Manfaatkan Budi Madani dan Jangan Khianati
Bermula pada 30 September 2025, kerajaan telah menguatkuasakan pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 dengan setiap rakyat Malaysia layak membelinya pada harga RM1.99 per leter dengan had penggunaan bulanan sebanyak 300 liter. Pelaksanaan subsidi ini telah dijenamakan dengan nama Program BUDI Madani yang bertujuan untuk meyalurkan subsidi bersasar bagi bahan api kepada semua rakyat Malaysia sahaja dan merupakan langkah berani Kerajaan Madani untuk menyusun semula sistem subsidi bahan api agar lebih adil, telus dan tidak dinikmati secara berlebihan oleh golongan berpendapatan tinggi di samping tidak digunakan oleh golongan bukan sasaran termasuk warga asing dan syarikat besar.

Dalam kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup melalui Program BUDI ini, masih ada isu penyalahgunaan subsidi dengan beberapa isu penyelewengan subsidi yang masih berlaku sehingga hari ini iaitu menyeludupan RON95 di kawasan sempadan Malaysia. Beberapa laporan telah menunjukkan bahawa terdapat rakyat Malaysia yang sanggup memberikan Mykad mereka kepada penyeludup bagi membolehkan proses pembelian dengan harga subsidi iaitu RM1.99 per leter dan kemudian menjual semula di negara jiran dengan harga yang lebih tinggi. Kesalahan ini boleh dianggap sebagai pengkhianatan besar kepada negara dan mampu membuka ruang manipulasi dan penyeludupan hasil negara.
Hasil daripada penyelewengan ini juga menyebabkan anggaran subsidi RON95 yang mampu memberikan penjimatan kepada negara sebanyak RM8 bilion setahun kepada hanya RM2.5 hingga RM4 bilion setahun sahaja. Hasil anggaraan ini jauh lebih rendah daripada yang diharapkan oleh kerana sikap segelintir rakyat kita sendiri yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan ketirisan dan penyelewengan berleluasa berlaku dan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang terlibat.
Melihat kepada permasalahan yang berlaku ini, terdapat beberapa dicadangkan yang boleh diusahakan bagi mengelakkan ketirisan dalam Program BUDI antaranya, sebagai rakyat Malaysia kita perlu memastikan subsidi ini dimanfaatkan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab. Kita boleh memastikan pengunaan minyak subdisi RON95 ini hanya untuk kegunaan kenderaan sendiri sahaja di samping perlu mengelakkan MyKad disalah guna oleh pihak lain.

Selain itu juga, rakyat perlu bertanggungjawab untuk melaporkan penyalahgunaan subsidi kepada pihak berkuasa melalui saluran aduan rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atau portal Budi Madani. Rakyat perlu berani dalam melaporkan isu penyeludupan dan perlu bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan dalam membantu mengurangkan ketirisan berkenaan. Kepada pihak kerajaan dan pihak bertanggungjawab adalah disarankan untuk mempertingkatkan kawalan sempadan dengan menambah anggota antaranya KPDN, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan sempadan serta boleh mempertingkatkan penggunaan teknologi bagi mengenal pasti pembelian luar biasa bagi subsidi yang telah diberikan. Malah, kerjasama antara kerajaan dengan pelbagai pihak perlu diperkasakan dalam memberikan kesedaran dan pendidikan kepada semua pengguna dan rakyat Malaysia. Terdapat pelbagai cara dalam meningkatkan kesedaran antaranya melalui kempen penerangan di peringkat sekolah, universiti dan masyarakat agar memahami tujuan sebanar subsidi bersasar ini diperkenalkan, di samping memperluas pemahaman rakyat melalui media sosial dan infografik bagi menangkis naratif negetif terhadap pelaksanaan Program BUDI ini.
Tuntasnya, pelaksanaan program BUDI Madani adalah langkah proaktif dalam memastikan subsidi bahan api dapat diagihkan secara adil dan berkesan kepada semua. Walau bagaimanapun, kejayaan program ini amat bergantung kepada sikap dan integriti rakyat. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu ada nilai jati diri yang tinggi serta tidak sesekali menjadi “api dalam sekam” dengan mengkhianati hasil bumi sendiri untuk berkongsi dengan mereka yang tidak sepatutnya. Oleh itu, kita perlu bersama-sama menjayakan usaha ini seterusnya mampu memberikan manfaat dan kemaslahatan rakyat terutamanya melibatkan keadilan sosial dan kestabilan ekonomi negara.

Oleh: Dr. Abdul Hadi Samsi
E-mel: hadisamsi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 89 views