Skip to main content

Malaysia di mata mereka: Apa yang pelajar antarabangsa faham tentang kita?

Kadangkala kita memerlukan cermin untuk melihat sesuatu yang selama ini ada di depan mata. Begitu juga dengan Malaysia. Setelah terlalu lama hidup di dalamnya, kita mungkin tidak lagi menyedari perkara-perkara kecil yang menjadikan negara ini begitu dekat dengan kehidupan kita seperti senyuman ketika bertemu, soalan “Sudah makan?”, semangkuk makanan yang dikongsi, rakan yang datang daripada latar berbeza dan suasana sebuah surau yang tiba-tiba menjadi tempat bertemunya manusia daripada pelbagai dunia.

Untuk melihat semua itu semula, mungkin kita perlu memandang Malaysia melalui mata orang lain.

Pengalaman itu saya temui dalam cerita seorang pelajar antarabangsa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dari Palestin, Mushtaha Eman A N

Ketika berkunjung ke sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Lanchang, Temerloh Pahang, Eman menjalankan aktiviti bersama-sama murid menggunakan bahasa Melayu melalui Program SULAM Meriah Bahasa Melayu. Kehadirannya membuatkan murid-murid teruja. Bagi mereka, Palestin selama ini mungkin hanya dikenali melalui kaca televisyen. Pada hari itu, sebuah negara yang jauh hadir begitu dekat dan dalam bentuk seorang manusia yang boleh diajak berbual, tersenyum dan menjalankan aktiviti bersama-sama bahkan menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi.

Pertemuan itu sederhana, tetapi kesannya membuatkan saya berfikir.

Sebuah negara yang jauh tiba-tiba menjadi dekat apabila hadir di hadapan mata dalam bentuk seorang manusia.

Daripada satu pertemuan itu, saya mula melihat semula Malaysia melalui pengalaman pelajar antarabangsa yang lain. 

Setelah lebih sepuluh tahun mengajar dan berinteraksi dengan mereka, saya sering mendengar bagaimana perkara-perkara kecil di sini meninggalkan kesan yang mungkin tidak kita sedari. Mereka datang untuk menimba ilmu, tetapi dalam perjalanan itu mereka turut belajar tentang bahasa, budaya, makanan dan kehidupan masyarakat Malaysia.

Dan kadangkala, perkara pertama yang mereka pelajari tentang kita bukanlah sesuatu yang besar.

Hanya dua perkataan:

“Sudah makan?”

Soalan ringkas itu mungkin kedengaran biasa bagi kita. Namun, bagi Eman, soalan itu antara perkara yang menarik perhatiannya tentang orang Malaysia. Katanya, apabila bertemu seseorang, orang Malaysia suka tersenyum dan bertanya, “Sudah makan?”

Mungkin kita sendiri sudah terlalu biasa dengan soalan itu sehingga tidak lagi menyedari maksud yang tersirat di sebaliknya.

Kita bukan semata-mata mahu tahu sama ada seseorang itu sudah makan atau belum. Kadangkala, itulah cara kita bertanya khabar. Itulah cara kita menunjukkan bahawa kita mengambil berat.

Dan daripada satu soalan tentang makan, cerita mereka membawa saya kepada sesuatu yang lebih besar yakni tentang bagaimana makanan boleh menjadi bahasa yang merapatkan manusia.

Berasal dari negara Gabon, Apenene Gedeon Prunel telah empat tahun menetap di Malaysia. Apabila ditanya tentang makanan Malaysia, jawapannya begitu ringkas:

“Nasi, nasi, nasi.”

Di Gabon, menurut Gedeon, mereka biasa makan roti. Di Malaysia pula, nasi menjadi teman setiap hari iaitu waktu pagi, tengah hari dan malam. Lama-kelamaan, nasi bukan lagi sekadar makanan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada rutin hidupnya.

