Skip to main content

Mat Kilau dan Hasil Bumi Negara

Filem Mat Kilau yang meraih lebih dari RM80 juta hasil kutipan pawagam dalam masa lebih kurang sebulan tayangan, banyak membawa mesej-mesej yang penting dan bermakna dalam membangkitkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat tempatan.

Salah satu mesej yang amat mengesani penulis adalah bagaimana penentangan rakyat tempatan terhadap kaum penjajah Inggeris yang dengan rakus dan tiada segan-silu menjarah hasil bumi negeri Pahang seperti emas, bijih timah dan lain-lain. Bukan sahaja ketamakan dan kerakusan dizahirkan, kezaliman dengan merampas tanah dan menjadikan rakyat tempatan sebagai hamba pekerja dalam industri perlombongan mereka, dilakukan.

Membawa ke hadapan senario perlombongan semasa zaman Mat Kilau ke hari ini, kita merasakan seperti tiada lagi senario penjajah Inggeris menjarah hasil bumi. Tetapi tanpa kita sedari, kekayaan hasil bumi negara pada hari ini banyak diraih oleh pihak luar berbanding dengan rakyat tempatan. Setiap kali, apabila diumumkan hasil bumi seperti emas dan nadir bumi dijumpai, kita dapati syarikat-syarikat asing akan diberi keutamaan dalam konsesi untuk melombong dan memproses bahan-bahan mineral tersebut. Adakalanya hasil bumi ini dibawa terus untuk diproses ke negara luar.

Di mana silapnya pengurusan hasil bumi kita ini terutama sekali sumber mineral iaitu negara kita, Malaysia merupakan negara yang kaya dengan mineral dan mempunyai potensi besar dalam industri ini? Menurut kenyataan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, beberapa tahun lepas, nilai semasa sumber mineral negara dianggarkan berjumlah RM4.1 trillion, berdasarkan kajian terkini Jabatan Mineral dan Geosains (JMG). Pada tahun 2020 sahaja, pengeluaran mineral negara meningkat sebanyak 6.4 peratus berjumlah RM6.32 billion. 

Sumbangan ekonomi industri perlombongan dan pengkuarian mineral (tidak termasuk minyak dan gas) adalah bernilai RM9 bilion atau 0.7 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara yang menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih daripada 15,000 orang.
Berdasarkan fakta tersebut, Malaysia mempunyai potensi besar dalam bidang mineral terutama sekali dalam emas dan nadir bumi. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor yang mengekang potensi ini; antaranya adalah maklumat dan data, penguasaan teknologi terkini, sumber manusia yang kompeten, dana yang mencukupi dan sokongan kerajaan semasa, ketirisan dan kerakusan dalam merosakkan alam sekitar secara mampan dan lestari yang mengundang persepsi negatif dari beberapa pihak dan lain-lain.

Faktor utama adalah berkaitan dengan data dan maklumat berkenaan lokasi, saiz simpanan dan bekalan serta maklumat-maklumat berkenaan mineral, yang mana ia sukar diperoleh. Di samping itu, pangkalan data Malaysia untuk mineral, terutamanya mineral kritikal adalah lemah dan tidak banyak membantu dalam membangunkan industri ini. Tanpa pangkalan data yang kemas seperti di Australia, amat sukar bagi pelabur, penyelidik dan industri untuk mengenal pasti potensi dan merangka pelan strategik dalam pelbagai bidang industri bersumberkan mineral.

Berbanding dengan negara-negara maju seperti Australia, Amerika dan Jepun; Malaysia masih belum mewujudkan sebarang keutamaan bagi simpanan dan pengeluaran mineral. Malah satu senarai maklumat terperinci yang berkenaan mineral kritikal negara masih belum wujud. Begitu juga, pengguna tempatan industri logam berasaskan mineral masih belum disenarai pendek dengan sewajarnya.

Di samping itu, dasar keselamatan serantau negara yang sepatutnya menjadikan mineral ini sebagai salah satu bargaining chip, masih tidak dipertimbangkan. Berbanding dengan negara lain yang menyedari kepentingan sebahagian mineral bukan sahaja dalam pembangunan teknologi, juga untuk tujuan keselamatan negara, masih belum dalam radar perkiraan kerajaan kita.

Berdasarkan kajian penulis dan juga dapatan beberapa buah universiti tempatan dalam isu mineral, telah dikenal pasti senarai mineral kritikal negara yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia dalam menjadi pemain utama, bukan saja sebagai pembekal sumber yang kaya ini, tetapi sebagai pemain teknologi berkaitan mineral kritikal secara holistik, patut diambil kira oleh kerajaan.

Berdasarkan keperluan industri tempatan dan pengeluaran logam dan mineral tempatan, Malaysia harus cuba sekurang-kurangnya menubuhkan pangkalan data lengkap dan terperinci logam dan mineral untuk masa depan negara.

Malaysia juga mesti mempunyai perancangan strategik untuk sektor mineral agar keselamatan serantau dan kedudukan ekonomi negara dapat diperkasakan untuk menjadi sebuah negara yang disegani dan berpengaruh di rantau ini. Seiring dengan perkembangan teknologi dan dengan perancangan sumber manusia berkemahiran tinggi, negara boleh pergi lebih jauh dengan membangunkan sumber yang kaya ini.

Kebergantungan kepada pihak luar dalam teknologi terkini dapat diminimumkan jika teknologi tempatan berasaskan mineral dan logam dapat dibangunkan dengan jayanya. Salah satu usaha yang mesti dilakukan adalah dengan membangunkan sumber manusia yang berkemahiran tinggi dalam pembangunan, pengurusan dan operasi industri mineral ini. Dana yang mencukupi untuk tujuan penyelidikan dan pengkomersialan bagi sektor huluan dan hiliran, mesti diperuntukkan di samping program-program pendidikan dan latihan diwujudkan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja dalam bidang berkaitan dengan mineral.

Semoga semangat Mat Kilau terus menyilau dan menyinar dalam diri kita semua untuk memastikan hasil bumi kita dijaga dan diusahakan untuk manfaat kita dan seterusnya generasi akan datang. Hasil bumi ini mesti diterokai oleh pihak tempatan dengan mengambil kira faktor penjagaan alam sekitar dengan mengamalkan perlombongan bertanggungjawab atau responsible Mining termasuk pemprosesan. 

Jangan biarkan ketamakan dan kerakusan setengah-tengah pihak terutama orang asing menjarah lagi hasil bumi negara dan menjahanamkan bumi bertuah ini. Kebangkitan pahlawan Mat Kilau adalah kebangkitan semangat dan kekuatan kita semua. Semoga Malaysia akan menjadi sebuah negara yang kuat, maju dan berdaulat!

Mat Kilau dan Hasil Bumi Negara
Dato’ Ir. Ts. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz

Penulis adalah Felo Perunding Utama, Pusat Kelestarian Ekosistem dan Sumber Alam, Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
e-mel: badhrulhishamaz@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News