Medan Ikan Bakar Kuala Pahang Tarikan Baharu Pekan
Kuala Pahang Pekan yang dahulunya perkampungan nelayan yang sunyi tetapi kini ianya menjadi tumpuan bukan sahaja kepada kaki pancing yang ingin merasai pengalaman memancing di situ. Kini sebuah perkampungan nelayan telahpun melalui proses transformasi menerusi pembangunan beberapa projek pembangunan fizikal seperti Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan projek-projek infrastruktur lain seperti pembinaan Kompleks Medan Ikan Bakar (MIB) yang menempatkan empat kilang pemprosesan hasil laut seperti keropok, ikan masin dan produk hasil laut yang lain. Selain itu , empat unit restoran ikan bakar dan empat unit gerai jualan pelbagai yang menjual produk hasil laut, gerai cenderamata, gerai satar, permainan kanak-kanak dan pusat jualan peralatan elektronik dan komputer.
Projek yang dibina di atas tanah berkeluasan 6.998 ekar ini dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan diselia oleh kepakaran pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) di bawah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam (FKASA). Projek merupakan kesinambungan daripada kejayaan pelaksanaan program empower ECER Mahkota yang dilaksanakan oleh UMP Advanced Education sejak tahun 2011 bagi melatih dan melahirkan usahawan dari kalangan peserta B40 iaitu masyarakat sekitar Pekan dan Kuantan.
Untuk dua tahun pertama ini, MIB akan diselia sepenuhnya oleh pihak UMP menerusi UMP Advanced (pembangunan usahawan) dan UMP Holdings bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan operasi. MIB ini merupakan satu projek yang bukan sahaja memberikan kemudahan serta keselesaan kepada pengunjung untuk menikmati hidangan ikan bakar yang segar dan enak di samping mendapatkan produk hasil laut secara terus yang yang diusahakan di kilang pemprosesan dan gerai jualan yang diusahakan oleh pengusaha tempatan. MIB ini diharap dapat mengubah lanskap sosioekonomi penduduk tempatan seterusnya dapat membawa komuniti setempat ke satu aras pemikiran yang baharu dengan merebut segala peluang perniagaan yang diwujudkan oleh pihak kerajaan. Kita ingin melihat masyarakat setempat segera menghidu peluang-peluang perniagaan dengan kewujudan kampus Universiti Malaysia Pahang (UMP), Pusat Transformasi Luar bandar (RTC) dan kawasan perumahan baharu yang dibangunkan.
Projek yang dimulakan sejak 2015 mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan pemimpin masyarakat setempat. Telah memulakan operasi pada 1 Ogos yang lalu dan sambutan yang diterima amat menggalakkan. Pengunjung yang datang bukan sahaja penduduk sekitar tetapi juga pengunjung luar dari negeri Pahang termasuk daripada Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Tidak sahaja pengunjung tempatan, pengunjung dari luar negara seperti Jerman dan Jepun telah dibawa untuk menikmati hidangan ikan bakar di MIB ini. Tidak cukup dengan itu, beberapa agensi dan jabatan kerajaan juga sering mengadakan program-program dan jamuan makan di MIB termasuk orang perseorangan yang membuat tempahan makan bersama keluarga.
Terbaharu UMP melancarkan program Facelift Kuala Pahang bagi menceriakan persekitaran Kuala Pahang dengan membaik pulih beberapa rumah usang sekitar perkampungan nelayan di Kuala Pahang. Program yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr Daing Nasir Ibrahim dan ADUN Peramu Jaya, Dato’ Seri Sh Puzi Sh Ali.
Program pendidikan pelancongan (Edu-Tour) juga dilaksanakan sebagai usaha mempromosikan Kuala Pahang seperti memancing, menginap di Inap Desa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), aktiviti berbasikal, berkayak dan menyelusuri Sungai Pahang (teksi air) sambil menyaksikan keindahan alam di muara Sungai Pahang.
Lebih unik, MIB menjanjikan pengunaan ikan segar yang diperolehi daripada nelayan kuala Pahang sendiri dengan suasana persekitaran MIB yang penuh dengan keindahan alam sekitar, di tepi muara sungai Pahang yang indah dan tenang sesuai bagi mereka yang ingin kedamaian dan jauh daripada kesibukan hiruk- pikuk di bandar. Selain itu kesedapan ikan bakar yang dibakar di sini menggunakan resipi asli dan tradisi oleh pengusaha dan rasa serta keenakannya begitu berbeza berbanding ikan bakar yang lain. MIB turut mengambilkira kemudahan pengunjung seperti surau, tandas, wakaf, taman permainan kanak-kanak serta tempat meletak kenderaan yang mencukupi untuk keselesaan pengunjung.
Disediakan oleh Zainal b. Hj Bahari, Pengurus Besar, Jabatan Sosioekonomi & Projek Khas UMP Advanced Education
- 552 views