Skip to main content

Kemerdekaan Acuan Malaysia

Setelah mencapai kemerdekaan, bukan satu tugas mudah untuk mengekalkan kemerdekaan. Syukur alhamdulillah, kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan kali yang ke-66 tahun pada 31 Ogos 2023. 

Secara amnya, pembinaan negara yang merdeka ini memerlukan kerjasama yang erat antara pemerintah dan rakyatnya. Malaysia adalah negara majmuk, masyarakatnya terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan kepercayaan. Itulah uniknya Malaysia, masyarakat pelbagai latar belakang tetapi mampu hidup bersama tanpa konflik dan persengketaan. Mereka berkongsi budaya, gaya hidup, tempat tinggal, makanan, pendidikan, ekonomi dan sebagainya di bawah payung Malaysia. Maka inilah yang dikatakan kemerdekaan acuan Malaysia. Apakah elemen penting dalam memperkasakan kemerdekaan acuan Malaysia ini? Penulisan ini akan mengupas beberapa perkara untuk dipraktikkan oleh masyarakat Malaysia agar kemerdekaan yang kita kecapi ini terpelihara dan kedaulatan negara terjaga.

Kekalkan Perpaduan dan Keharmonian

Kemajmukan masyarakat negara ini menjadi asas utama dalam melestarikan kemerdekaan dan kedaulatan negara sejak merdeka sehingga kini. Justeru, elemen perpaduan harus terus dikekalkan untuk menjaga keharmonian kaum agar sentiasa kukuh sepanjang zaman. Ini bertepatan dengan tema Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ telah dipilih bagi mendasari tekad dan komitmen kerajaan bersama rakyat sebagai sebuah bangsa yang memiliki semangat perpaduan yang tinggi, aman dan sejahtera.

Kemajmukan masyarakat tidak pernah dijadikan halangan untuk perpaduan, malahan ia telah menguatkan lagi perpaduan rakyat di negara ini melalui proses asimilasi dan amalgamasi. Tidak syak lagi amalan ‘toleransi’ dan ‘berkongsi’ menjadi faktor perpaduan rakyat Malaysia terus kukuh khususnya apabila melibatkan isu berkaitan agama dan sosial. Syabas kepada para pemimpin Malaysia dari sejak merdeka hingga kini yang telah berjaya menggubal dasar-dasar pembangunan negara yang menggabungkan pembangunan dengan perpaduan. Hasilnya, perpaduan rakyat Malaysia menjadi aspirasi kepada masyarakat luar negara. 

Kemerdekaan Acuan Malaysia

Hapuskan Budaya Mengharap

Kemerdekaan yang dikecapi lebih 60 tahun sememangnya cukup mendewasakan masyarakat negara ini untuk berdiri teguh di bawah usaha sendiri. Kerajaan Malaysia telah menyediakan pelbagai platform dan bantuan bagi membantu semua rakyat untuk maju dalam semua aspek khususnya dalam bidang Ekonomi. Program sulung kerajaan bagi membantu masyarakat lepas merdeka khususnya masyarakat luar bandar melalui program ‘Pembangunan Komuniti’ adalah langkah serius kerajaan dalam menangani kemiskinan masyarakat lepas merdeka. Kini, sudah lebih 60 tahun, masyarakat Malaysia bukan sahaja sudah mendapat kemudahan pendidikan bertaraf antarabangsa, malahan mereka juga diberi peluang yang luas untuk melangkah sendiri tanpa bantuan kerajaan sepenuhnya. Berusaha untuk maju tanpa bantuan kerajaan adalah satu kejayaan besar bagi rakyat Malaysia kerana ia melambangkan kematangan rakyat yang sudah melalui 66 tahun kemerdekaan. 

300 staf dan kepimpinan Kumpulan UMP Holdings tunai lafaz ikrar bebas rasuah
300 staf dan kepimpinan Kumpulan UMP Holdings tunai lafaz ikrar bebas rasuah

Bebaskan Negara daripada Rasuah

Rasuah adalah musuh utama negara tetapi ia bukan mudah untuk dihapuskan. Rasuah boleh menjadi barah yang akan memusnahkan agama, bangsa dan negara. Sememangnya telah diakui rasuah berlaku di semua peringkat dari peringkat atas sampai ke peringkat bawah dan tidak mengira siapa. Harus disedari bahawa amalan rasuah yang masih berleluasa adalah ancaman besar kepada kemerdekaan negara memandangkan kekuatan ekonomi negara akan lemah, bila ekonomi lemah maka politik juga akan lemah. Apabila politik lemah akan mudahlah tangan asing akan masuk campur tangan dan merosakkan pentadbiran negara. 

Kerjasama Kerajaan dan Pembangkang

Merdeka juga membawa maksud aman tiada persengketaan. Namun, pada hari ini disebabkan politik banyak wujud persengketaan yang memecahbelahkan sesama bangsa, daerah dan negeri. Dalam hal ini, Malaysia perlu mewujudkan sistem politik dan pemerintahan yang matang seiring dengan usia 66 tahun kemerdekaan. Setiap pemimpin yang dilantik dan dipilih oleh rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang, mereka perlu ada sikap ‘Power of Love’ dan bukannya ‘Love of Power’. Kerajaan dan pembangkang perlu bekerjasama mewujudkan iklim politik yang aman sejahtera bagi menghargai rakyat yang telah memilih mereka. Politik bukan medan untuk kerajaan dan pembangkang beradu kekuasaan, tetapi bekerjalah berdasarkan mandat yang diberikan rakyat dan buatlah yang terbaik demi rakyat dan negara. 

Memperkasakan Warganegara

Jika kita mempelajari sejarah, antara asas kepada kewujudan sesuatu peradaban atau tamadun adalah rakyat. Ini menunjukkan sesuatu negara bangsa itu tidak akan wujud tanpa rakyat. Dalam hal ini, kerajaan boleh merangka dasar dan melaksanakan pembangunan negara tetapi penerimanya adalah rakyat. Dalam hal ini, kerajaan perlu memastikan semua rakyat tidak mengira agama, bangsa dan keturunan mendapat faedah dari setiap program pembangunan negara. Oleh itu, dasar dan program yang diwujudkan kerajaan harus sampai kepada setiap rakyat yang memerlukan tanpa melibatkan karenah birokrasi yang menyusahkan rakyat. Kerajaan pada setiap masa perlu mengkaji keperluan dan masalah rakyat dari semua aspek khususnya sosioekonomi.

Kuatkan Pertahanan Negara 

Sebuah negara yang kecil seperti Malaysia tidak boleh leka dengan menumpukan kepada pembangunan sosioekonomi semata-mata. Tidak dinafikan pembangunan ekonomi melambangkan kejayaan Malaysia yang terjajah sekian lama. Namun, di zaman milenium ini, sistem pertahanan negara perlu sentiasa diperbaiki dan dipantau dari semasa ke semasa. Ledakan teknologi maklumat telah memudahkan lagi keselamatan negara diceroboh tanpa batasan dan waktu. Kekuatan sistem pertahanan juga akan memberikan persepsi kepada negara luar akan kekuatan negara ini dan sekaligus dapat memelihara kedaulatan dari ancaman pengaruh luar. Ketahuilah bahawa British pernah kalah kepada Jepun dalam Perang Dunia Kedua hanya kerana kesilapan sistem pertahanan British. 

Selamat Ulang Tahun Kemerdekaan Yang Ke-66 untuk Malaysia Tercinta

Dr. Hasnah Hussiin
Dr. Hasnah Hussiin

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

e-mel: hasnah@ump.edu.my
 

Reports by:
Admin UMP News