Selera Gedeon turut berubah. Jika pada awalnya ayam menjadi pilihan, kini beliau sudah mula menikmati pelbagai masakan ikan. “Mungkin kerana nasi,” katanya sambil tersenyum. Nampaknya, bukan sahaja selera yang sudah serasi dengan Malaysia, tetapi nasi juga sudah menjadi sebahagian daripada cerita hariannya di sini.

Namun, makanan tidak pernah hanya tentang rasa.

Kadangkala, makanan membawa kita kepada manusia.

Pengalaman Alsabaeei Amr Sadeq Ahmad dari Yaman pula memperlihatkan perkara itu. Bulan Ramadan memperkenalkannya kepada pengalaman yang lebih dekat dengan masyarakat setempat apabila dia berpeluang menjadi imam di sebuah surau.

Selesai solat, suasana berubah. Jemaah berkumpul untuk berbuka dan menikmati moreh bersama-sama.

Di situlah Amr Sadeq mula mengenali pelbagai makanan tempatan yang sebelum ini mungkin asing baginya, antaranya Laksa Pahang dan Puding Raja. Sambil menikmati hidangan, dia bukan sahaja mengenali nama dan rasa makanan Malaysia, tetapi turut melihat bagaimana masyarakat berkumpul, berkongsi makanan dan meluangkan masa bersama-sama.

Bagi kita, suasana moreh di surau mungkin sesuatu yang biasa setiap kali Ramadan tiba.

Tetapi bagi Amr Sadeq, pengalaman itulah yang membuatkan Malaysia terasa dekat.

Daripada cerita mereka, saya semakin sedar bahawa makanan hanyalah pintu masuk kepada sesuatu yang lebih bermakna. Di sebalik semangkuk laksa, sepotong puding atau sepinggan nasi, ada manusia yang bertemu, berbual, berkongsi dan akhirnya membina kenangan.

Begitu juga dengan Mohammed Ragab Ahmed Mostafa dari negara Sudan yang hampir enam tahun berada di Malaysia menjadikan negara ini ‘rumah kedua’ baginya. Sepanjang berada di sini, dia berkawan dengan rakan daripada pelbagai kaum dan pernah berkunjung, malah bermalam di rumah mereka.

Persahabatan itu terbina dalam kehidupan seharian. Ada masa bermain bola pada waktu petang, bersantai di pantai sekitar UMPSA dan berbual dengan rakan-rakan.

Daripada pergaulan seperti itulah, Mohammed Rajab belajar bertutur dalam bahasa Melayu.

Bagi kita, hidup bersama dalam masyarakat yang berbeza kaum dan agama mungkin sudah menjadi kebiasaan. Kita membesar dengannya. Kita melihatnya setiap hari.

Namun, bagi Mohammed  Regab, pengalaman itu dilalui sendiri  melalui persahabatan, kunjungan ke rumah kawan, permainan, perbualan dan kehidupan hariannya.

Di situlah saya melihat sesuatu yang mungkin sering kita terlepas pandang.

Malaysia bukan hanya sebuah tempat. Malaysia ialah pengalaman hidup bersama.

Pengalaman seperti ini memperlihatkan keramahan masyarakat kita yang mudah mesra, suka membantu dan bertolak ansur. Bagi mereka yang datang dari luar, sikap itulah yang perlahan-lahan membuatkan tempat yang asing terasa seperti rumah sendiri.

Dan mungkin pengalaman mereka juga membuatkan saya melihat Malaysia dengan cara yang berbeza.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, saya berpeluang menyertai perbarisan sempena Hari Kebangsaan.

Anehnya, ketika di bangku sekolah dahulu, saya tidak pernah menyertainya.

Hanya setelah dewasa, saya mula merasakan sesuatu yang berbeza apabila berdiri dalam barisan, mengibarkan Jalur Gemilang dan bersama-sama meraikan kemerdekaan.

Barangkali, cinta kepada negara juga tumbuh begitu iaitu bukan sentiasa hadir sejak kita kecil, tetapi perlahan-lahan terbina melalui pengalaman yang kita lalui.

