Kerjaya ‘Orang Yang Berkelayakan (OYB) Lif’, peluang baharu graduan UMPSA
Dasawarsa ini, negara kita membangun dengan pesat seiring dengan perkembangan teknologi dunia. Lantaran itu, peluang kerjaya juga telah banyak dicipta bagi memenuhi tenaga kerja lebih-lebih lagi negara juga sedang menggalakkan pemain industri teknologi utama untuk menyokong pekerjaan berasaskan TVET dan sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat. Maka, tidak hairanlah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) turut melahirkan ramai graduan bagi memenuhi saranan pihak kerajaan untuk merancakkan lagi industri TVET dalam negara.
Seperti yang kita sedia maklum, pelbagai kerjaya wujud di negara kita yang boleh mendatangkan pendapatan dan menjana ekonomi. Walau bagaimanapun, mungkin ramai di antara kita yang jarang mengetahui kewujudan kerjaya sebagai Orang Yang Berkelayakan (OYB) Lif yang mana kerjaya ini mampu memberikan pendapatan yang agak lumayan kerana kompetensi yang diperakui oleh Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Mengikut Panduan Gaji Permulaan bagi 200 pekerjaan terpilih buku terbitan Kementerian Sumber Manusia, kerjaya ini yang dahulunya dipanggil Orang Yang Kompeten (OYK) Lif mampu memberikan pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000.00 bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat kompetensi yang diperlukan oleh Jabatan Keselamatan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Berdasarkan panduan daripada JKKP, kerjaya OYB Lif ini mempunyai tiga tahap atau gred iaitu OYB Lif Gred 3 adalah kompetensi yang paling minimum dan antara tugas utama jawatan ini adalah memastikan lif disenggarakan sekali setiap bulan dan membuat pemeriksaan berkala sekurang-kurangnya sekali setiap tiga bulan bagi memastikan lif dapat digunakan dengan baik dan selamat. Manakala OYB Lif Gred 2 pula adalah kompetensi yang dikeluarkan bagi memastikan pemegang kompetensi ini menjalankan pemeriksaan berkala lif bersama pegawai JKKP bagi setiap 15 bulan tempoh Sijil Perakuan Lif seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Loji Yang Menghendaki Perakuan Kelayakan) 2024.
OYB Lif Gred 1 pula adalah kompetensi yang dikeluarkan oleh pihak JKKP bagi membolehkan pemegang lesen mengesahkan kerja pemasangan baharu lif bagi memastikan reka bentuk lif tersebut mematuhi keperluan keselamatan dan bersesuaian dengan asas-asas kejuruteraan yang betul. Mengikut cadangan gaji pokok yang dicadangkan oleh Kementerian Sumber Manusia, pendapatan pemegang kompetensi ini boleh mencecah sebanyak RM10,000.00 yang sudah semestinya beberapa kriteria yang perlu dilihat sebelum layak untuk memohon kompetensi ini dengan JKKP.
Sebelum berbicara berkenaan syarat-syarat kelayakan untuk mendaftar sebagai OYB Lif, mari kita lihat betapa pentingnya tugas-tugas pemegang kompetensi ini kerana kerjaya ini juga adalah tergolong dalam sektor kerjaya 3D iaitu (kotor, bahaya dan sukar). Mereka yang berkerjaya seperti ini, perlu bekerja di tempat yang tinggi seperti di atas lif, (bukan di dalam lif) dan juga bekerja di ruang yang sempit dan tertutup seperti di dalam lubang lift pit. Bayangkan jika aktiviti senggaraan atau pemasangan lif ini melibatkan jumlah tingkat lif yang tinggi seperti bangunan 20 ke 30 tingkat sudah semestinya mereka ini perlu bekerja dengan keperluan keselamatan yang ketat bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
Ramai di antara kita mungkin biasa menggunakan lif sama ada di pejabat, di rumah (pangsapuri, flat) atau di mana sahaja, namun, mungkin kita lupa mereka inilah yang bertanggungjawab memastikan lif tersebut dapat digunakan dengan baik dan mereka ini jugalah yang menguruskan juruteknik yang membaik pulih lif jika mana-mana lif tersebut rosak. Maka tidak hairanlah cacian dan makian terhadap mereka seolah-olah biasa dan ada kes vandalisme terhadap lif ini kerap berlaku kerana ingin melepaskan kemarahan walhal, ada kes kerosakan lif ini berpunca daripada penyalahgunaan pengguna lif di premis itu sendiri.
Dalam pada itu, bagi memberikan sedikit gambaran betapa pentingnya kerjaya ini, tahukah anda bahawa, setiap lif perlu ditampal Sijil Perakuan Lif atau dalam bahasa mudahnya seperti road tax kereta yang sentiasa perlu dipamerkan yang mana perakuan ini juga mempamerkan tarikh tempoh sah lif atau CF dan dalam tempoh ini, mereka yang berkerjaya inilah yang menjadi pihak wakil kontraktor lif untuk memastikan lif tersebut berada dalam keadaan baik dan selamat. Selain itu, mengikut keperluan pihak JKKP, mana-mana lif yang digunakan oleh orang awam perlu didaftarkan dengan JKKP dan perlu melantik kontraktor lif bagi menjalankan kerja-kerja senggaraan dan kerja berkaitan dan perlu mempunyai sekurang-kurangnya 12 bulan tempoh kontrak.
Mengikut syarat-syarat kelayakan permohonan pendaftaran baharu sebagai OYB Lif Gred 1 oleh JKKP, mereka yang ingin mendaftar hendaklah, mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal/Elektrikal/Elektronik atau setaraf dengannya yang diiktiraf oleh Malaysian Qualification Accreditation (MQA) atau The Board of Engineers (BEM) dan mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun dalam bidang pemasangan, penelitian, pengujian dan penyelenggaraan untuk lif dan eskalator.
Selain itu, mereka yang mempunyai Diploma Kejuruteraan Mekanikal/Elektrikal/Elektronik atau setaraf atau Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dalam bidang yang sama juga layak bagi memohon untuk mendapatkan kompetensi ini dan mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya sepuluh tahun dalam bidang pemasangan, penelitian, pengujian dan penyelenggaraan untuk lif dan eskalator dan perlu bekerja tetap dengan syarikat yang berdaftar dengan JKKP.
Penulis adalah alumni, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: mtalhah@yahoo.com
- 1004 views