Kepentingan Penguasaan Bahasa dalam Meningkatkan Kemahiran Graduan: Peranan Pusat Bahasa Moden UMPSA dalam Memperkasakan TVET
Pendidikan akademik di negara Malaysia sememangnya sedang berkembang pesat dewasa ini. Namun, tidak ketinggalan pentingnya dalam industri pendidikan adalah Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Penekanan terhadap TVET dalam Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan pada 24 Februari 2023 menunjukkan pentingnya TVET dalam pembangunan negara.
Kerajaan akan meningkatkan keupayaan belia Malaysia dalam TVET untuk memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji setimpal dengan kelayakan akademik dan kemahiran mereka. Hari TVET Negara yang diisytiharkan pada 2 Jun dan sambutan Minggu TVET Negara 2024 yang diadakan mulai 27 Mei sehingga 8 Jun 2024 baru-baru ini menunjukkan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai TVET (Jabatan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional, 2024).
TVET bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri dan ekonomi negara. Program ini dirancang selaras dengan perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0 dan era digital masa kini, dengan fokus untuk meningkatkan daya saing negara melalui latihan kemahiran praktikal dan pembangunan profesional. TVET di Malaysia adalah bahagian penting dalam strategi negara untuk membangunkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan pelbagai industri. Program TVET direka untuk memberikan kemahiran praktikal dan pengetahuan dalam bidang teknikal dan vokasional, menyediakan individu untuk kerjaya dan peranan tertentu dalam pasaran kerja. Ini termasuk kemahiran dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, pertanian dan banyak lagi yang sejajar dengan perkembangan teknologi Revolusi Industri 4.0 dan era digital.
Sebagai salah sebuah universiti awam (UA) di Malaysia, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) juga merupakan salah sebuah universiti di bawah Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN), kepentingan kecemerlangan akademik dan juga kemahiran teknikal para pelajar amat dititikberatkan. Ini dapat dilihat melalui program-program yang dianjurkan dengan penglibatan pelajar dan staf sama ada pada peringkat universiti atau kebangsaan.
UMPSA turut menyumbang dalam melahirkan graduan yang kompeten dan bersedia untuk menyumbang kepada pembangunan industri negara dengan menawarkan program-program yang berfokus kepada kemahiran teknikal dan vokasional. Institusi ini juga bekerjasama dengan pelbagai pihak industri untuk memastikan kurikulumnya sentiasa relevan dan selaras dengan kehendak pasaran kerja, seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan. Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, pelbagai inisiatif baharu termasuk program TVET di Borneo pantai dilancarkan untuk memberi peluang kepada pelajar di Sabah dan Sarawak . Dianggarkan 100,000 pelatih TVET Bumiputera di Malaysia akan mendapat pekerjaan dengan gaji RM3,000 lebih tinggi daripada gaji minimum akibat permintaan pekerja mahir, terutama di Sabah (UMPSA, 2024).
Selain penekanan kecemerlangan di dalam bidang kemahiran teknikal dan akademik, aspek insaniah seperti komunikasi juga perlu diterapkan dalam kalangan pelajar dalam melahirkan graduan yang bernilai tinggi. Kemahiran komunikasi adalah penting bagi graduan untuk meningkatkan prestasi, kerjasama dan peluang pekerjaan dalam pasaran global yang semakin kompetitif. Apabila disebut sahaja komunikasi, sudah tentulah bahasa adalah elemen utama yang perlu dititikberatkan di samping aspek-aspek yang lain yang menyumbang kepada komunikasi yang efektif.
Bahasa memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian kita. Ia bukan sahaja alat komunikasi, tetapi juga kunci kepada ilmu pengetahuan, budaya dan identiti kita. Bagi graduan yang bakal melangkah ke dunia pekerjaan, penguasaan bahasa yang baik adalah sangat penting dalam usaha meningkatkan kemahiran dan peluang kerjaya mereka. Kemampuan untuk berkomunikasi dengan jelas dan berkesan adalah kemahiran yang sangat dihargai oleh majikan dan amat diperlukan untuk kemajuan sesebuah organisasi. Kemampuan graduan untuk berkomunikasi dengan baik, bukan sahaja boleh memajukan diri mereka malah akan juga membantu mereka untuk membuka peluang yang lebih jauh lagi untuk syarikat atau institusi tempat mereka bekerja baik di sektor kerajaan atau swasta.
Graduan yang mahir dalam bahasa, sudah tentulah mempunyai kelebihan dalam berinteraksi dengan rakan sekerja, pelanggan, dan pihak berkepentingan. Graduan yang berkemahiran menguasai melebihi dua atau tiga bahasa sudah semestinya mempunyai kelebihan memandangkan perkembangan industri terkini sudah melangkaui seantero dunia. Kemahiran berbahasa yang baik juga amat membantu dalam penyampaian idea dan pandangan secara profesional dan berpotensi untuk meyakinkan pihak yang mendengar.
Di UMPSA, Pusat Bahasa Moden (PBM) memainkan peranan penting dalam memperkukuh kemahiran bahasa dalam kalangan graduan. PBM menyediakan pelbagai kursus bahasa yang direka khusus untuk memenuhi keperluan pelajar dan profesional. Melalui kursus-kursus ini, graduan berpeluang untuk meningkatkan penguasaan bahasa mereka dalam persekitaran yang kondusif dengan bimbingan tenaga pengajar yang berpengalaman. Turut ditawarkan pelbagai program pada peringkat antarabangsa, nasional dan juga peringkat universiti. Antaranya, International Conference on Language Learning and Teaching (ICoLLT) 4.0 yang telah berlangsung secara hibrid pada Mei 2024 yang lalu di Hotel Perdana, Kuala Lumpur. Persidangan antarabangsa itu telah berjaya dianjurkan oleh PBM dengan kolaborasi bersama dengan dua buah institusi pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa iaitu Universiti Ahmad Dahlan (UAD), Yogyakarta, Indonesia serta Ho Chi Minh University of Technology Education (HCMC), Vietnam.
Pada peringkat kebangsaan pula, para pelajar amat digalakkan untuk menyertai program tahunan iaitu Higher Education English Language Carnival (HE ELCa) anjuran bersama Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) dan institusi pengajian awam sebagai tuan rumah program. Untuk tujuan penyertaan HE ELCa, tenaga pengajar di Jabatan Bahasa Inggeris, PBM akan membantu menyelia dan melatih pelajar untuk menyertai mana-mana kategori diminati dan bersesuaian dengan mereka. Buat julung kalinya, pada tahun 2024 ini, UMPSA telah diberi kepercayaan untuk menjadi pengelola program tersebut dan PBM akan membantu menjayakan program HE ELCa ini bersama-sama dengan 20 institusi awam yang lain yang juga dijemput untuk mengambil bahagian di dalam program ini. Sebuah program lagi yang juga anjuran PBM iaitu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Language and Cultural Carnival (UMPSALCC) akan mengetengahkan aspek pelbagai budaya dan bahasa juga dianjurkan pada tarikh dan masa yang sama dengan penganjuran HE ELCa 2024. UMPSALCC pada tahun ini adalah kali kedua ianya dianjurkan dan seperti sebelumnya, penganjuran pada tahun ini juga merupakan program kerjasama dengan Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA) UMPSA.
Antara bahasa-bahasa yang diketengahkan pada penganjuran kali ini (merupakan kursus-kursus bahasa asing yang ditawarkan di PBM) adalah bahasa Mandarin, bahasa Arab, bahasa Sepanyol, bahasa Jerman dan, bahasa Melayu (untuk pelajar antarabangsa sahaja). Penyertaan pelajar dibuka kepada peringkat UMPSA dan juga kepada universiti awam (UA) lain yang berminat untuk menghantar penyertaan mereka. Penyediaan peserta dan koordinasi kedua-dua program ini sedang giat dijalankan sekarang dan kemuncaknya bakal berlangsung pada penghujung tahun 2024 ini. Antara tujuan utama penganjuran program-program ini adalah bagi membantu pelajar dalam meningkatkan penguasaan mereka dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, serta pelbagai bahasa asing yang lain. Melalui program yang dianjurkan juga para pelajar berpeluang untuk mengasah bakat kreatif mereka menggunakan pelbagai bahasa yang dipelajari dan juga membina semangat kerjasama serta kemahiran komunikasi sesama rakan pelajar yang lain. Program-program ini melibatkan semua peringkat pengajian sama ada diploma, sarjana muda, dan juga pascasiswazah. Maklumat lanjut mengenai kursus yang ditawarkan serta program yang dikendalikan oleh Pusat Bahasa Moden (PBM) boleh didapati di laman web Pusat Bahasa Moden UMPSA.
Penguasaan bahasa yang baik terutamanya bahasa Inggeris membuka pintu kepada pelbagai sumber ilmu pengetahuan. Banyak bahan rujukan, kajian, dan artikel ilmiah ditulis dalam bahasa tersebut. Dengan menguasai bahasa antarabangsa ini, graduan dapat mengakses maklumat terkini dalam bidang mereka. Ini membolehkan mereka sentiasa berada di hadapan dalam perkembangan terkini dan meningkatkan kemahiran teknikal serta pengetahuan mereka. Dalam dunia globalisasi hari ini, banyak syarikat beroperasi di peringkat antarabangsa. Syarikat-syarikat ini mencari graduan yang boleh berkomunikasi dalam pelbagai bahasa untuk mengembangkan pasaran mereka. Graduan yang fasih dalam lebih daripada satu bahasa mempunyai kelebihan kompetitif yang besar dalam mendapatkan pekerjaan di syarikat multinasional. Ini juga membuka peluang kepada mereka untuk bekerja di luar negara dan memperkaya pengalaman hidup serta profesional mereka.
Kemahiran bahasa juga berkait rapat dengan kemahiran interpersonal. Kebolehan untuk memahami dan bertutur dalam bahasa yang berbeza membantu graduan berinteraksi dengan orang dari latar belakang budaya yang berbeza. Ini meningkatkan kemahiran bekerja mereka dalam pasukan, mengasah pemikiran berfikir secara kritis dan kreatif, pengurusan konflik, dan membina hubungan yang baik dengan rakan sekerja dan pelanggan. Kemahiran interpersonal yang baik adalah kunci kepada kejayaan dalam banyak bidang kerjaya. Menguasai bahasa kedua, ketiga dan seterusnya atau memperbaiki penguasaan bahasa sedia ada memerlukan dedikasi dan usaha. Proses ini membantu graduan membina disiplin diri, ketekunan, dan keyakinan diri. Apabila mereka berjaya menguasai bahasa yang baharu, mereka akan dapat merasakan pencapaian peribadi yang memberi motivasi kepada mereka untuk terus belajar untuk mencapai kejayaan demi kejayaan. Keyakinan diri yang tinggi adalah faktor penting dalam menghadapi cabaran dan peluang dalam dunia pekerjaan.
Bahasa adalah aset yang sangat berharga dalam usaha meningkatkan kemahiran graduan. Penguasaan bahasa yang baik bukan sahaja membuka peluang pekerjaan yang lebih luas, tetapi juga meningkatkan kemahiran komunikasi, akses kepada ilmu pengetahuan dan kemahiran interpersonal. Graduan yang berdedikasi dalam mempelajari dan menguasai bahasa baharu akan mendapati diri mereka lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dan peluang dalam dunia pekerjaan yang kompetitif ini. Oleh itu, adalah penting bagi graduan untuk memberi perhatian serius kepada penguasaan bahasa sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran diri. Kami di Pusat Bahasa Moden, UMPSA sentiasa menyokong penuh usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak UMPSA, KPT dan juga dasar-dasar negara Malaysia terutamanya dalam usaha-usaha kerajaan meningkatkan kualiti graduan dalam bidang TVET.
Kesimpulannya, penguasaan bahasa yang baik adalah penting bagi graduan dalam meningkatkan kemahiran komunikasi dan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja global. Di UMPSA, PBM memainkan peranan utama dalam memperkukuh kemahiran bahasa para graduan melalui pelbagai kursus dan program yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pelajar dan profesional. Ini selaras dengan matlamat TVET yang menekankan pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional, memastikan graduan UMPSA bersedia untuk menyumbang kepada industri dengan kemahiran yang komprehensif, termasuk kemahiran bahasa yang kukuh. Semoga sumbangan kecil kami di bidang bahasa ini dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan pada peringkat global terutamanya dalam meningkatkan kemahiran komunikasi graduan dalam pelbagai bahasa.
Penulis-penulis adalah Pensyarah Kanan dan Guru Bahasa Kanan di Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: ezi@umpsa.edu.my, rosnani@umpsa.edu.my, dan ainun@umpsa.edu.my
- 643 views