Meluruskan Penggunaan Frasa ‘Yang Mana’
Sempena sambutan bulan kemerdekaan negara yang ke-69 pada 31 Ogos ini, sudah pasti salah satu cara untuk kita menunjukkan semangat cintakan tanah air adalah melalui penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam perbualan dan penulisan. Kita semua sedia maklum, bahasa Melayu telah banyak dipengaruhi oleh bahasa-bahasa dunia seperti bahasa Sanskerta, Portugis, Belanda, Cina, Tamil, Arab dan bahasa Inggeris. Unsur dan elemen bahasa-bahasa ini telah meresap masuk ke dalam bahasa Melayu. Ada unsur yang dapat diterima, ada juga unsur yang tidak boleh diterima kerana tidak bersesuaian dengan tatabahasa bahasa Melayu.
Dalam tulisan ini, penulis ingin berkongsi pengalaman berkenaan satu unsur bahasa Inggeris yang sudah lama mempengaruhi pengguna bahasa Melayu secara meluas sama ada dalam pertuturan atau penulisan, khususnya dalam penerbitan buku ilmiah, meskipun penggunaannya salah dari segi tatabahasa bahasa Melayu. Unsur tersebut ialah ganti nama ‘yang mana’ atau ‘which’ yang sering disalahgunakan dalam bahasa Melayu.
Mari kita perhatikan beberapa contoh ayat yang mengandungi penggunaan ungkapan ‘yang mana (which)’ yang salah dan tidak tepat dalam bahasa Melayu di bawah ini:
1. Membantu orang miskin adalah amalan terpuji yang mana kita akan memperoleh pahala.
(Seharusnya: Membantu orang miskin adalah amalan terpuji, dan kita akan memperoleh pahala.)
2. Hal ini berpunca daripada latar keluarga yang masih berfahaman kuno yang mana mereka lebih suka anak gadis mereka tinggal di rumah.
(Seharusnya: Hal ini berpunca daripada latar keluarga yang masih berfahaman kuno yang lebih suka anak gadis mereka tiggal di rumah.)
3. Yang mana semua ini bertentangan dengan nilai tradisi orang Melayu dan agama Islam.
(Seharusnya: Semua ini bertentangan dengan nilai tradisi orang Melayu dan agama Islam.)
4. Majlis Sambutan Aidilfitri UMPSA 2026 itu diadakan di UMPSA Pekan, yang mana telah dihadiri oleh semua warga kerja universiti berkenaan.
(Seharusnya: Majlis Sambutan Aidilfitri UMPSA 2026 itu diadakan di UMPSA Pekan, dan telah dihadiri oleh semua warga kerja universiti berkenaan.)
5. Cincin emas ini ialah hadiah daripada ibu yang mana saya sangat hargai.
(Seharusnya: Cincin emas ini ialah hadiah daripada ibu yang sangat saya hargai.)
6. Mesyuarat itu diadakan di Kuantan, yang mana ia bermula jam 8:00 pagi.
(Seharusnya: Mesyuarat itu diadakan di Kuantan dan bermula jam 8:00 pagi.)
Penggunaan frasa ‘yang mana’ yang betul adalah sebagai kata tanya. Dalam ayat-ayat di atas penggunaan ‘yang mana’ tidak menepati sistem nahu bahasa Melayu kerana tidak digunakan sebagai unsur pertanyaan, sebaliknya sebagai unsur keterangan relatif.
Kesalahan bahasa sedemikian semakin kerap berlaku dalam penulisan akademik bahasa Melayu. Hal ini berlaku kerana pengaruh ayat bahasa Inggeris. Untuk melihat bagaimana which digunakan dalam ayat-ayat bahasa Inggeris, iaitu sebagai relative pronoun, mari kita lihat beberapa contoh ayat yang berikut:
1. This is the house which I bought a few years ago.
Terjemahan: Inilah rumah yang saya beli beberapa tahun dahulu.
2. This is the car which I bought in the aution.
Terjemahan: Inilah kereta yang saya beli secara lelong.
3. Many of the events which took place have not been witnessed in the past.
Terjemahan: Kebanyakan peristiwa yang terjadi tidak pernah disaksikan pada masa dahulu.
4. Recently, we had the chance to attend a merbuk competition which was held in an open field near Lembah Keramat.
Terjemahan: Baru-baru ini, kami telah berpeluang untuk menyaksikan satu pertandingan merbuk yang diadakan di tanah lapang dekat Lembah Keramat)
5. Indiscipline in schools which has become a serious phenomena in our education system should be handled efficiently.
Terjemahan: Masalah disiplin di sekolah yang sudah menjadi satu fenomena serius dalam sistem pendidikan harus ditangani dengan berkesan.
Kata which (relative pronoun dalam bahasa Inggeris) lazimnya diberikan tiga entri, seperti yang tertera di bawah:
(1) Siapa: yang mana
Contoh ayat: Which of them is the tallest?
(Siapakah antara mereka yang paling tinggi?)
Which one shall I take?
(Yang mana satu yang akan saya ambil?)
(2) Yang
Contoh ayat: The river which flows through Kuala Lumpur is called Kelang River.
(Sungai yang mengalir melalui bandar Kuala Lumpur ialah Sungai Kelang.)
(3) Digunakan bagi merujuk kepada klausa yang terdahulu.
Contoh ayat: It was raining hard which kept us indoors.
(Hujan yang lebat menyebabkan kami tidak keluar dari rumah.)
Penjelasan yang ringkas ini membuktikan bahawa ungkapan ‘yang mana’ hanya digunakan dalam ayat tanya. Bagi maksud kata ganti nama, memadailah jika menggunakan perkataan yang sahaja. Contoh penggunaan tepat untuk kata ‘yang mana’ adalah seperti berikut;
1. “Baju yang mana pilihan hati awak?"
2. “Yang mana satu cincin pilihan kamu?"
Gejala seumpama ini harus dikekang dan dibendung daripada berleluasa dalam kalangan pengguna bahasa Melayu kerana ramai yang menggunakannya dalam perbualan dan penulisan. Kesalahan bahasa ini mudah dikesan dalam penulisan atau pertuturan pelajar, penulis, ahli akademik dan pemimpin. Kesalahan bahasa seperti ini merupakan satu penyimpangan bahasa dan hal ini disebabkan kelemahan penguasaan sintaksis dalam kalangan pengguna bahasa Melayu.
Di samping itu, masalah ini harus diberi perhatian berat oleh para pendidik dan guru kerana kita tidak mahu pengaruh sintaksis bahasa Inggeris seperti ini menimbulkan satu gangguan dalam proses pemerolehan bahasa dalam kalangan para pelajar dan ahli akademik. Kita sepatutnya tidak mengorbankan peribadi dan sistem bahasa kita semata-mata kerana pengaruh sistem sintaksis bahasa Inggeris.
Kesimpulannya, semoga penjelasan ringkas penulis berkenaan kekeliruan penggunaan frasa yang mana yang sering penulis temui dalam manuskrip akademik, sedikit sebanyak dapat membantu kita semua untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan kesenian.
Penulis ialah Ketua Seksyen Buku dan Penerbitan Khas, Penerbit UMPSA.

Disediakan Oleh: Muhammad Azli Shukri, Penerbit UMPSA
- 84 views
Reports by: