Skip to main content

Kesatuan Mahasiswa beri autonomi lebih besar kepada kepimpinan pelajar

Kesatuan Mahasiwa atau lebih dikenali sebagai Student Union merupakan badan yang dianggotai oleh sekumpulan pelajar universiti dan berfungsi sebagai wakil rasmi suara pelajar, serta menjadi platform untuk mengurus kebajikan, aktiviti sosial, budaya, akademik dan advokasi hak pelajar. 

Dalam konteks universiti di Malaysia, selepas beberapa kali pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dilakukan, maka Kesatuan Mahasiswa telah diperkasakan dengan memberi ruang dan peluang kepada semua mahasiswa melibatkan diri dalam tadbir urus kampus. Selain itu kesatuan ini turut berperanan sebagai jambatan komunikasi antara pelajar dan pihak pengurusan universiti, di samping menggalakkan penglibatan pelajar dalam proses demokrasi kampus dan memupuk kepimpinan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Kesatuan Mahasiswa beri autonomi lebih besar kepada kepimpinan pelajar

Secara asasnya, Kesatuan Mahasiswa diuruskan oleh pelajar sendiri melalui pemilihan secara demokrasi atau pilihan raya kampus yang dijalankan oleh semua universiti dan kolej pada setiap tahun. Kesatuan ini akan membentuk barisan kepimpinan yang mewakili pelajar dalam pelbagai hal seperti kebajikan, akademik, kebudayaan dan dasar universiti. Kesatuan yang dibentuk ini akan diberikan ruang dan autonomi untuk terlibat secara langsung sebagai ahli mesyuarat penting diperingkat universiti dan simping dapat menentukan kelulusan program anjuran pelajar universiti masing-masing. Bidang kuasa yang dilihat lebih terbuka ini sedikit sebanyak dapat meingkatkan kesedaran kepada mahasiswa bahawasanya berapa pentingnya penglibatan mereka dalam membuat dasar demi menjaga kebajikan rakan-rakan mahasiswa.

Cabaran Besar Pelaksanaan Kesatuan Mahasiswa

Secara dasarnya, peranan dan fungsi Kesatuan Mahasiswa ini sangat besar dalam memberikan pengalaman kepada mahasiswa. Walau bagaimanapun, penubuhan kesatuan ini tidak lari daripada cabaran dalam pelaksanaannya. Antara cabaran besar yang dapat diketengahkaan pertama ialah, soal autonomi sebenar badan mahasiswa. Dalam kebanyakkan universiti, keputusan dan aktiviti kesatuan masih tertakluk kepada kelulusan pihak pentadbiran, menyebabkan ruang kebebasan pelajar untuk merancang program atau menyuarakan pandangan secara bebas masih terbatas. Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada kesatuan mahasiswa benar-benar berfungsi secara bebas atau sekadar simbol representasi pelajar.

Kesatuan Mahasiswa beri autonomi lebih besar kepada kepimpinan pelajar

Kedua, kurangnya minat dan kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap peranan serta kepentingan kesatuan mahasiswa. Ramai mahasiswa menganggap badan ini hanya tertumpu pada urusan rasmi kampus, bukan wadah memperjuangkan kebajikan dan hak pelajar. Kekurangan pendedahan mengenai fungsi sebenar kesatuan menyebabkan kadar penyertaan dalam aktiviti, mesyuarat, dan pilihan raya mahasiswa masih rendah, sekali gus menjejaskan keberkesanan organisasi ini sebagai suara kolektif pelajar.

Manakala ketiga, Kesatuan mahasiswa juga berdepan kekangan sumber kewangan dan sokongan logistik, terutamanya dalam peringkat awal pelaksanaannya. Tanpa dana mencukupi dan kemudahan yang efisien, banyak kesatuan sukar menjalankan program berskala besar atau mengurus operasi harian secara profesional. Kekangan ini menjejaskan kelestarian pentadbiran kesatuan dan membataskan keupayaan mereka untuk melaksanakan agenda kebajikan serta advokasi pelajar secara berterusan.

Melalui ketiga-tiga cabaran yang diketengahkan ini sudah semestinya perlu diteliti dari semasa ke semasa dalam memastikan bahawa Kesatuan Mahasiswa di setiap universiti kekal relevan dan berfungsi dengan baik mengikut keperluan dan fungsi penubuhannya. 

Secara keseluruhannya, melalui perbincangan ini menunjukkan pelaksanaan kesatuan mahasiswa di universiti merupakan langkah penting dalam memperkukuh suara pelajar serta membina budaya demokrasi kampus yang matang. Namun, kejayaan usaha ini masih bergantung kepada sejauh mana universiti mampu memberi ruang autonomi sebenar kepada pelajar, meningkatkan kesedaran dan penglibatan mahasiswa secara menyeluruh, serta menyediakan sokongan sumber yang mencukupi bagi menjamin kelestarian organisasi tersebut. Dengan kerjasama yang seimbang antara pihak pentadbiran dan mahasiswa, kesatuan mahasiswa berpotensi menjadi wadah dinamik yang bukan sahaja memperjuangkan kebajikan pelajar, tetapi juga melahirkan generasi pemimpin muda yang berwibawa, berprinsip dan bertanggungjawab terhadap pembangunan negara.

Kesatuan Mahasiswa beri autonomi lebih besar kepada kepimpinan pelajar

 

 

 

 

 

 

 

Oleh: DR. ABDUL HADI SAMSI
E-mel: hadisamsi@umpsa.edu.my

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Reports by:
AINIEY