Apabila mendengar cerita-cerita mereka, saya mula bertanya kepada diri sendiri:

Apakah sebenarnya yang kita faham tentang Malaysia setelah terlalu lama menjadi sebahagian daripadanya?

Selama ini, kita menjalani kehidupan dengan pelbagai perkara yang sudah tersedia di sekeliling kita. Kita belajar di sekolah dan universiti, mendapatkan rawatan apabila sakit, bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan menjalani kehidupan dalam suasana yang aman.

Namun, kerana semua itu sudah ada sejak kita membuka mata, kita mudah menganggapnya sebagai perkara biasa.

Kita membesar dengannya.

Kita menggunakannya setiap hari.

Kita hidup bersamanya.

Lalu, kita mungkin terlupa untuk bertanya tentang nilainya. Apabila perkara yang sama dilihat oleh mereka yang datang dari jauh, ceritanya menjadi sedikit berbeza. Hidangan di rumah kawan boleh menjadi kenangan. Bermain bola pada waktu petang boleh menjadi pengalaman yang dirindui. Belajar menggunakan bahasa Melayu boleh menjadi jambatan kepada persahabatan. Suasana berbuka dan moreh di surau boleh menjadi gambaran tentang masyarakat Malaysia. Dan sebuah universiti boleh menjadi lebih daripada sekadar tempat belajar.

Barangkali, inilah juga salah satu nilai yang lahir melalui kehidupan di UMPSA. Universiti bukan hanya menjadi tempat untuk menimba ilmu, tetapi turut menjadi ruang yang mempertemukan pelajar antarabangsa dengan bahasa, budaya dan masyarakat Malaysia.

Di sinilah mereka membina persahabatan, berkongsi pengalaman dan membawa pulang cerita tentang Malaysia.
Tanpa kita sedari, mereka mungkin datang ke Malaysia untuk mendapatkan ilmu, tetapi dalam masa yang sama mereka membawa pulang sesuatu yang tidak tercatat dalam transkrip akademik iaitu sebuah  pengalaman tentang manusia.

Mungkin selama ini kita terlalu biasa dengan kehidupan sendiri sehingga tidak lagi melihat istimewanya perkara-perkara kecil di sekeliling kita.

Bertegur sapa, berkongsi makanan. bermain bola. belajar bahasa, dan duduk bersama dalam perbezaan. Semuanya kelihatan kecil. Namun, bagi mereka yang datang dari jauh, pengalaman kecil itulah yang perlahan-lahan membentuk cerita tentang Malaysia.

Orang tua-tua berpesan:

“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri.”

Namun, mendengar cerita mereka membuatkan saya terfikir bahawa tempat yang bukan tanah kelahiran juga boleh meninggalkan rasa yang begitu dekat. Mungkin kerana rasa memiliki tidak semestinya bermula daripada tempat kita dilahirkan. Kadangkala, ia tumbuh daripada orang yang kita temui, bahasa yang kita pelajari, makanan yang kita kongsi dan kenangan yang kita cipta bersama.

Mungkin itulah Malaysia yang selama ini ada di depan mata kita iaitu sebuah negara yang dikenali bukan hanya melalui tempat dan namanya, tetapi melalui manusia, bahasa, makanan, persahabatan dan kenangan yang kita cipta bersama.

Sempena Hari Malaysia, mungkin kita hanya perlu melihat sekali lagi. Kali ini, bukan dengan mata kita sendiri.  Tetapi melalui mata mereka yang datang dari jauh.

Dan mungkin, apabila kita melihat Malaysia melalui mata mereka, kita akan sedar bahawa banyak perkara yang kita anggap biasa sebenarnya sangat berharga.

Barangkali, di situlah kita akan kembali mengenali Malaysia. 

Selamat Hari Malaysia

Penulis ialah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Jamilah Bebe Mohamad

Oleh: Jamilah Bebe Mohamad
E-mel: jamilah@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri