Masihkah Kita Menghargai Makna Keharmonian Bangsa?
Malaysia sering digambarkan sebagai sebuah negara majmuk yang unik kerana dihuni oleh masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, komposisi penduduk negara terdiri daripada Melayu, Bumiputera, Cina, India, Iban, Kadazan dan pelbagai lagi kumpulan etnik lain yang hidup bersama dalam satu sistem kenegaraan. Kepelbagaian ini merupakan kekuatan utama negara, namun pada masa yang sama ia menuntut usaha berterusan untuk memelihara keharmonian sosial. Tanpa keharmonian, perpaduan nasional sukar dicapai dan kestabilan negara boleh terjejas.
Sejarah membuktikan bahawa keharmonian merupakan asas keselamatan negara. Peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 menjadi pengajaran besar bahawa konflik perkauman mampu menggugat keamanan dan pembangunan negara. Walaupun kita sudah hampir menjangkau usia 69 tahun kemerdekaan, Isu melibatkan kaum tidak pernah terlepas dan dilihat semakin meruncing pada masa kini.
Persoalan kepada Isu Keharmonian
Ya, ada pepatah menyatakan “Sedangkan lidah lagikan tergigit” yang mana kehidupan berkongsi ini tidak akan lari daripada konflik. Walau bagaimanapun, ini bukanlah perkara yang boleh dinormalisasikan kerana lama kelamaan akan menyebabkan barah yang boleh mematikan keharmonian yang telah kita bina sekian lama. Dari isu rumah ibadat, mempersendakan busana etnik hinggalah isu besar melibatkan agama acap kali berlaku. Di manakah silapnya? Siapakah puncanya? Bagaimana boleh terjadi? Banyak persoalan yang perlu kita rungkai agar keharmonian negara tetap terjalin dan setiap rakyat mampu memainkan peranan dan bertindak sebagai duta Malaysia di persada dunia.
Impak Tidak Menjaga Keharmonian dalam Negara
Tidak hanya soal keselamatan, keharmonian juga penting bagi kestabilan politik. Negara yang masyarakatnya berpecah-belah akan sukar melaksanakan dasar pembangunan. Dari isu rusuhan 13 Mei 1969 di Malaysia sehingga isu perkauman di India melalui rusuhan Gujurat 2002, seterusnya rusuhan kaum di Fiji yang berlaku sekitar tahun 1987 dan 2000 serta pelbagai lagi isu perkauman yang berlaku tidak satu pun dapat menguntungkan negara yang terlibat. Menurut Laporan Bank Dunia, kestabilan sosial dan kepercayaan antara kumpulan masyarakat meningkatkan keberkesanan polisi awam dan menarik pelabur asing. Kita perlu ingat, pelabur lebih gemar negara yang aman kerana risiko konflik sosial boleh menjejaskan perniagaan. Maka, keharmonian kaum secara langsung menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.
Pada era digital, cabaran kepada menjaga keharmonian semakin mencabar, ini kerana menurut Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia penyebaran ucapan kebencian dan maklumat palsu berkaitan kaum dan agama semakin membimbangkan. Antara contoh isu yang semakin meruncing melibatkan kandungan sensitif berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) iaitu pada tahun 2025 sahaja sebanyak 1,583 permohonan kepada platform media sosial untuk memadam kandungan yang berunsur perkauman. Selain itu juga, data tahun 2023 hingga 2024 menujukkan lebih 2,000 posting berkaitan isu 3R dan potensi menghasut telah diturunkan selain ratusan lagi posting provokatif diambil tindakan. Adakah ini bagus untuk kita tinggalkan pada generasi akan datang? Sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita kena tahu bahawa etika komunikasi menjadi asas bagi memastikan masyarakat berinteraksi secara harmoni.
Keharmonian Tangungjawab Bersama Demi Memperkukuh Perpaduan
Keharmonian antara rakyat Malaysia bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi asas kukuh untuk perpaduan negara. Dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, sikap saling menghormati dan toleransi menjadi benteng utama menangkis provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan. Apabila rakyat menghargai kepelbagaian, mereka bukan sahaja hidup dalam aman dan harmoni, tetapi turut menyemai semangat kerjasama yang menyokong kestabilan sosial dan keamanan negara.
Peranan kerajaan, sekolah dan media pula tidak kurang pentingnya. Melalui pendidikan bersepadu, program komuniti dan kempen kesedaran, institusi ini membentuk masyarakat yang peka dan bertanggungjawab terhadap keharmonian. Penguatkuasaan undang undang melengkapkan usaha ini, memastikan nilai perpaduan bukan sekadar teori, tetapi diamalkan dalam kehidupan seharian. Dengan pendekatan menyeluruh ini, perpaduan negara dapat terus diperkukuh, menjadikan Malaysia sebuah negara yang stabil, aman dan progresif.
Tuntasnya, isu perkauman berpotensi membawa kepada perpecahan negara. Banyak peradaban musnah apabila toleransi dalam kalangan rakyat lemah. Sebenarnya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengekalkan keharmonian, daripada pelaksanaan Rukun Negara hingga program-program perpaduan yang diwujudkan. Namun, isu perkauman masih belum reda. Di manakah silapnya? Kepada siapa lagi harapan diletakkan? Dalam era penuh cabaran ini, keharmonian dan perpaduan kekal menjadi kunci kejayaan dan kestabilan negara pada masa hadapan. Berpeganglah kepada prinsip tanggungjawab dan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain demi Malaysia yang lebih sejahtera seperti pepatah ‘Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.

Oleh: Dr. Abdul Hadi Samsi
E-mel: hadisamsi@umpsa.edu.my
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 44 views
Reports by: