Skip to main content

Kemas Itu Sunnah, Bergaya Itu Maruah

Dalam masyarakat hari ini, lelaki tidak lagi terpisah daripada dunia penampilan dan kecantikan. Jika dahulu, aspek penampilan sering dikaitkan dengan wanita, kini lelaki turut memberi perhatian terhadap cara berpakaian, gaya rambut, penjagaan diri dan imej keseluruhan. Daripada golongan profesional yang bekerja dalam suasana korporat, hinggalah mahasiswa universiti seperti pelajar-pelajar UMPSA, penampilan semakin menjadi keperluan asas untuk membina keyakinan, kehormatan dan kredibiliti. Namun, bagi lelaki Muslim, penampilan bukan sekadar soal luarannya sahaja. Ia turut menyentuh aspek agama, adab dan keperibadian yang dibentuk oleh panduan al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada tampil menarik; bahkan agama ini meraikan keindahan. Sabda Rasulullah SAW yang masyhur, “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan,” menjadi asas bahawa penampilan yang baik adalah suatu bentuk kebaikan. Keindahan yang dimaksudkan bukanlah berlebih-lebihan dalam berhias, tetapi meliputi kesederhanaan yang memancarkan kebersihan, ketertiban dan kesopanan. Apabila seseorang lelaki menjaga rambutnya, mencuci tubuhnya, merapikan pakaiannya dan memperhatikan bau badannya, semua itu adalah sebahagian daripada akhlak yang dianjurkan oleh agama. Dalam al-Quran, Allah SWT menyatakan bahawa Dia menyukai orang yang menyucikan diri, menggambarkan bahawa kebersihan bukan hanya sifat fizikal, tetapi tanda iman dan rasa syukur terhadap nikmat kesihatan serta kehidupan.

Namun, Islam juga meletakkan batas agar lelaki tidak melampaui garis kesederhanaan. Berpakaian terlalu ketat, meniru gaya wanita, atau memakai perhiasan berlebihan adalah antara perkara yang dilarang. Dalam hadis riwayat al-Bukhari, RasulullahSAW  melarang lelaki menyerupai perempuan dan sebaliknya. Larangan ini bukan untuk menyekat kreativiti dalam fesyen, tetapi untuk mengekalkan identiti fitrah seorang lelaki. Oleh itu, dalam menyesuaikan gaya moden, lelaki Muslim perlu sentiasa beringat bahawa fesyen itu boleh berubah, tetapi prinsip agama tetap kekal.

Jika dilihat dari sudut gaya hidup masa kini, fesyen lelaki semakin berkembang dengan pesat. Gaya minimalis yang ringkas tetapi maskulin semakin digemari. Warna-warna neutral seperti kelabu, hitam, navy dan coklat tanah memberi aura kematangan dan profesionalisme. Pengaruh fesyen smart casual pula dapat dilihat dalam kehidupan seharian: kemeja ringkas, seluar slack yang selesa, blazer moden, dan kasut kulit polos sudah cukup untuk membentuk rupa yang kemas dan meyakinkan. Tidak perlu pakaian mahal, cukup sekadar mengutamakan kesesuaian, kebersihan dan kesopanan.

Trend athleisure yang merupakan gabungan pakaian santai dan sporty turut menjadi pilihan ramai lelaki muda. Pelajar universiti seperti di UMPSA sering memilih gaya ini kerana praktikal, selesa dan sesuai dengan rutin harian di kampus. Walaupun kasual, gaya athleisure tetap boleh dipadankan dengan prinsip penampilan Muslim selagi pakaian tidak terlalu ketat, menutup aurat dengan baik, dan tidak menyerupai budaya yang bertentangan dengan identiti Muslim.

Dalam dunia profesional pula, penampilan menjadi bahasa senyap yang menggambarkan personaliti seseorang sebelum dia sempat memperkenalkan diri. Lelaki yang bekerja dalam bidang korporat lazimnya tidak boleh lari daripada pakaian formal seperti sut, kemeja berkolar dan tali leher. Bagi mereka yang bekerja dalam bidang pendidikan, pakaian kemas dan profesional menunjukkan rasa hormat terhadap pelajar dan rakan sekerja. Manakala pekerja dalam bidang teknikal perlu menjaga keterampilan walaupun memakai PPE, kerana ia mencerminkan disiplin dan keseriusan terhadap tugas.

Penampilan profesional bukan hanya soal rupa, tetapi menghantar mesej bahawa seseorang itu bertanggungjawab, teratur dan bersedia memikul amanah kerja. Dalam perspektif Islam, niat juga memainkan peranan. Berpakaian kemas untuk menunjukkan kesyukuran terhadap rezeki adalah digalakkan, seperti mana hadis Nabi yang menganjurkan agar kesan nikmat Allah SWT dizahirkan melalui pakaian yang bersih dan kemas. Namun, ia haruslah dilakukan tanpa riak atau niat untuk menunjuk-nunjuk.

Pelajar UMPSA, sebagai bakal profesional dan pemimpin masa hadapan, turut memainkan peranan penting dalam hal penampilan. Di kampus, penampilan bukan sekadar mahu nampak segak atau bergaya; ia membentuk disiplin diri dan imej sebagai seorang penuntut ilmu. Pelajar yang berpakaian rapi lazimnya lebih dihormati oleh pensyarah dan rakan-rakan, lebih yakin ketika membuat pembentangan, dan lebih bersedia menghadapi temu duga industri. Dengan memakai kemeja, seluar slack longgar, dan kasut tertutup, pelajar sudah pun menunjukkan ciri keterampilan yang seiring dengan nilai universiti dan kehendak dunia pekerjaan yang sebenar.

Tidak dapat dinafikan bahawa penampilan memberi kesan langsung terhadap keyakinan diri. Seseorang yang menjaga penampilannya akan lebih mudah bergaul, lebih lancar berkomunikasi dan berani mengambil peranan dalam organisasi mahasiswa. Dalam sejarah Islam sendiri, tokoh-tokoh ilmuan menjaga penampilan ketika menghadiri majlis ilmu. Imam Malik, misalnya, terkenal sebagai ulama yang sangat menjaga keterampilan diri sebelum memasuki majlis hadis. Walaupun mereka memiliki ilmu yang tinggi, mereka tetap mengutamakan adab dalam berpakaian kerana bagi mereka, ilmu itu mulia dan layak dihormati.

Kesimpulannya, penampilan lelaki adalah gabungan harmoni antara nilai agama, tuntutan kehidupan moden dan pembinaan identiti peribadi. Islam tidak menolak fesyen atau gaya, tetapi menggariskan prinsip supaya lelaki tetap menjaga maruah, kesederhanaan dan kebersihan. Fesyen moden memberi ruang luas kepada lelaki untuk tampil menarik, maskulin dan profesional tanpa perlu menyalahi batas agama. Lelaki berkerjaya yang berpenampilan kemas bukan sahaja mempamerkan profesionalisme, tetapi juga menunjukkan bahawa dia menghormati tanggungjawabnya. Pelajar UMPSA yang menjaga keterampilan pula bukan hanya mempersiapkan diri untuk dunia pekerjaan, malah membina keyakinan dan etika sebagai penuntut ilmu. Dengan keseimbangan ini, penampilan bukan lagi soal rupa, tetapi sebahagian daripada identiti seorang lelaki Muslim yang matang, berwibawa dan berakhlak mulia.

Baihaqi

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni 
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my

Penulis adalah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri