Skip to main content

Kembara Mobiliti Staf UMPSA – Eksplorasi Integrasi Warisan Dan Inovasi Selama Lima Hari di Istanbul Technical University, Turkiye

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli dan Ketua Program Sarjana Muda Analitis Perniagaan dengan Kepujian, Fakulti Pengurusan Industri (FPI) UMPSA, Dr. Zetty Ain Kamaruzzaman terpilih sebagai Duta UMPSA bagi menjalani program mobiliti di Istanbul Technical University (İTÜ), Turkiye pada 17 hingga 21 November 2025.

Inisiatif mobiliti staf ini merupakan usaha untuk menyahut Agenda Transformasi 1, Amanat Naib Canselor UMPSA, Tahun 2025 iaitu Memperkukuh dan Memajukan Potensi Individu yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat, pemerkayaan ilmu, peningkatan kemahiran dalam kalangan warga universiti serta memperkukuh agenda pengantarabangsaan UMPSA melalui jaringan strategik bersama universiti terkemuka dunia. Sangkutan kerja bagi peningkatan kompetensi secara sepenuh masa dengan penajaan ini adalah di bawah Peruntukan Khas Pelaksanaan KPI Amanat Naib Canselor Tahun 2025.

Mobiliti Staf Selari Agenda Transformasi dan Amanat Naib Canselor UMPSA 2025

Istanbul Technical University (İTÜ) merupakan salah satu universiti teknikal tertua dan terkemuka di dunia, ditubuhkan pada tahun 1773 di Istanbul, Turkiye. Universiti ini terkenal dengan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, seni bina, sains dan teknologi, serta penyelidikan inovatif yang memberi impak kepada pembangunan industri dan inovasi di Turkiye. İTÜ berada di kedudukan ranking ke-298 dunia dalam QS World University Ranking 2026, ranking ke-79 di dunia bagi subjek kejuruteraan dan teknologi dalam QS World University Rankings by Subject 2025 serta kedudukan pertama di Tukiye juga dalam bidang yang sama. Dengan reputasi akademik, penyelidikan, dan pengiktirafan antarabangsa sebegini, İTÜ berada di kalangan universiti teknikal bertaraf dunia, bukan sahaja unggul di Turkiye, tetapi juga kompetitif pada peringkat global.

Pemilihan Istanbul Technical University (İTÜ) sebagai tempat sangkutan staf UMPSA adalah amat bertepatan kerana identiti kedua-duanya yang merupakan universiti teknikal dengan kekuatan penyelidikan dan teknologi, mempunyai bidang akademik yang serasi, infrastruktur bertaraf global, serta peluang kerjasama yang luas dari sudut penyelidikan sehingga mobiliti antarabangsa. Kedua-dua universiti mempunyai genetik akademik yang hampir sama sekali gus dapat memudahkan kolaborasi penerbitan, projek bersama, serta geran antarabangsa. Integrasi melalui sangkutan staf ini dapat mengangkat imej UMPSA pada peringkat global, sesuai untuk latihan staf akademik mahupun pentadbiran, penyelidik dan pelajar UMPSA, menambah nilai kepada hala tuju UMPSA sebagai universiti teknologi yang memfokuskan pada industri, perkongsian budaya dan pengembangan kemahiran yang amat penting dalam pembangunan staf dan pelajar UMPSA selain memulakan kerjasama jangka panjang yang strategik dan berimpak tinggi.

Kembara Mobiliti Staf UMPSA – Eksplorasi Integrasi Warisan Dan Inovasi Selama Lima Hari di Istanbul Technical University, Turkiye

Menurut Profesor Madya Dr. Aizi dan Dr Zetty Ain, Istanbul menyambut mereka dengan suasana yang amat dinamik dan penuh dengan identiti budaya. Lapangan terbang Istanbul yang bertaraf dunia dengan reka bentuk moden, teknologi pintar dan kemudahan lengkap, proses ketibaan yang efisien, dan sambungan pengangkutan ke bandar yang mudah dengan menggunakan Istanbul City Card memberi gambaran awal yang sangat baik tentang Turkiye. Suasana bulan November di Istanbul amat tenang, sejuk dan penuh elemen sejarah. Hotel mereka terletak di daerah Şişli, Istanbul adalah amat unik, mereka berada di antara kehangatan budaya Turkiye dengan kesejukan angin musim luruh dalam suasana bandar moden.

Hari Pertama Mobiliti: Pendaftaran dan Pengenalan Program Erasmus+ KA171

Hari pertama, Isnin, 17 November 2025, mereka melapor diri di Istanbul Technical University (İTÜ), Erasmus Office yang terletak di Kampus Ayazağa, Maslak. Sangkutan kerja adalah melalui Projek Erasmus+ KA171 Staff Mobility for Training di İTÜ. Ketibaan mereka disambut mesra oleh Sumeyye, staf yang bertanggungjawab bagi Projek Erasmus+ KA171. Mereka diberi taklimat dan diperkenalkan dengan kesemua staf di Erasmus Office. Selepas itu mereka dibawa melawat kampus. Antara tempat yang paling menarik perhatian adalah perpustakaan, İTÜ Mustafa İnan Kütüphanesi. Sesi lawatan pada hari pertama diakhiri dengan secawan kopi Turki.

Kampus Ayazağa di Maslak merupakan kampus utama Istanbul Technical University (İTÜ), kebanyakan fakulti, jabatan, dan pusat pentadbiran universiti ditempatkan di sini. İTÜ mempunyai empat kampus lain di sekitar Istanbul. Maslak atau Ayazağa dikelilingi kawasan komersial dan perniagaan, ia menjadikan kampus ini berada di tengah-tengah pusat bandar dan mudah diakses, terutama dengan laluan metro, stesen İTÜ Ayazağa pada garis M2 menjadikan kampus ini mudah dihubungkan dengan pusat bandar Istanbul. Kampus ini turut merangkumi kawasan hijau dan landskap semula jadi yang menjadikannya bukan sekadar kampus urban, tetapi juga merupakan sebuah kampus hijau dan lestari yang memelihara alam semula jadi. Kampus Ayazağa juga bukan sekadar tempat untuk belajar, ia seperti sebuah komuniti hidup, pelajar tinggal, belajar, bersukan dan bersosial dalam satu ruangan yang lengkap. 

Hari Kedua: Jaringan Akademik dan Lawatan Makmal Penyelidikan

Hari kedua diteruskan dengan sesi bersama Faculty of Science and Letters di Kampus Ayazağa. Fakulti ini terdiri daripada Jabatan Matematik, Kejuruteraan Fizik, Kimia, Kemanusiaan dan Sains Sosial, serta Biologi dan Genetik Molekul. Mereka telah disambut oleh Department Chair, Profesor Dr. Bahire Filiz Şenkal, Associate Chair, Profesor Dr. Ayfer Kalkan Burat dan Associate Chair daripada Jabatan Kimia, Assistant Profesor Dr. İbrahim Özçeşmeci,. Manakala, di Jabatan Biologi dan Genetik Molekul, mereka telah disambut oleh Head of Department, Profesor Dr. Murat KAYA dan Vice Head of Department, Assistant Profesor Dr. Abdülhalim KILIÇ. Mereka diberi taklimat dan dibawa melawat ke beberapa makmal pengajaran dan penyelidikan di Jabatan Kimia dan Jabatan Biologi dan Genetik Molekul. Mereka turut berpeluang untuk melihat sesi demonstrasi eksperimen yang sedang dijalankan oleh pelajar dan penyelidik di İTÜ. Profesor Madya Dr Aizi turut berkesempatan untuk memulakan sesi perbincangan dan perkongsian berkaitan potensi kolaborasi berkaitan penyelidikan.

Hari Ketiga: Perbincangan Strategik bersama Fakulti Pengurusan İTÜ

Hari ketiga pula diteruskan oleh Dr. Zetty Ain di Kampus Maçka bersama Fakulti Pengurusan İTÜ. Kampus ini terletak di daerah Şişli, Istanbul, berhampiran dengan pusat bandar dan kawasan Nişantaşı yang terkenal dengan butik-butik fesyen dan kafe. Kampus ini merupakan kampus tertua İTÜ, dengan bangunan bersejarah yang mengekalkan ciri seni bina klasik Turki. Kawasan ini lebih urban dengan suasana bandar moden. Fakulti ini mempunyai empat Jabatan iaitu Department of Industrial Engineering, Management Engineering, Economics dan Data Science and Analytics. Sesi perbincangan bersama Dekan, Profesor Dr. Burhaneddin SANDIKÇI, Timbalan Dekan (Akademik), Profesor Madya Dr. Mete Han YAĞMUR, Timbalan Dekan (Administritive), Assistant Profesor Dr. Mehmet Yasil ULUKUŞ, Chair of Department, Economics Department, Profesor Dr. Bülent GÜLOĞLU serta Chair of Department, Data Science and Analytics Department, Profesor Dr. Mehmet Güray GÜLER berlangsung dengan amat positif. Program akademik di Fakulti Pengurusan İTÜ ini mempunyai persamaan dengan program akademik di FPI UMPSA.

Hari Keempat: Pertukaran Idea Akademik bersama Jabatan Matematik İTÜ

Hari keempat diteruskan semula di Kampus Ayazağa. Kali ini bersama Jabatan Matematik, Faculty of Science and Letters, İTÜ. Dr Zetty Ain disambut mesra oleh Profesor Dr. Nalan Antar dan Assistant Profesor Ilkay Bakirtas Akar. Sesi perbincangan ini amat positif iaitu pertukaran idea berkaitan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan latihan dibincangkan. Mereka berharap agar kolaborasi bersama UMPSA khususnya bersama Pusat Sains Matematik (PSM) dapat dilaksanakan kerana UMPSA menggunakan medium bahasa Inggeris bagi sesi pengajaran dan pembelajaran. 

Hari terakhir mobiliti mereka di Istanbul Technical University (İTÜ) ditutup dengan menyelami pengalaman budaya di Istanbul. Walaupun fokus utama mobiliti ini adalah kerjasama strategik, namun, tidak dapat dinafikan, suasana budaya Istanbul telah memberikan nilai tambah yang signifikan kepada mereka. Masa yang diluangkan untuk meneroka bandar, daripada tapak sejarah hinggalah ke kawasan kejiranan yang pelbagai telah memberikan pemahaman lebih mendalam tentang konteks sosial yang membentuk kehidupan pelajar dan staf di İTÜ. Pengalaman warisan dan budaya ini selari dengan matlamat Erasmus+ untuk memupuk kesedaran antarabangsa dan persefahaman antara budaya.

Kembara Mobiliti Staf UMPSA – Eksplorasi Integrasi Warisan Dan Inovasi Selama Lima Hari di Istanbul Technical University, Turkiye

Penutup Mobiliti: Impak, Nilai dan Hala Tuju Kerjasama Masa Hadapan

Tempoh mobiliti Erasmus+ mereka di Istanbul Technical University (İTÜ), walaupun hanya lima hari sahaja, ia merupakan ekplorasi dan pengalaman yang sangat produktif, menggabungkan aspek pengajaran, inovasi, latihan professional, kepimpinan dan pembelajaran warisan dan budaya. İTÜ menampilkan gabungan unik antara kecemerlangan akademik, hospitaliti dan keterbukaan intelektual, menjadikan lawatan ini penuh dengan nilai dan amat signifikan. Asas kerjasama yang terbentuk sepanjang mobiliti ini membuka peluang luas untuk kerjasama yang lebih erat di antara İTÜ dan UMPSA pada masa hadapan. Mereka pulang ke UMPSA dengan perspektif yang lebih luas dan penghargaan mendalam terhadap pentingnya semangat setiakawan dan kerjasama antarabangsa dalam landskap pengajian tinggi.

Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli
Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli
Dr. Zetty Ain Kamaruzzaman
Dr. Zetty Ain Kamaruzzaman

E-mel: aizinor@umpsa.edu.my, zetty@umpsa.edu.my 

Penulis adalah Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan (UMPSA) dan Ketua Program Sarjana Muda Analitis Perniagaan dengan Kepujian, Fakulti Pengurusan Industri (FPI) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Pahang (UMPSA)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri