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan yang mempunyai 17 matlamat atau agenda yang digariskan bagi mencapai 169 sasaran khusus. 

Matlamat ini bertujuan untuk menangani pelbagai cabaran global yang saling berkait termasuk pembasmian kemiskinan, kesaksamaan sosial, pertumbuhan ekonomi dan kemampanan alam sekitar. Mengamalkan prinsip ‘tiada satupun yang tertinggal’ (Leave no one behind (LNOB)) iaitu janji utama dan transformatif bagi Agenda 2030 untuk Matlamat Pembangunan Mampan. Ia dilihat dapat menangani pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat seluruh dunia menjelang tahun 2030. 

rajah 1

Demi memastikan perpustakaan terus mendukung agenda pembangunan mampan, Perpustakaan UMPSA juga memainkan peranan penting dalam merealisasi dan menjayakan 17 matlamat SDGs ini seperti yang dijelaskan oleh International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA) iaitu perpustakaan sebagai medium penyediaan bahan dan maklumat berkaitan agenda yang telah digariskan. (Saleng et al., n.d.).  

 

Rajah 2

 

Inisiatif Kelestarian di Perpustakaan UMPSA

Sebagai sebuah pusat sumber ilmu, perpustakaan tidak hanya menyediakan bahan rujukan akademik tetapi juga mendukung pembangunan mampan melalui pelbagai inisiatif dan perkhidmatan yang berasaskan kelestarian. Perpustakaan UMPSA telah memulakan langkah dalam menjalankan program dan aktiviti yang menyokong kepada inisiatif matlamat bermula 2016 dan masih diteruskan sehingga kini. Hasil pelaporan setiap aktiviti akan dilaporkan kepada Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA yang bertindak sebagai pusat tanggungjawab yang mengurus dan memantau pelaksanaan inisiatif kelestarian universiti.

Aktiviti yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs)

1. Butik Preloved, Give and Sale (PGS)

Jawatankuasa Amalan 5S Perpustakaan (kini dikenali EKSA) dengan kerjasama Kluster Waste (Eco Green) telah melancarkan butik barangan terpakai yang dikenali Butik PGS (Preloved, Give and Sale) pada 2016 di Perpustakaan UMPSA Pekan. Butik PGS menyediakan barangan terpakai yang boleh dimiliki dengan percuma atau pada harga yang berpatutan. Objektif utama butik ini diwujudkan adalah untuk menyokong kempen guna semula barangan terpakai seperti pakaian, beg dan sebagainya. Sehingga kini butik ini masih beroperasi dan menjadi platform kepada warga universiti untuk menderma dan menjual barangan kepada mereka yang memerlukan sekaligus menyokong SDG 1 (tiada kemiskinan) dan SDG 12 (penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab). 

Perpustakaan UMPSA

 

2. Waste4Fine

Perpustakaan telah memperkenalkan kaedah pembayaran denda lewat pemulangan bahan menggunakan botol minuman plastik atau tin yang dikenali Waste4Fine pada 2019. Melalui kaedah ini, pengguna dibenarkan membuat pembayaran penuh atau sebahagian denda pada setiap hari Rabu. Nilai bagi botol bersaiz kurang daripada 1,000 mililiter akan mendapat diskaun 10 sen manakala botol bersaiz melebihi 1,000 mililiter dengan harga 20 sen. Inisiatif ini menyokong SDG 12 (penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab) dan SDG 13 (tindakan iklim).

 

Sumber: Perpustakaan UMPSA

3. Projek Hijau

Projek ini telah bermula pada April 2023 bagi mewujudkan ruang atau persekitaran hijau dan dimulakan dengan penanaman tanaman herba dan sayuran di 7 planter box di Perpustakaan UMPSA Pekan. Hasil daripada tanaman ini dikongsi bersama staf dan pekerja am di perpustakaan. Projek Hijau diteruskan dengan penanaman pokok hiasan di sekitar bangunan perpustakaan pada tahun 2024. Aktiviti ini dapat memupuk kesedaran kepentingan amalan hijau di persekitaran tempat bekerja dan juga dapat menambah keceriaan kepada bangunan perpustakaan selain menyokong SDG 13 (Ttindakan iklim) dan SDG 15 (kehidupan di darat).

Pembangunan koleksi dan program pendidikan pengguna

4. Pembangunan koleksi dan program pendidikan pengguna

Perpustakaan menyediakan koleksi bahan bacaan dan rujukan komprehensif iaitu buku, jurnal dan pangkalan data yang menyokong pendidikan dan penyelidikan. Akses kepada sumber-sumber ini membolehkan pengguna mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk pembelajaran mereka. Perpustakaan juga aktif dalam menjalankan program literasi maklumat dan pendidikan pengguna bagi menyokong SDG 4 (pendidikan berkualiti). Program-program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar berkenaan perkhidmatan, kemudahan dan pencarian bahan di perpustakaan selain meningkatkan kemahiran literasi.  

 Program Gaya Hidup Sihat Program Gaya Hidup Sihat

5. Program Gaya Hidup Sihat

Bagi menyokong SDG 3 (kesihatan baik dan kesejahteraan), perpustakaan telah mengadakan program gaya hidup sihat secara berkala bagi menggalakkan aktiviti riadah dikalangan staf dan telah menetapkan program ini sebagai salah satu penunjuk prestasi utama di dalam Pelan Strategik Perpustakaan 2021-2025. Perpustakaan menyokong sepenuhnya program ini kerana ianya dapat memberikan pelbagai faedah kepada staf dalam memulakan penjagaan kesihatan. Selain itu, program ini boleh dijadikan suatu budaya dalam usaha meningkatkan produktiviti dan kesedaran kepentingan kesihatan. 

Penyertaan Pertandingan Sudut SDG Perpustakaan Akademik 2024

6. Penyertaan Pertandingan Sudut SDG Perpustakaan Akademik 2024

Perpustakaan mengambil inisiatif untuk mewujudkan sudut SDG yang terletak di Aras 2, Perpustakaan UMPSA Pekan. Sudut ini terbuka untuk kegunaan umum dan dilengkapi dengan sumber elektrik dan perabot yang bersesuaian bagi keselesaan pengguna. Pada Feb 2024, Jawatankuasa Tetap Perpustakaan Akademik (JTPA) telah menganjurkan Pertandingan Sudut SDG. Perpustakaan mengambil peluang ini untuk turut serta dan ini secara tidak langsung dapat mempromosikan sudut SDG kepada pihak luar.

 

Sumber: Perpustakaan UMPSA

Secara keseluruhannya, Perpustakaan UMPSA memainkan peranan penting dalam menyokong inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan di dalam ekosistem universiti. Melalui penyediaan sumber maklumat, program pendidikan dan literasi, pengurusan sumber yang bijak serta kerjasama dan jaringan bersama rakan strategik dan agensi luar, perpustakaan dapat menyumbangkan kepada pembentukan komuniti universiti yang lebih lestari.  

RUJUKAN

5th anniversary of the Sustainable Development Goals. (n.d.). Malaysia, Singapore and Brunei Darussalam. https://malaysia.un.org/en/101140-5th-anniversary-sustainable-developme…

About SDC. (n.d.). UI GREENMETRICS. https://mygreen.umpsa.edu.my/index.php/sustainability-ump/sustainable-d…

IFLA. (n.d.). PERPUSTAKAAN BOLEH MEMANDU PEMBANGUNAN BAGI SELURUH AGENDA PBB 2030. https://www.ifla.org/wp-content/uploads/2019/05/assets/hq/topics/librar…

Malaysia, P. P. (2024, September 5). Pertandingan Akhir Sudut SDG Perpustakan Akademik 2024: Perpustakaan sebagai pendukung pencapaian matlamat United Nations Sustainable Development Goals. PPM NEWS / BERITA PPM : News About Malaysian Librarians and Libraries. https://beritappm.wordpress.com/2024/09/05/pertandingan-akhir-sudut-sdg…

Saleng, A. Z., & Manaf, I. E. A. (2022). SDG 4: Peranan perpustakaan. www.academia.edu. https://www.academia.edu/91894288/SDG_4_Peranan_Perpustakaan

Kelestarian di Perpustakaan UMPSA: Menyokong Matlamat Pembangunan Mampan
Nor Ashikin Ahmad

Penulis adalah Pustakawan Kanan, Perpustakaan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: ashikinah@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri