Skip to main content

Krisis Pelarian Rohingya: Cabaran Kemanusiaan dan Tanggungjawab Global

rohinhya
Gambar kredit kepada https://www.hrw.org/news/2019/09/07/bangladesh-clampdown-rohingya-refugees

Dunia pada masa kini berdepan dengan pelbagai isu global, termasuk konflik bersenjata, krisis kemanusiaan dan bencana alam yang memberi kesan besar terhadap kesejahteraan masyarakat antarabangsa. Antara isu yang memerlukan perhatian serius ialah krisis kemanusiaan yang melibatkan etnik Rohingya. Krisis pelarian Rohingya merupakan salah satu isu kemanusiaan yang paling kritikal pada abad ke-21, di samping konflik yang berterusan di Palestin. 

Siapakah etnik Rohingya ini?. Kenapa dengan mereka?  Etnik Rohingya merupakan kumpulan etnik yang berasal dari wilayah Rakhine, Myanmar, dan majoriti daripada mereka beragama Islam. Di negara asal mereka, etnik ini telah lama berdepan dengan pelbagai bentuk diskriminasi, penindasan serta konflik yang berpanjangan. Keadaan tersebut telah menyebabkan ramai dalam kalangan mereka terpaksa meninggalkan tanah air dan mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran seperti Bangladesh, Malaysia, Indonesia dan Thailand. Krisis pelarian Rohingya bukan sahaja mencerminkan cabaran kemanusiaan yang kompleks, malah turut menuntut komitmen dan tanggungjawab bersama daripada masyarakat antarabangsa dalam melindungi hak asasi manusia serta mencari penyelesaian yang efektif terhadap isu tersebut.

Punca Krisis Pelarian Rohingya

Isu Rohingya berpunca daripada konflik kemanusiaan dan ketidakstabilan politik yang berpanjangan di Myanmar. Krisis ini merujuk kepada pelbagai bentuk penindasan, diskriminasi, pengusiran paksa dan tindakan keganasan yang dialami oleh masyarakat Muslim Rohingya, khususnya di daerah Rakhine. Keadaan yang berlarutan selama beberapa dekad telah menyebabkan lebih daripada satu juta etnik Rohingya meninggalkan tanah air mereka dan mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran seperti ke Thailand, Bangladesh, Malaysia dan Indonesia. 

Masyarakat Rohingya telah menjadi mangsa keganasan dan pengusiran paksa sejak bertahun lamanya. Kemuncak konflik berlaku pada tahun 2016 dan 2017 apabila operasi ketenteraan di daerah Rakhine mengakibatkan kemusnahan kawasan penempatan, kehilangan nyawa dan perpindahan penduduk secara besar-besaran. Situasi ini memaksa ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri ke negara-negara jiran bagi mendapatkan perlindungan dan keselamatan. Kebanyakan pelarian Rohingya mendapatkan perlindungan di kawasan Cox’s Bazar, Bangladesh, yang kini dikenali sebagai salah satu penempatan pelarian terbesar di dunia. Sebahagian yang lain berhijrah melalui laluan darat dan laut ke negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia. 

Selain daripada itu, krisis Rohingya juga timbul disebabkan penafian hak kewarganegaraan kepada etnik Rohingya. Masyarakat Rohingya tidak diiktiraf sebagai salah satu kumpulan etnik rasmi di Myanmar dan dinafikan status kerakyatan di bawah undang-undang kewarganegaraan negara tersebut. Akibatnya, mereka tergolong sebagai komuniti tanpa negara (stateless) dan berdepan pelbagai sekatan terhadap hak-hak asas seperti pendidikan, pekerjaan, kebebasan bergerak serta akses kepada perkhidmatan kesihatan.

Faktor seterusnya yang menyumbang ke arah krisis berpanjangan ini juga sangat berkaitan dengan sistem politik dan pentadbiran Myanmar. Penguasaan dan pemusatan kuasa oleh pihak tentera yang mengehadkan kuasa kerajaan awam, kepelbagaian parti politik mengikut etnik, dan kegagalan sistem demokrasi. Dengan perkataan lain, Myanmar terus menghadapi cabaran dalam laluannya ke arah demokrasi. Bagi Myanmar, Rohingya adalah ‘Benggali’ yang berasal dari Bangladesh dan bukannya dari Arakan sebagaimana didakwa oleh sejarawan dan beberapa ilmuwan. Maka, mereka menolak untuk membincangkan masalah Rohingya walaupun ada desakan untuk junta berbincang mengenai etnik Rohingya.

Secara keseluruhannya, penafian hak kewarganegaraan, diskriminasi sistematik dan konflik berterusan di Myanmar merupakan faktor utama yang menyumbang kepada krisis Rohingya. Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan cabaran kemanusiaan yang serius, malah memberi kesan kepada kestabilan sosial dan keselamatan serantau. 

Cabaran Kemanusiaan

Pergerakan atau pemindahan manusia ke suatu tempat baharu sudah pasti akan menimbulkan cabaran. Dalam konteks pelarian politik, mereka akan menghadapi pelbagai kesukaran sepanjang perjalanan, dan penerimaan negara penerima. Biasanya mereka akan ditempatkan di kem-kem pelarian dengan kemudahan yang terhad. Jika ada yang keluar dari kem dan membina kehidupan di luar, mereka akan berhadapan dengan kekurangan makanan, air bersih, kemudahan kesihatan, peluang pendidikan serta kekurangan atau ketiadaan peluang pekerjaan. Ini akan menjejaskan kualiti hidup mereka dan secara tidak langsung kanak-kanak Rohingya berisiko kehilangan akses kepada pendidikan, sekali gus menjejaskan masa depan mereka. Ketiadaan peluang pekerjaan menyebabkan ramai yang keluar meminta bantuan masyarakat tempatan, menagih simpati dengan meminta derma di jalanan bagi meneruskan kehidupan. Tanpa dokumen pengenalan dan perjalanan yang sah, mereka sukar mendapatkan pekerjaan dan sering terdedah kepada eksploitasi, pemerdagangan manusia serta diskriminasi sosial. Keadaan ini menjadikan kehidupan mereka terus berada dalam kegelapan. 

Tanggungjawab Global

Krisis Rohingya bukanlah masalah yang perlu ditanggung oleh negara penerima semata-mata. Komuniti antarabangsa mempunyai tanggungjawab untuk membantu menangani isu ini melalui kerjasama diplomatik, bantuan kemanusiaan dan usaha mencari penyelesaian jangka panjang. Organisasi antarabangsa seperti United Nations dan United Nations High Commissioner for Refugees memainkan peranan penting dalam menyediakan bantuan kepada pelarian serta memperjuangkan hak mereka. Selain itu, Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) perlu memainkan peranan menyelamatkan orang Islam daripada terus didiskriminasi dan dianiaya. Ini selaras dengan OIC yang mempunyai peranan penting dalam politik dan diplomasi bagi negara-negara Islam. Pertubuhan Negara-negara ASEAN, perlu menjadi penyelamat kepada masalah yang berlaku di negara-negara yang menganggotai ASEAN dengan mengadakan dialog untuk menyelesaikan krisis ini. Begitu juga pertubuhan KOMANWEL perlu bersama membantu negara bekas jajahan British.  

Negara-negara seluruh dunia perlu bekerjasama bagi menyelesaikan masalah Rohingya. Ini dapat dilakukan dengan menyumbang sokongan kewangan dan teknikal kepada negara yang menerima pelarian dalam skala yang besar. Selain itu, tekanan diplomatik perlu dilaksanakan bagi memastikan hak asasi masyarakat Rohingya dipelihara, dihormati dan sah di sisi undang-undang berkenaan. 

Malaysia antara negara yang sekian lama memandang serius isu Rohingya dan menerima kemasukan Rohingya ke negara ini sejak tahun 1980-an lagi.  Ini membuka peluang untuk mereka datang beramai-ramai ke negara ini. Berdasarkan data UNHCR, mereka kini membentuk komuniti kecil di Lembah Kelang, Pulau Pinang, Kedah dan Pahang. Kebanyakannya bekerja di sektor pembinaan, pertanian dan ladang getah. 

Rohingya di sektor pembinaan

Dalam hal ini, Malaysia mengamalkan pendekatan berasaskan kemanusiaan dengan cara menerima golongan terbabit secara sementara, tetapi proses penghantaran pulang dan penempatan semula sangat sukar dilakukan dalam masa yang singkat. Kebanyakan Rohingya yang datang ke Malaysia adalah pendatang dari Bangladesh dan bukan sebahagian daripada 137 minoriti di negara itu. Sudah sampai masanya untuk Malaysia mengambil tindakan yang wajar untuk mengelakkan isu pelarian Rohingya menjadi ‘barah’ yang akan merosakkan masyarakat dan negara ini pada masa kini dan masa akan datang.
  
 

Rohingya mengemis di bandar raya KLRohingya di Shah Alam

Tidak banyak yang boleh dilakukan oleh negara Malaysia memandangkan penindasan ke atas Rohingya gagal di pentas diplomatik. Ini dapat dilihat semasa Sidang kemuncak ASEAN di Langkawi dan Kuala Lumpur 2025 langsung tidak menyebut mengenai krisis Rohingya kerana memberi laluan kepada isu Palestin dan negara serantau. Begitu juga Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun yang sama memfokuskan kepada krisis di Palestin, perubahan iklim, perdagangan dan sebagainya.

Krisis pelarian Rohingya merupakan isu kemanusiaan yang memerlukan perhatian dan tindakan bersama daripada seluruh dunia. Isu ini menunjukkan betapa pentingnya perlindungan hak asasi manusia dipelihara tanpa mengira bangsa, agama dan negara. Ia dapat diselesaikan dengan kerjasama dan komitmen berterusan antarabangsa memandangkan isu Rohingya adalah masalah global. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab komuniti antarabangsa untuk membantu menangani isu ini melalui kerjasama diplomatik, bantuan kemanusiaan dan usaha mencari penyelesaian jangka panjang. 

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Dr. Hasnah Hussiin

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri