Keselamatan Murid Neurodivergen: Sejauh Mana Sekolah Benar-benar Bersedia?
Bayangkan seorang kanak-kanak berada di tengah-tengah perhimpunan sekolah. Ratusan murid sedang bercakap, kerusi diseret, mikrofon berbunyi nyaring, guru memberikan ucapan dan kemudian loceng berbunyi dengan kuat. Bagi kebanyakan kita, itu hanyalah suasana biasa di sekolah. Namun, bagi seorang murid neurodivergen, beberapa minit tersebut mungkin terasa seperti dunia yang tiba-tiba menjadi terlalu kuat, terlalu terang dan terlalu sukar untuk diproses.
Neurodivergen merujuk kepada individu yang mempunyai cara perkembangan dan fungsi neurologi yang berbeza daripada apa yang lazim dianggap sebagai norma. Ia merangkumi pelbagai bentuk perbezaan neurologi seperti autisme, ADHD, disleksia dan keadaan perkembangan lain yang boleh mempengaruhi cara seseorang menerima maklumat, memproses rangsangan, berkomunikasi, belajar dan bertindak balas terhadap persekitaran. Namun, setiap individu mempunyai keperluan yang berbeza. Ada yang sensitif terhadap bunyi, cahaya atau sentuhan, mmuridala yang lain mungkin menghadapi cabaran dalam memproses arahan, perubahan rutin atau interaksi sosial.
Seorang murid neurodivergen mungkin menutup telinga, menjadi gelisah, menangis atau cuba meninggalkan kawasan tersebut. Kita mungkin menganggapnya sebagai masalah tingkah laku. Tetapi bagaimana jika sebenarnya dia sedang meminta pertolongan? Persoalan ini membawa kita kepada satu isu yang semakin penting dalam perkembangan pendidikan di Malaysia. Neurodiversiti bukan sekadar isu pendidikan khas, tetapi juga berkait dengan keselamatan, pengurusan risiko dan reka bentuk persekitaran sekolah yang inklusif.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan pendidikan bagi murid neurodivergen berkeperluan pendidikan khas (MBPK) melalui tiga laluan utama, iaitu Sekolah Pendidikan Khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI). Usaha memperluas akses pendidikan dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif merupakan langkah penting dalam memastikan setiap murid neurodivergen mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya. Namun, apabila lebih ramai murid neurodivergen dengan pelbagai keperluan berada dalam ekosistem sekolah yang sama, kita perlu bertanya: adakah sistem keselamatan sekolah turut berkembang seiring dengan kepelbagaian keperluan murid neurodivergen?
Pada bulan Jun 2025, KPM mengumumkan pembinaan bilik darjah tambahan dan kemudahan lain di 121 sekolah berkepadatan tinggi di tujuh negeri, termasuk kemudahan bagi PPKI, dengan kos keseluruhan RM88 juta. Perkembangan ini menunjukkan bahawa aspek kapasiti, ruang dan akses sedang diberi perhatian. Namun, pembinaan ruang baharu juga perlu disertai dengan pertimbangan terhadap bagaimana ruang tersebut memberi respons kepada kepelbagaian cara murid neurodivergen berfikir, berkomunikasi, bergerak dan bertindak balas terhadap persekitaran.
HIRARC dan Keselamatan Murid Neurodivergen
Dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, konsep Hazad Identification, Risk Assessment and Risk Control (HIRARC) merupakan suatu pendekatan yang digunakan secara meluas untuk mengenal pasti bahaya, menilai risiko dan melaksanakan kawalan risiko.Secara asasnya, HIRARC membantu kita mengenal pasti hazad, menilai risiko dan menentukan kawalan yang bersesuaian. Pendekatan ini lazimnya digunakan dalam persekitaran pekerjaan seperti kilang, makmal, bengkel dan tapak pembinaan. Namun, prinsip yang sama boleh digunakan untuk melihat keselamatan sekolah daripada perspektif yang lebih inklusif.
Apabila HIRARC dijalankan di sekolah, kita lazimnya memikirkan tentang lantai licin, tangga, elektrik, peralatan sukan, makmal atau bahan kimia. Semua hazad tersebut sememangnya penting. Tetapi bagaimana pula dengan bunyi loceng yang terlalu kuat, kesesakan di koridor, cahaya yang terlalu terang, perubahan rutin secara tiba-tiba atau arahan yang terlalu kompleks? Bagi sesetengah murid neurodivergen, faktor-faktor tersebut mungkin menjadi pencetus kepada tekanan atau lebihan rangsangan deria.
Sebagai contoh, bunyi loceng yang kuat mungkin tidak memberi kesan kepada kebanyakan murid biasa. Tetapi bagi murid neurodivergen yang sensitif terhadap bunyi, rangsangan tersebut mungkin menyebabkan distres, kehilangan fokus atau panik. Dari perspektif HIRARC, bunyi pada tahap yang tinggi merupakan hazad, manakala murid neurodivergen dengan sensitiviti deria tertentu merupakan golongan yang terdedah kepada hazad tersebut. Pendedahan kepada hazad ini berpotensi menyebabkan lebihan rangsangan deria yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan murid, termasuk kehilangan kawalan diri, pergerakan tidak terkawal, risiko terjatuh serta percubaan untuk meninggalkan kawasan yang selamat.
Di sinilah wujudnya keperluan membezakan antara tingkah laku dan isyarat risiko. Murid neurodivergen yang menutup telinga mungkin dianggap tidak mahu mendengar. Murid neurodivergen yang keluar dari kelas mungkin dianggap melanggar disiplin. Murid neurodivergen yang menangis ketika perhimpunan mungkin dianggap tidak dapat mengawal emosi. Namun, daripada perspektif pengurusan risiko, tingkah laku murid neurodivergen tersebut juga boleh menjadi petunjuk bahawa terdapat hazad atau pencetus tertentu yang belum dikenal pasti.
Ini tidak bermakna semua tingkah laku perlu dibiarkan. Keselamatan tetap memerlukan prosedur, sempadan dan kawalan. Tetapi kawalan yang berkesan perlu memahami punca. Jika kita hanya menghukum tingkah laku tanpa memahami pencetusnya, kita mungkin sedang mengawal simptom dan bukannya mengawal risiko.
Ke Arah Keselamatan Sekolah yang Lebih Inklusif
Dalam konteks ini, pendekatan Pengurusan Risiko Keselamatan Sekolah Inklusif boleh dipertimbangkan sebagai satu kerangka yang menggabungkan prinsip HIRARC dengan kefahaman terhadap faktor manusia dan keperluan murid neurodivergen. Pendekatan ini bukan untuk menggantikan sistem keselamatan sekolah sedia ada, tetapi untuk memperkayakannya dengan perspektif bahawa risiko tidak dirasai oleh semua individu dengan cara yang sama.
Pendekatan ini boleh bermula dengan mengenal pasti hazad, menentukan siapa yang terdedah, memahami bagaimana individu mungkin bertindak balas, menilai tahap risiko dan memilih kawalan yang sesuai. Kawalan pula tidak semestinya memerlukan kos yang tinggi. Ia boleh melibatkan komunikasi visual, amaran awal sebelum aktiviti tertentu, susunan ruang yang lebih sesuai, kawasan yang lebih tenang, penyesuaian prosedur kecemasan, latihan guru serta pemantauan tanda awal distres.
Lebih penting, HIRARC dalam konteks ini tidak seharusnya menjadi sekadar borang yang diisi dan disimpan. Ia perlu menjadi satu proses pembelajaran. Jika seorang murid neurodivergen berulang kali mengalami distres ketika perhimpunan atau cuba meninggalkan kelas ketika aktiviti tertentu, keadaan tersebut boleh menjadi isyarat amaran awal yang membantu sekolah menilai semula keberkesanan kawalan yang telah dilaksanakan.
Pengurusan risiko yang inklusif juga tidak boleh dibebankan kepada guru pendidikan khas sahaja. Keselamatan merupakan tanggungjawab seluruh ekosistem sekolah. Guru arus perdana, guru pendidikan khas, pihak pengurusan, kaunselor, Pembantu Pengurusan Murid neurodivergen, ibu bapa dan pihak berkaitan perlu mempunyai kefahaman asas tentang bagaimana neurodiversiti boleh mempengaruhi respons seseorang murid neurodivergen terhadap hazad dan situasi kecemasan.
Keselamatan untuk Semua
Apabila kita memperluas akses pendidikan khas melalui program seperti PPKI dan PPI, kita sebenarnya sedang membina ekosistem sekolah yang lebih pelbagai. Perkembangan ini perlu disokong dengan peluasan kapasiti keselamatan. Kita tidak boleh hanya bertanya, “Berapa banyak kelas PPKI yang boleh diwujudkan?” Kita juga perlu bertanya, “Sejauh mana sekolah kita bersedia memastikan setiap murid neurodivergen belajar, bergerak dan berada dalam persekitaran yang selamat?” Inilah titik pertemuan antara pendidikan khas dan keselamatan.
Sekolah yang inklusif bukan sekadar sekolah yang menyediakan ruang untuk semua. Ia adalah sekolah yang memahami bahawa setiap murid mungkin berhadapan dengan risiko yang berbeza. Dalam konteks neurodiversiti, keselamatan tidak boleh diukur hanya berdasarkan ketiadaan kecederaan fizikal. Kita juga perlu melihat sama ada persekitaran, prosedur dan sistem sokongan mampu mengurangkan pencetus yang boleh membawa kepada distres atau kejadian yang tidak diingini.
Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti melihat keselamatan sekolah hanya melalui kanta fizikal. Keselamatan bukan sekadar pagar yang kukuh, alat pemadam api atau laluan kecemasan. Keselamatan juga ialah apabila seorang murid berasa cukup selamat untuk memberitahu bahawa bunyi itu terlalu kuat, apabila seorang guru memahami bahawa perubahan tingkah laku mungkin merupakan satu isyarat, dan apabila sekolah mempunyai sistem yang mampu bertindak sebelum distres berubah menjadi insiden.
Akhirnya, neurodiversiti bukan sekadar persoalan tentang bagaimana seorang murid belajar. Ia juga persoalan tentang bagaimana seorang murid berinteraksi dengan persekitaran, bagaimana dia menerima risiko dan bagaimana sistem di sekelilingnya bertindak balas terhadap keperluannya. Justeru, apabila Malaysia terus memperkukuh akses pendidikan khas, kita juga perlu memperluas definisi sekolah yang selamat. HIRARC boleh menjadi salah satu kerangka untuk memulakan perbincangan tersebut. HIRARC bukan sekadar mengenal pasti hazad fizikal, tetapi memahami siapa yang terdedah, bagaimana risiko dialami dan apakah kawalan yang benar-benar berkesan dalam melindungi keselamatan murid neurodivergen.
Mungkin persoalan yang perlu kita tanyakan bukan lagi, “Bagaimana kita mahu murid neurodivergen ini menyesuaikan diri dengan sekolah?” Sebaliknya, kita perlu bertanya, “Bagaimana kita boleh menyesuaikan sistem keselamatan sekolah supaya setiap murid neurodivergen mempunyai peluang yang sama untuk belajar, berkembang dan kekal selamat?”
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Oleh: Dr. Afiza Abdullah Suhaimi
Pensyarah Kanan
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Fakulti Sains dan Teknologi Industri
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Oleh: Nur Fazrina Mohamad Salleh
Felo Perunding
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Fakulti Sains dan Teknologi Industri
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Oleh: Nurliyana Aqilah Mohd Azmi
Juruterapi Pekerjaan MAHPC (OT)
MyKidz Evaluation & Therapy Centre
Kuantan, Pahang
- 40 views
Reports by: